Peningkatan sampah ketara bulan Ramadan

KOTA BHARU: Kempen Kelantanku Bersih juga disemarak pada Ramadan bagi memastikan orang ramai membudayakan menjaga kebersihan tanpa mengira masa.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, peningkatan sampah agak ketara pada bulan Ramadan berbanding bulan lain.

“Kita menggerakkan strategi tertentu di peringkat pihak berkuasa tempatan bagi menangani masalah itu.

“Apa yang penting sekarang ini usaha untuk menyedarkan rakyat menjaga kebersihan perlu diperhebatkan. Antaranya membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan,” katanya di sini.

Mulai tahun lepas kerajaan negeri melancar kempen Kelantanku Bersih di seluruh negeri bagi meningkatkan tahap kebersihan.

Aspek kebersihan menjadi tumpuan kerajaan Kelantan bagi penggal ke-14.

Dr Izani juga berkata, aspek kebersihan sentiasa diutamakan dari semasa ke semasa walaupun pada bulan Ramadan.

“Apa yang penting kita perlu merangsang rakyat supaya bersikap lebih baik menjaga kebersihan. Perubahan sikap mesti dilakukan, jika tidak ia tidak akan berubah,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/5/2019