Laksana amal beratkan timbangan ke Syurga

TAMBUN: Peluang berada di 10 hari terakhir Ramadan mesti dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya kerana segala amalan sekecil mana sekalipun akan membantu timbangan ke Syurga kelak.

Advertisement

Nasihat tersebut diserukan tokoh ulamak terkenal, Tuan Guru Nik Razi Nik Mat ketika memenuhi undangan menyampaikan tazkirah Ramadan di Pusat Tarbiyah PAS Kawasan Tambun, di sini semalam.

“Kalau kita buat amalan-amalan semalaman, tapi bukan Lailatul Qadar lagi, macam mana? Wuduk Allah timbal (kira), kita melangkah datang (masjid) ditimbal, semua ditimbal.

“Ada orang yang 50-50 (pahala dosanya), akan dicari juga amalan dia dicelah jari, dicelah rambut, celah janggut untuk bantu beratkan timbangan masuk ke Syurga,” jelas beliau.

Tuan Guru turut mengingatkan anak muda untuk sentiasa mencari dan menambah ilmu pengetahuan kerana taraf orang berilmu dengan mereka yang tidak berilmu adalah berbeza.

“Sama macam anak-anak kita bila berhenti belajar Tingkatan 3. Bila kerja dapat gaji sama dengan tahap SPM atau Diploma. Kalau dia bergraduasi ‘degree’, dapat gaji tinggi lagi. Perkara akhir itu yang penting,” hujahnya.

Dalam peringatan itu, beliau turut menitipkan mengenai keadaan kubur yang umumnya gelap, sempit dan panas di mana menuntut dipersiapkan diri dengan amalan semasa hidup.

Kerana ujarnya, kematian tidak diketahui tarikhnya dan segala persiapan itu adalah agar dikurniakan kubur yang cerah, luas dan sejuk.

Beliau yang kini dalam Kembara Ilmu bagi mencari dana pembinaan Masjid Nikmatullah di negeri Kelantan itu turut mengimamkan solat Maghrib berjamaah selepas berbuka puasa bersama ahli-ahli PAS. – HARAKAHDAILY 29/5/2019

IMG 20190529 WA0063