Ameerah Care laksana Projek Infak Telekung

TAMBUN: Muslimat Muda PAS atau Ameerah Kawasan Tambun melalui program Ameerah Care telah mengadakan Projek Infak Telekung 1.0 yang berlangsung di sekitar Tambun, semalam.

Advertisement

Program kebajikan dan kemasyarakatan ini bertujuan memperkenal dan mengenengahkan Ameerah Care sebagai badan dakwah dan kebajikan khususnya buat golongan wanita muda.

Ketua Ameerah Tambun, Nuradila Mohd Kamal berkata, Muslimat Muda PAS itu komited menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan sebagai usaha mendekati golongan wanita muda.

Pengarah Projek Infak Telekung 1.0, Nor Fadzilah Ahmad Tarmizi memaklumkan, pihaknya mendapat sambutan positif melalui poster program yang telah diuar-uarkan bagi projek ini.

Kunjungan Ameerah kepada penerima sumbangan turut menemui kisah menyentuh hati di mana sebuah keluarga telah diberhentikan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak Julai tahun lalu.

Ketua rumah tersebut diuji dengan tiga anak menghidap penyakit kronik iaitu ketumbuhan otak, asma kronik dan buah pinggang di mana bergantung pada pendapatan kasar sebanyak RM1,100 dan bantuan Baitul Mal RM350.

Luahnya, beliau terpaksa memberi komitmen penuh terhadap pengurusan rawatan anaknya, sedangkan agak sukar membawa mereka memenuhi janji temu doktor.

Ini kerana difahamkan, untuk beliau membawa anak-anaknya mendapatkan rawatan di hospital Ipoh serta hospital di luar daerah ini amat sukar dengan bantuan kewangan yang sedikit.

Sehubungan itu Ameerah Tambun berharap prosedur berkaitan bantuan JKM ditambah baik bagi memastikan kesejahteraan sejagat khususnya golongan yang kurang berkemampuan.

Semua penerima yang terdiri daripada golongan asnaf, anak yatim, Orang Kelainan Upaya dan ibu tunggal dibekalkan satu set telekung, bungkusan kerepek raya dan risalah sempena projek itu. – HARAKAHDAILY 26/5/2019