Mengapa Tatar memusuhi Islam?

Era kebangkitan kuasa baru
 
Suatu sunnatullah yang diatur oleh Allah, bahawa setiap fasa kegemilangan pasti akan berlakunya fasa kejatuhan. Saidina Umar Al Khattab R.A tatkala turunnya surah al-Maidah ayat 3 beliau bersedih. Lalu ada Sahabat yang bertanya mengapa Umar bersedih sedangkan ia merupakan kegembiraan kerana Islam telah sempurna kesemuanya. Jawab Umar, selepas kesempurnaan, pasti akan ada kekurangan (merujuk kepada kewafatan Nabi S.A.W).
 
Allah Ta`ala mentakdirkan sebelum Islam menguasai dunia, kuasa besar sebelumnya adalah Rom dan Parsi. Islam datang kemudian sebagai kuasa besar yang ketiga, bangun tanpa bergantung pada mana-mana kuasa sama ada dari Rom mahupun Parsi. 
 
Era kegemilangan Abbasiah telah berlalu, kini memasuki fasa kejatuhan yang bermula dengan pertembungan sesama kerajaan-kerajaan kecil dan perpecahan yang parah.
 
Dalam artikel lalu menceritakan bagaimana Tatar muncul dan berkembang di bawah kekuasaan Khan Agung. Genghis Khan atau Temujin. Bermula di Asia Tengah, pergelutan dalam sesama mereka untuk merebut penguasaan total berakhir dengan Genghis Khan memenangi pertempuran epik dengan saudaranya, Jamukha. Seterusnya, Genghis Khan merenung untuk meluaskan lagi jajahannya merentasi wilayah Kerajaan Abbasiah.
 
Semangat perluasan jajahan 
 
Peperangan demi peperangan yang dimenangi oleh Genghis Khan menjadikan beliau semakin ghairah untuk menakluk wilayah yang baru. Bersebelahan dengan sempadan jajahannya adalah wilayah di bawah kekuasaan Kerajaan Al-Khawarizmi, Sultan Muhammad Al-Khawarizmi Shah yang sangat berseteru dengan Kerajaan Abbasiah.
 
Menurut Dr Raghib As-Sarjani dalam bukunya Kisah Tatar, menyebutkan ketika ini Tentera Salib ataupun Bangsa Eropah mula melihat kebangkitan Monggol dengan pandangan yang positif. Ini kerana bukan sahaja Kerajaan Islam yang mengalami fasa kelemahan, bahkan Kerajaan Salib juga mengalami isu yang sama. Lalu mereka menghantar utusan untuk bertemu dengan Genghis Khan dengan tujuan memujuk dan merayu untuk membantu mereka melawan Kerajaan Islam! 
 
Untuk menjarah Kerajaan Islam, Genghis Khan perlulah mencari tapak sebagai markaz baru yang lebih dekat dengan Baghdad, sama ada di sekitar Afghanistan atau Uzbekistan. Jarak yang amat jauh antara China dan Iraq akan memayahkan sebarang gerak kerja ketenteraan. Antara wilayah yang amat difikirkan sesuai adalah wilayah Kaukas (juga disebut Kaukasus atau Kaukasia). Sebuah wilayah yang terletak di Eropah Timur dan Asia Barat di antara Laut Hitam dan Laut Kaspia.
 
Mencari titik permusuhan
 
Untuk menyerang wilayah kekuasaan Islam, Genghis Khan memerlukan satu alasan yang kukuh. Ia dimulakan dengan mengadakan hubungan perdagangan yang berakhir dengan tragedi yang menjadi punca utama mengapa Tatar mula menjarah bumi umat Islam. Disimpulkan punca ini dalam beberapa butiran:
 
• Hubungan dagangan dimulakan di Kota Atrar yang terletak di hujung Timur sempadan Kerajaan Al-Khawarizmi, yang dipimpin oleh Sultan Yanal Shah. Rombongan perdagangan ini dibunuh dan semua hartanya dirampas dengan beberapa sebab yang direkodkan. Antaranya kerana menganggap mereka adalah pengintip, dan ada juga yang menyebutkan ia berpunca di atas ketamakan Sultan Yanal Shah terhadap harta dagangan yang dibawa.
 
• Berita pembunuhan ini sampai ke pengetahuan Genghis Khan. Lalu beliau menghantar utusan menghadap Sultan Muhammad Khawarizmi Shah untuk meminta penjelasan. Malangnya, Sultan Khawarizmi bertindak membunuh utusan tersebut. Pembunuhan utusan inilah dianggap sebagai pintu permulaan permusuhan Tatar terhadap Islam.
 
• Ada juga riwayat yang menyebutkan, kerajaan pusat Abbasiah di Kota Baghdad, ketika itu di bawah kekuasaan Sultan Nasir Li Dinillah yang menghantar surat kepada Genghis Khan untuk menyerang Kerajaan Khawarizmi. Ini kerana disebabkan pertentangan Khawarizmi dengan Sultan Nasir. Pendapat ini ditolak oleh Dr Ali As Solabi dan menyatakan apa yang dilakukan oleh Khawarizmi itu pun sudah cukup untuk membangkitkan kemarahan Genghis Khan.
 
• Sekalipun di sudut pandang Sultan Khawarizmi, memberikan pelbagai jawapan untuk membenarkan tindakannya, namun di sisi Genghis Khan yang lebih utama adalah rakyatnya dibunuh, dan ia mesti dibela!
 
Bermulalah titik hitam dalam sejarah umat Islam
 
Serangan Monggol bermula pada tanggal 616H dengan kerahan bala tenteranya yang dahsyat di Timur Sungai Seihun (kini dikenali dengan sungai Sardaraya di negara Khazakhtan). Diriwayatkan kedua-dua belah pihak mendapat korban dengan jumlah yang besar. Masing-masing mengorbankan 20,000 tentera, akan tetapi ia hanya suatu permulaan di pihak Monggol. 
 
Genghis Khan terus menerus menghantar ketumbukannya tanpa henti menyebabkan di pihak Al-Khawarizmi Shah mula cemas. Lalu baginda meminta bantuan tentera dari seluruh wilayah di bawah kekuasaannya, namun nyata masih tidak mampu menandingi Monggol.
 
Lalu mengapa wilayah yang lain tidak membantu Sultan Al-Khawarizmi Shah? Dan mengapa Sultan sendiri tidak meminta bantuan daripada wilayah berdekatan seumpama Kerajaan Al-Ghuri?
 
Insya Allah, akan dijawab dalam tulisan seterusnya krisis umat Islam di akhir kurun ke enam.
 
MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN – HARAKAHDAILY 29/5/2019
 
Rujukan:
– Kisah Tatar dari awal hingga Ain Jalut Dr Raghib As Sarjani
– Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Monggol Dr Ali As Solabi
– Al Kamil Fi Tarikh Ibnu Athir
Advertisement