Ajar subjek kenali Islam di SJK, SMJK

CADANGAN oleh Majlis Belia Malaysia pada minggu lalu supaya subjek mengenali agama lain diajar di sekolah dan universiti mungkin mempunyai hasrat yang baik terhadap perpaduan dan keharmonian antara kaum di negara ini.

Advertisement

Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) pada 2016 juga pernah melontarkan cadangan subjek ‘interfaith understanding’ bagi membolehkan para pelajar sekolah lebih memahami dan menghormati pelbagai fahaman agama di negara ini.

Namun, saya berpendirian bahawa cadangan ini tidak sesuai dan tidak patut dilaksanakan. Terima kasih dan tahniah kepada Kementerian Pendidikan yang telah mengumumkan menolak cadangan tersebut. Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan itu telah sendirinya mendidik dan membentuk sikap penganut agama Islam di negara ini sejak sekian lama supaya menghormati ajaran dan penganut agama lain di negara ini sekalipun tidak mengetahui atau memahami sepenuhnya agama masyarakat bukan Islam itu.

Sepatutnya, fokus diberikan bagi memperkasakan kefahaman dan penghayatan beragama dalam kalangan pelajar beragama Islam termasuk dengan menyemak semula dan menambah baik silibus sedia ada, meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran, menambah masa, menjadikannya sebagai subjek teras dan menambah peruntukan kepada sekolah-sekolah agama.

Pengajaran dan pembelajaran subjek agama Islam ini hendaklah bukan semata-mata bermotifkan untuk mendapat markah yang tinggi, tetapi mestilah ke arah membentuk pemikiran, kerohanian dan tingkah laku pelajar yang selari dengan tuntutan Islam itu sendiri.

Subjek mengenali agama lain atau ‘interfaith understanding’ pula bukan setakat boleh ditafsirkan bersalahan dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukan mengenai kawalan dan sekatan pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam, sebaliknya turut dibimbangi mempromosikan fahaman pluralisme agama dalam kalangan masyarakat Islam; melainkan sekiranya Kerajaan berani untuk tegas menjelaskan prinsip ketertinggian dan kebenaran tunggal Islam yang mengatasi agama-agama lain serta kedudukan istimewa Islam dalam Perlembagaan.

Oleh itu, untuk tetap mencapai objektif daripada cadangan tersebut, lebih tepat untuk dilaksanakan ialah dengan memastikan murid bukan Islam belajar subjek mengenali agama Islam di Sekolah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan supaya mereka lebih memahami ajaran Islam dan amalan masyarakat Islam di negara ini.

Saya percaya, subjek ini lebih berkesan untuk mengukuhkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini yang telah meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Ini kerana Islam adalah agama yang mempromosikan kedamaian untuk manusia sejagat. Sejarah juga memperlihatkan manusia sekalipun berlainan agama, bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing dalam negara Islam.

“Islam Memimpin”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Isnin, 27 Mei 2019 | 22 Ramadan 1440 – HARAKAHDAILY 27/9/2019