Iftar erat hubungan Pemuda PAS dan bukan Muslim

PANDAN: Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) Pemuda PAS Negeri Selangor telah mengadakan majlis iftar bersama kalangan bukan Muslim di Hotel Pandan Indah, di sini kelmarin.
 
Majlis dengan kerjasama LPN Pemuda PAS Kawasan Pandan dan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pandan bertujuan membentuk perpaduan rakyat berbilang kaum.
 
Menurut Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Hanafi Zulkapli, program tersebut merupakan langkah awal menjayakan kerjasama PAS dengan pelbagai pihak termasuk kalangan bukan Muslim.
 
Beliau turut menegaskan kepentingan peranan DHPP sebagai kunci pembuka jalan memperkenalkan PAS dalam menjalin hubungan dengan rakyat dalam kalangan bukan Muslim.
 
Ustaz Hanafi turut menyentuh situasi semasa sikap masyarakat majmuk yang tidak lagi seindah dan erat seperti dahulu, sedangkan ianya kelebihan dan anugerah Allah.
 
Beliau turut menyangkal kebersamaan PAS dan Umno bersifat perkauman, sedangkan PAS turut terbuka kepada semua kaum yang ada di negara ini sebagaimana dibuktikan juga melalui majlis itu.
 
Hadir sama pada majlis tersebut adalah Pengerusi DHPP Selangor, Dato’ Deepakaran Karuppiah dan Ketua MIC Bahagian Pandan, Gopal Krishnan. – HARAKAHDAILY 26/5/2019
Advertisement