Era PH boleh iftar di Gurdwara Sahib

TUMPAT: Tidak pernah berlaku dalam sejarah orang Islam berbuka puasa di rumah ibadat bukan Islam, namun di era Malaysia Baharu sekarang ia bukan lagi perkara pelik.

Advertisement

Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Hushaimi Hussian berkata, perbuatan itu tidak sewajarnya berlaku walaupun atas semangat toleransi antara agama.

Katanya, sekarang bukan setakat berbuka puasa di rumah ibadat bukan Islam, malah bantuan zakat pun turut diagih golongan berkenaan.

“Inilah sebenarnya wajah Malaysia Baharu di bawah pemerintahan Pakatan Harapan sekarang. Isu ini tidak pernah berlaku sepanjang sejarah,” katanya selepas majlis penyampaian bonus, sumbangan raya dan pelancaran NGO Ikatan Generasi Tumpat di Dewan Bunga Raya Pantai Sri Tujuh di sini semalam.

Pelancaran dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Ustaz Wan Roslan Wan Hamat.

Semalam tular di media sosial kehadiran anggota Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir di majlis Iftar Muhibbah di Gurdwara Sahib milik penganut agama Sikh.

Selain masyarakat Sikh, program itu dilapor turut disertai 250 komuniti Persatuan Cina Muslim Malaysia dan jemaah Masjid India Muslim Johor Bahru. – HARAKAHDAILY 29/5/2019