PAS Tambun kesal aduan musibah rakyat diabaikan

TAMBUN: Nasib penduduk yang kediaman mereka sering mengalami banjir kerana menjadi ‘mangsa’ pembinaan longkang oleh pemaju telah mendapat perhatian PAS Kawasan Tambun.
 
Yang DiPertua PAS Tambun, Ustaz Salleh Said sendiri turun melihat sendiri keadaan dua kediaman dan longkang yang menjadi punca banjir tersebut di Batu 6, Hulu Kinta, di sini sebentar tadi.
 
Beliau dimaklumkan, pemilik kediaman tersebut iaitu E Selvaraj telah mengemukakan berpuluh-puluh aduan sejak tahun 2011 namun tidak dilayan sewajarnya oleh mana-mana pihak.
 
Keadaan tersebut menyebabkan beliau yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan ahli keluarganya sering ditimpa banjir walaupun hujan berlaku tidak sampai sejam.
 
Hasil tinjauan Ustaz Salleh bersama Ketua Pemuda PAS Tambun, Ustaz Hafez Sabri mendapati, longkang dibina syarikat pemaju memasuki lot rumah rakyat dan tanpa pengetahuan mereka.
 
“Mengapa syarikat terbabit bina longkang di dalam kawasan rumah Selvaraj sendiri dan bukan di tanah rizab sebelahnya? Siapa beri keizinan? Ini boleh dikira menceroboh tanah rakyat.
 
“Malah, kedudukan longkang itu tinggi dari tapak rumah menyebabkan air bertakung. Sejak itu rumah Selvaraj dan jirannya sering dilanda banjir menyebabkan banyak kerosakan barangan.
 
“Banyak bahagian rumah mereput. Jiran mereka pula dalam keadaan suami isterinya buta. Bayangkan keadaan mereka bila rumah dinaiki air,” ujar beliau kesal.
 
Beliau difahamkan, oleh kerana keadaan demikian dan kemudahan di dalam rumah juga rosak, keluarga tersebut terpaksa tidur di dalam kereta setiap kali hujan turun.
 
Sehubungan itu, Ustaz Salleh menggesa wakil rakyat Dun Hulu Kinta dan Parlimen Tambun serta agensi terlibat segera membantu keluarga itu yang berdepan masalah kritikal tersebut.
 
“Saya dimaklumkan aduan telah dibuat juga kepada pejabat wakil rakyat dan agensi kerajaan. Pihak ditimpa musibah ini telah lakukan pelbagai saranan, tetapi sampai sekarany masih tiada tindakan diambil. – HARAKAHDAILY 29/5/2019
IMG 20190529 WA0023
Advertisement