Pahala Ramadan dicari, dosa yang dapat

RAMADAN kini telah memasuki fasa terakhir, 10 malam yang ada di dalamnya Lailatul  Qadr. Pahala buat mereka yang menghidupkan malamnya menyamai beribadat selamat 1,000 bulan atau 83 tahun. 
 
Tetapi hanya orang beriman sahaja akan ghairah mencarinya dengan terus membuat amal kebaikan antaranya solat fardu di awal waktu dan berjemaah, solat sunat digandakan, sedekah diperbanyakkan, iktikaf dan zikir dipanjangkan masanya serta qiamullail diisi sepenuhnya dengan amal ibadat.
 
Namun demikian dalam mengejar pahala Ramadan, tanpa sedar dosa yang dapat dalam banyak situasi. Satu persatu boleh diperhalusi sebagai muhasabah kita bersama agar benar-benar kita memperolehi takwa dalam madrasah Ramadan sebagaimana Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah, ayat 183.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
 
Keunikan di negeri Perak sepanjang Ramadan adalah adanya majlis berbuka puasa dan moreh setiap hari dan ramai yang mengambil peluang untuk mendapat pahala berganda menjamu orang berpuasa sebagaimana Hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi, daripada Zaid bin Khalid.   
 
Tetapi yang sedihnya masih ada di dalam masyarakat kita yang suka ‘memantau’ dan buat-buat tanya ahli jemaah dan membanding-bandingkan menu yang ditajanya dengan orang lain. Pahala Ramadan yang dicari, dosa yang dapat.
 
Solat sunat Tarawih hanya ada di bulan Ramadan. Maka ramailah di kalangan kita akan membawa anak-anak bersama ke Masjid atau Surau dan sememangnya suatu langkah yang sangat baik sebagai latihan dan pengalaman penting buat mereka. 
 
Sebaliknya perlu kepada para ibu bapa untuk juga mendidik adab kepada anak-anak agar tidak mengganggu jemaah yang lain dan memenuhi hasrat untuk mendapatkan sebanyak mungkin pahala Ramadan tetapi jika hanya dibiarkan tanpa kawalan dan pemantauan, dosa yang akan dapat. Malah keadaan masjid tidak ubah seperti taman permainan.
 
Sudah menjadi kebiasaan di masjid dan surau di bulan Ramadan akan bertambah tabung-tabung sumbangan yang sebenarnya untuk memberi peluang lebih banyak untuk kita berkongsi apa yang kita ada dengan mereka yang memerlukan. Namun ada juga golongan yang suka menghulurkan sumbangan tetapi berkira dengan apa yang disumbangnya. Dalam tidak sedar pahala entah ke mana, dosa makin meninggi.
 
Oleh sebab itu, masjid atau surau mestilah menjadi tempat bersilaturrahim sesama Muslim dan sama-sama memanfaatkannya dengan budaya ilmu yang berterusan yang akhirnya menjadi pusat komuniti setempat. Bermuhasabahlah sesama kita agar kesucian institusi sebagai tempat yang menggalakkan kita berterusan berbuat amal kebaikan dalam mencari keredhaan-Nya. 
 
Sewaktu peristiwa Hijrah Rasulullah S.A.W dari Makkah ke Madinah perkara pertama yang menjadi agenda besar baginda ialah membina masjid di Quba’ Madinah menunjukkan betapa pentingnya institusi tersebut. Maka, tanggungjawab kita untuk memakmurkan atau mengimarahkan masjid atau surau agar keseluruhannya mendapat manfaat sewajarnya.  
 
Islam sangat menggalakkan umatnya berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan. Firman Allah S.W.T dalam ayat 90, surah Al-Anbiya’:
إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا ۖ وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ
“Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyu’ kepada Kami.”
 
Menunjukkan bahawa kita sebagai hamba Allah ada perasan gerun (takut) kepada kesalahan yang dilakukan dan tetap berharap diterima segala amal kebaikan yang telah dilaksanakan bagi memenuhi tuntutan kita sebagai mengabdikan diri kepada Allah S.W.T.
 
Marilah sama-sama kita saling mengingati sebagaimana perintah Allah S.W.T dalam surah Al-Asr dan turut mengajak saudara seagama kita untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai Muslim agar dapat bertemu lagi di syurga Allah S.W.T di akhirat kelak. Sentiasalah berdoa berusaha, beristiqamah dan bertawakkal kepada Allah S.W.T. – HARAKAHDAILY 27/5/2019
Advertisement