Elak ‘tragedi Aidilfitri’ di jalan raya

KUALA LUMPUR: Aidilfitri yang dinanti mengundang keterujaan hampir majoriti rakyat Malaysia, namun di sebaliknya, sikap berhati-hati dan waspada di jalan raya perlu dititikberatkan bagi mengelakkan perkara tidak diundang di kemudian hari.

Advertisement

Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Salamiah Mohd Nor, menasihatkan perantau di musim perayaan ini agar tidak menjadikan ia sebagai ‘tragedi Aidilfitri’ yang tentunya menyedihkan.

“Jangan tergesa-gesa, jangan pentingkan diri sendiri, jangan memandu terlalu laju, pastikan kenderaan yang kita bawa itu selamat, dan moga-moga kepulangan kita itu bukan kepulangan dengan satu tragedi yang mengguris hati dan menyedihkan.

“Berhati-hati di jalan raya dan perlu ingat bahawa bukan kita sahaja nak selamat, bahkan orang lain juga nak selamat. Jadi kita sama-sama menjaga kita adab, dan tatacara mengikut undang-undang yang ditetapkan,” ujarnya ketika hadir menyampaikan sumbangan duit raya kepada kakitangan Harakah pagi tadi.

Mengulas lanjut, beliau mewakili DMPM menzahirkan rasa belas kepada rakyat Malaysia menyambut hari raya dengan bebanan ekonomi yang merosot terutamanya golongan berpendapatan rendah.

“DMPM memang terasa sangat pada tahun ini, kerana ini adalah tahun yang mana kita sedar di luar sana ramai masyarakat rasa perit dan sukar, bukan sahaja merupakan tahun kenaikan harga barang yang begitu teruk, juga kenaikan bil elektrik yang mendadak.

“Terutamanya bagi mereka yang ada di sektor bahan mentah iaitu komoditi, penoreh getah dan juga kelapa sawit. Kami faham, insya-Allah dan kita berdoa kepada Allah SWT supaya Allah memberikan ketenangan atau digantikan dengan perkara-perkara yang memberikan ketenangan,” ujarnya.

Mengambil kesempatan ini, beliau mewakili DMPM mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidilditri Maaf Zahir dan Batin’ di samping tidak lupa mengingatkan agar sentiasa mengingat Allah SWT serta keselamatan meninggalkan rumah dan harta benda ketika ketiadaan di rumah. – HARAKAHDAILY 29/5/2019