Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (23)

وَاضْرِبْ لَهُم مَّثَلًا رَّجُلَيْنِ جَعَلْنَا لِأَحَدِهِمَا جَنَّتَيْنِ مِنْ أَعْنَابٍ وَحَفَفْنَاهُمَا بِنَخْلٍ وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمَا زَرْعًا

Advertisement

“Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: Dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur; dan Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain.”

كِلْتَا الْجَنَّتَيْنِ آتَتْ أُكُلَهَا وَلَمْ تَظْلِم مِّنْهُ شَيْئًا ۚ وَفَجَّرْنَا خِلَالَهُمَا نَهَرًا

“Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikitpun dari hasil itu; dan kami juga mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai.”

وَكَانَ لَهُ ثَمَرٌ فَقَالَ لِصَاحِبِهِ وَهُوَ يُحَاوِرُهُ أَنَا أَكْثَرُ مِنكَ مَالًا وَأَعَزُّ نَفَرًا

“Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya: “Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai”.”

Penekanan utama ayat:

●      Berkisah contoh

Antara kehebatan al-Quran adalah senantiasa membawa contoh bagi memahamkan lagi pembacanya berkenaan mesej yang ingin disampaikan. Kaedah memberi contoh dan bercerita ini diperakui dalam teori pendidikan bagi membantu pembelajaran.

●     Antara dua darjat

Konsep penceritaan ini membawa contoh dua bersahabat yang berbeza darjat. Seorang berbangga dengan dunia yang dimiliki, manakala seorang lagi teguh beriman kepada Allah S.W.T. Ia juga menjadikan kenyataan pada ayat ke 29 lebih jelas. Inilah fenomena dunia, sentiasa ada orang baik dan jahat, orang taat dan pelaku maksiat.

●     Kekayaan yang menyombongkan

Lumrah kekayaan, lebih banyak membawa kepada kelalaian daripada ketaatan. Harta menyebabkan seseorang menjadi sibuk menguruskannya sehingga mengabaikan hak-hak tuhan. Berbeza dengan orang yang tidak berada, tidak mempunyai apa-apa untuk diuruskan, juga tiada orang yang mahu mempedulikan mereka, maka masa mereka lebih banyak boleh diperuntukkan kepada tuhan. Mencari tuhan untuk membantu saat kesusahan, tetapi melupakan tuhan apabila senang.

Ibrah akhir zaman:

Ayat-ayat ini menceritakan perihal seorang lelaki yang diberikan kekayaan melimpah ruah. Kekayaan tersebut telah menjadikan beliau sombong takabbur sehingga tidak sedar diri. Kekayaan menyebabkan dirinya merasa lebih mulia daripada orang lain.

Fitnah ini telah melanda bangsa Arab di era moden. Bermula penemuan petroleum di Semenanjung Arab, mereka telah menjadi orang kaya secara tiba-tiba. Namun kekayaan tersebut telah membawa mereka semakin tidak sedarkan diri. Kekayaan bukan sahaja menjadikan mereka hidup dalam kemewahan yang tidak lagi mempedulikan halal haram, malah mereka menggunakan kekayaan itu untuk merosakkan umat Islam lain, menjadi tunggangan musuh Islam melakukan kerosakan kepada orang Islam seluruh dunia.

Perkara ini berlaku bermula daripada kebergantungan negara-negara Arab kepada musuh Islam terutama kuasa Barat dalam menyumbang teknologi bagi memproses hasil petroleum mereka. Mereka juga terikat dengan perjanjian politik untuk mengekalkan tampuk kekuasaan. Tanpa sokongan teknologi dan politik daripada Barat, negara-negara Arab tidak akan kaya dan berkuasa sebagaimana hari ini.

Namun sokongan yang diberikan oleh Barat bukan percuma. Bukan sahaja bagi menjamin perniagaan teknologi mereka terus berlaku, mereka juga memiliki agenda menguasai negara lain yang disebut sebagai agenda globalisasi. Dengan menggunakan dana daripada negara Arab sendiri, Barat mencatur segala perkara yang sedang berlaku dalam dunia Islam hari ini. Pertembungan Sunni-Syiah, pertembungan Sufi-Wahhabi, perkembangan ideologi Liberal, pembiayaan terhadap golongan radikal, dan terbaharu di era Donald Trump adalah projek Deal of The Centutry, agenda mengalihkan peta Palestin keluar dari wilayah Baitulmaqdis.

