Singgah Sahur Pemuda santuni warga Kuantan

KUANTAN: Pemuda PAS Kawasan Kuantan telah mengadakan program Singgah Sahur dengan berkunjung dan mengedarkan juadah sahur ke premis-premis sekitar bandar ini, semalam.
 
Pimpinan Pemuda PAS Kuantan yang membawa jelajah ini adalah Ketua, Mohd Khairul Nizam Che Mustofai dan Timbalan Ketua, Halmi Ismail serta Ketua Penerangan, Abd Rahman Mat Noor.
 
Mereka yang turut disertai lebih 20 anggota Pemuda dan Jabatan Amal Kuantan telah ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan termasuk Cawangan Trafik dan Marin, RELA dan Askar Wataniah.
 
Juga Jabatan Pertahanan Awam, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Sekolah Al-Ihsan, 7-Eleven dan stesen-stesen minyak sebelum berakhir di Balai Bomba Jalan Bukit Ubi dan bersahur bersama anggota Bomba, di situ.
 
Program rutin tahunan ini menjadi satu usaha kebajikan Pemuda PAS Kuantan selain dapat mengeratkan silaturahim sesama Islam, serta membina kefahaman, toleransi dan kerjasama masa depan.
 
Ia juga sebagai mendidik anggota Pemuda PAS sendiri supaya tidak lesu dengan amal Islami yang diwariskan Nabi S.A.W kerana menyedari perjuangan tidak merelakan nadi berdenyut tanpa keringat. – HARAKAHDAILY 25/5/2019
Advertisement