Pemuda Kuala Kangsar buru 10 Malam Terakhir

KUALA KANGSAR: Pemuda PAS Kawasan Kuala Kangsar menjana buruan fadilat lailatul qadar dengan mengadakan program “10 Malam Terakhir” yang dilancarkan di Bukit Chandan, di sini semalam.

Advertisement

Program bermula dengan solat Isyak dan Tarawih berjamaah itu turut menerima suntikan semangat dari kuliah disampaikan Timbalan Pengerusi Tetap Muktamar PAS Pusat, Ustaz Kamal Ashaari.

Beliau menyeru mendekatkan diri dengan Allah terutama mengambil kelebihan Ramadan untuk membina kekuatan agar mampu melibatkan diri dalam perjuangan walaupun tanpa jawatan.

Memantapkan hubungan dan roh tarbawi, semua anggota yang hadir ke program ini mengukuhkan hubungan dengan sesi usrah dan tadarus al-Quran sebelum menyertai aktiviti Singgah Sahur.

Dipimpin Ketua Pemuda PAS Kuala Kangsar, Ustaz Omar Adam, delegasi telah berkunjung ke Balai Bomba Kuala Kangsar menyampaikan juadah sahur kepada anggota-anggota bertugas.

Seterusnya berkunjung pula menyampaikan juadah sama kepada para pesakit dan kakitangan bertugas dari wad ke wad di Hospital Daerah Kuala Kangsar.

Inisiatif tersebut dilaksanakan sebagai usaha memasyarakatkan PAS selain tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan para penjawat awam, selain menyantuni para pesakit.

Konvoi yang turut disertai anggota Jabatan Amal Kuala Kangsar itu mengakhiri jelajah dengan bersahur bersama sebelum mengerjakan solat Subuh berjamaah di Surau Muhammadiah. – HARAKAHDAILY 25/5/2019

IMG 20190525 WA0079