Rasulullah S.A.W telah bersabda mengenai perkara ini:
لا إله إلا اللهُ، ويلٌ للعربِ من شرٍّ قد اقترب، فتحَ اليومَ من ردمِ يأجوجَ ومأجوجَ مثلُ هذه. قيل: أنهلِك وفينا الصالحون ؟ قال : نعم، إذا كثُر الخبثُ.

“Tiada tuhan melainkan Allah. Binasalah orang Arab daripada keburukan yang semakin hampir. Sesungguhnya tembok Yakjuj dan Makjuj telah pun roboh sebesar ini (sambil menunjukkan isyarat lubang dengan ibu jari dan telunjuknya.) Baginda ditanya adakah kita akan binasa walaupun terdapat orang soleh? Jawab Baginda: Ya, jika kerosakan sudah berleluasa.”

[HR Bukhari]

Fenomena akhir zaman juga turut memperlihatkan sanjungan masyarakat tidak lagi normal. Orang-orang kaya dijadikan role-model, idola, tokoh bahkan diangkat sebagai pemimpin. Walaupun mereka bodoh dan tiada kelayakan, tetap diangkat kerana manusia meletakkan aras kejayaan diukur melalui sejauh mana harta yang berjaya dikumpul.

Kini, orang-orang berilmu tidak lagi disanjung tinggi atau dijadikan idola masyarakat. Sedangkan kemuliaan manusia berbanding makhluk yang lain di dunia ini adalah kerana memiliki akal fikiran. Ilmu pula adalah makanan akal. Namun manusia lebih menganggap kemuliaan seseorang terletak pada harta dunia.

Sabda Rasulullah S.A.W: 

لا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَظْهَرَ الْفُحْشُ وَالْبُخْلُ ، وَيُخَوَّنُ الأَمِينُ وَيُؤْتَمَنُ الْخَائِنُ ، وَيَهْلِكُ الْوُعُولُ وَيَظْهَرُ التُّحُوتُ

“Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah terzahirnya kesundalan dan kebakhilan. Orang-orang amanah dianggap sebagai pengkhianat manakala pengkhianat diberikan amanah. Golongan yang mulia semakin binasa sedangkan golongan bangsat semakin ramai.”

[HR Ibn Hibban]

Inilah antara perkara yang menjadi punca kepada lahirnya golongan-golongan tidak layak menjadi pemimpin. Apabila majoriti rakyat sudah rosak pertimbangan sanjungannya, maka ia akan mempengaruhi pemilihan mereka kepada pemimpin sebagaimana lunas demokrasi moden.

Sabda Rasulullah S.A.W:

فَإِذَا ضُيِّعَتِ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ)، قَالَ: كَيْفَ إِضَاعَتُهَا؟ قَالَ: (إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ

“Apabila amanah sudah hilang maka nantikanlah kiamat. Sahabat bertanya bagaimana ia hilang? Jawab Baginda: apabila diserahkan urusan kepada bukan orang selayaknya maka nantikanlah kiamat.”

[HR Bukhari]

Apabila dikaji lebih mendalam, kerosakan pertimbangan manusia ini dipengaruhi oleh media-media yang turut dikuasai oleh Barat. Secara gambaran luas, kerosakan ini sudah dirancang dengan begitu rapi. Kerosakan ini sudah meliputi sudut ekonomi, politik, pemikiran dan media.

Siapakah dalang kerosakan masyarakat yang begitu besar ini? Apakah perkara ini tidak pernah diperingatkan oleh Islam? Penulis percaya inilah kerosakan akhir zaman yang dibawa oleh Yakjuj dan Makjuj. Melalui hadis tentang kerosakan Arab di atas, Nabi S.A.W mengaitkannya dengan keluar Yakjuj dan Makjuj. Pihak yang telah merosakkan bangsa Arab pula adalah pihak yang sama mempengaruhi sistem politik, ekonomi, hiburan, media dan sebagainya.

Huraiannya lanjut mengenai perihal Yakjuj dan Makjuj akan dikongsikan pada ayat ke 94 nanti.

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 28/5/2019