Syariat mengatasi adab dalam mengisi Ramadan

“YA ALLAH, berkatilah kami dalam Bulan Ramadan dan sampaikanlah kami di malam Al-qadr,” doa ini berterusan di baca, di ulang berkali-kali semoga Allah S.W.T mengizinkan kita bertemu dan diberikan keupayaan untuk beribadat pada malam tersebut. 
 
Bukan sekadar menjejaki malam-malam tertentu sahaja, sebaliknya ia perlu dilatih jiwa kita bersama daripada awal Ramadan malah para Sahabat dahulu telah mempersiap diri enam bulan sebelumnya dan berterusan berdoa kepada Allah S.W.T enam bulan selepasnya mengharapkan segala amal kebaikan sepanjang Ramadan di terima oleh Allah S.W.T.
 
Mu’alla bin Al-Fadhl, salah satu ulamak tabiu’ tabiin berkata, “Dulu para sahabat, selama enam bulan sebelum datang Ramadan, mereka berdoa agar Allah mempertemukan mereka dengan bulan Ramadan. Kemudian, selama enam bulan sesudah Ramadan, mereka berdoa agar Allah menerima amal mereka selama bulan Ramadan.” (Lathaif  Al-Ma’arif, hlm. 264).
 
Indahnya hidup bersyariat mengatasi adat masyarakat dalam beribadat khususnya di bulan Ramadan yang mulia. Banyak amal kebajikan seperti sekadar memenuhi adat berbuat aktiviti kebajikan atau hadir ke Masjid atau Surau untuk beribadat tetapi masih mengabaikan soal aurat dan ikhtilat.
 
Di sana sini kelihatan dan kedengaran majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim, asnaf fakir miskin, warga emas dan mereka yang kurang berkemampuan. Sama ada di Masjid atau di Surau atau di pejabat atau di hotel masih lagi ada pihak penganjur sekadar memenuhi adat program menjemput mereka tanpa diraikan sebagai tetamu yang akan membawa rahmat kepada keseluruhan hadirin.
 
Lebih menyedihkan lagi, pengisian program yang bercampur perkara maksiat seperti jemputan artis wanita terdedah aurat menghiburkan majlis selepas berbuka puasa sehinggakan solat Maghrib boleh lupa atau sengaja tidak diendah. Walhal sepatutnya difahami bahawa syariat Islam datang dengan penuh hikmah untuk kita manfaatkan peluang yang ada membanyakkan pahala dan mengurangkan dosa.
 
Allah Ta’ala berfirman:
 
وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.”
(An Nuur: 31)
 
Maka dengan itu, masih belum terlambat buat kita untuk kembali ke landasan sebenar, mencari pahala Ramadan berdasarkan ilmu yang disyariatkan Islam, syurga destinasi akhir kita, InsyaAllah. Perbanyakkan istighfar dan solat taubat, mudah-mudahan Allah SWT lorongkan kita ke jalan yang benar serta memanfaatkan Ramadan untuk berhijrah ke arah kesempurnaan hidup bertunjangkan syariat Islam yang sebenar berdasarkan Al-Qur’an dan As-Sunnah.
 
Justeru, marilah sama-sama kita bermuhasabah dan mengamalkan Islam secara menyeluruh agar kita layak dianugerahkan takwa di sisi Allah S.W.T setelah melalui Ramadan pada kali ini. Kita bersama-sama menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sebagai tanggungjawab kita sesama Muslim.
 
Maksud Hadis yang telah diriwatkan oleh Rasulullah S.A.W:
 
“Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, dia hendaklah mencegahnya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu (mencegah dengan tangan  – kuasa), maka hendaklah dia mengubah dengan menggunakan lidahnya (teguran dan nasihat), maka sekiranya ia tidak mampu juga hendaklah ia mengubah dengan hatinya (iaitu tidak reda dan benci) dan demikian itu adalah selemah-lemah iman. Tidak ada lagi iman selepas tahap itu walaupun sebesar biji sawi”.
(Hadis riwayat Tirmizi)
– HARAKAHDAILY 28/5/2019
Advertisement