Wala’ dan taat penapis berjemaah

WALA’ dan taat adalah dua perkataan yang menjadi rukun kepada Jemaah Islam yang melangsungkan perjuangan menegakkan Islam.
Wala’ bermaksud kepatuhan, kasih dan setia dengan ikhlas kepada perjuangan Islam kerana Allah. Adapun taat pula bererti kepatuhan mengikut perintah sahaja. Maka ketaatan menjadi sebahagian daripada sifat wala’ yang mesti dikukuhkan dengan kasih dan setia dengan ikhlas yang tidak berbelah bahagi, bagi mencapai tujuan wala’.
Rasulullah S.A.W. bukan sahaja menyampaikan ciri tersebut dengan ayat-ayat Al-Quran yang dibaca, bahkan disertakan dengan amalan yang dilaksanakan sepanjang dakwah dan jihad sehingga berjaya memerintah negara.
Antara contohnya adalah peristiwa Hudaibiyah dengan melaksanakan konsep perdamaian lebih diutamakan dalam hubungan dengan pihak lain bagi menyampaikan mesej dakwah kepada semua termasuk musuh.
Perjanjian yang banyak mengandungi perkara tersirat yang dilihat oleh Rasulullah S.A.W. tanpa difahami oleh para sahabat R.A. sehingga mencetuskan kemarahan kerana kandungan perjanjian yang dilihat lebih berpihak kepada musuh, namun ketegasan Rasulullah S.A.W. menyebabkan mereka menerima kerana berpegang kepada konsep wala’ kepada Allah dan Rasul, walaupun mereka menerimanya dengan rasa cemas. Ternyata pada penghujungnya memberi kemenangan kepada Islam sehingga berjaya menjadi sebab pembebasan Makkah daripada belenggu jahiliah.
Selain itu juga adalah peristiwa Zat As-Salasil, apabila Rasulullah S.A.W. melantik sahabatnya ‘Amr bin Al-‘As R.A. yang baru sahaja masuk Islam, supaya memimpin operasi menghadapi musuh di Zat As-Salasil, yang dekat dengan peristiwa Perang Mu’tah yang mengorbankan para syuhada’ daripada kalangan para sahabat pilihan, seperti Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Talib dan Abdullah bin Rawahah R.A. kerana menghadapi musuh yang besar jumlah tenteranya, campuran antara Rom dan Arab.
Perlantikan ‘Amr bin Al-‘As R.A. kerana diketahui ketokohannya sejak zaman jahiliah dan Rasulullah S.A.W. bersabda:
خِيَارُهُمْ في الْجاهِليَّةِ خِيَارُهُمْ في الإِسلامِ إذَا فَقُهُوا )متفقٌ عَلَيهِ(
“Mereka yang terbaik (ketokohannya) sewaktu jahiliah menjadi terbaik juga sewaktu bersama Islam sekiranya mereka memahami (Islam)”. (Muttafaqun ‘Alaih)
‘Amr juga seorang yang paling tahu kawasan itu kerana tempat asal ibunya. Apabila didapati jumlah bala tentera musuh terlalu besar, maka diminta menghantar tentera tambahan. Maka dihantarnya bala tentera diketuai oleh Abu Ubaidah ‘Amir bin Jarrah R.A. dengan penyertaan Abu Bakar R.A. dan Umar bin Al-Khattab R.A. yang lebih kanan dan besar kedudukannya.
Rasulullah mengarahkan para sahabatnya supaya mentaati ‘Amr bin Al-‘As R.A., ketua yang dilantik terdahulu,  walaupun mereka  lebih tinggi  ketokohannya seperti Abu Ubaidah ‘Amir bin Jarrah R.A. salah seorang ahli syura negara, Abu Bakar R.A. dan Umar R.A. yang lebih besar kedudukannya.
Mereka diarahkan bergerak pada waktu malam dan berhenti pada waktu siang hari kerana perjalanannya yang dirahsiakan. Apabila mereka tiba pada waktu malam bagi menyembunyikan ketibaan mereka daripada pengetahuan musuh, ‘Amr mengarahkan larangan memasang sebarang api. Mereka mendesak supaya dinyalakan api kerana menghadapi musim sejuk. ‘Amr dengan keras melarangnya dan mengarahkan hukuman keras terhadap sesiapa yang tidak mengikut arahannya.
Pada waktu subuh ‘Amr didapati bertayamum, mereka semua berwuduk, tiba-tiba ‘Amr terus ke hadapan menjadi imam solat Subuh. Abu Ubaidah tampil ke hadapan untuk menjadi imam, tetapi ‘Amr tidak mengizinkan alasannya kerana dia yang menjadi ketua pasukan.
Apabila tiba waktu siang mereka terus melancarkan serangan sehingga musuh berundur, tetapi ‘Amr mengarahkan supaya serangan dihentikan dan mereka terus diarah pulang ke Madinah. Perintah berundur ketika musuh sedang dikejar kerana dilihat kalah dan sudah lemah sangat memarahkan mereka yang sedang berkobar semangatnya dan pasti kalau diteruskan dapat dikalahkan.
Tibanya di Madinah mereka terus melaporkan tindakan ‘Amr bin Al-‘As yang tidak menyenangkan itu. Rasulullah S.A.W. memanggilnya dan meminta penjelasan. Alasannya bahawa larangan menyalakan api kerana menyembunyikan kedudukan mereka daripada pandangan musuh dan merahsiakan ketibaan mereka adalah sebahagian daripada strategi penting dalam peperangan itu. Menyalakan api membahayakan kedudukan dan menjadi sasaran serangan musuh, lebih-lebih lagi kekuatan musuh itu lebih besar.
Adapun bertayamum dengan tanah kerana kesejukan yang membahayakan jasad dan kemudahan yang diberi Allah boleh bertayamum. Rasulullah S.A.W. ketawa mendengar hujah ini.
Adapun dihentikan serangan mengejar musuh yang berundur, kerana pengunduran musuh itu sebenarnya helah peperangan bagi mengheret tentera Islam ke dalam kawasan perangkap yang lebih berbahaya kedudukannya. Pengunduran musuh itu sahaja sudah dapat memberi kemenangan moral dari segi propaganda kepada tentera Islam yang sedikit jumlahnya menghadapi musuh yang sedang menunggu. Semua langkah yang diambil diakui betul dan bijak bagi seorang panglima tentera yang mahir dan berpengalaman menghadapi keadaan.
Peristiwa ini menunjukkan konsep wala’ dan taat dalam perkara yang tidak ada nas, di mana ijtihad sangat diperlukan. Wala’ dan taat dalam berjemaah adalah wajib dengan kepercayaan yang wajib diberi kepada kepimpinan yang mengendalikan perjalanan sesuatu perjuangan mengikut strategi yang dilihat oleh kepimpinan utama dan diatur dalam perkara yang bukan dinaskan wajib, halal dan haram secara mutlak yang ketaatannya juga wajib secara mutlak.
Rasulullah S.A.W. menunjukkan contoh sebelumnya dalam peristiwa Uhud yang terkenal, apabila menerima cadangan supaya keluar menentang musuh di luar Madinah yang berbeza dengan cadangan awal daripada Rasulullah S.A.W. supaya bertahan di dalam Kota Madinah, kerana dilihat bahawa strategi yang lebih baik daripada cadangannya sendiri.
Kemenangan awal yang dicapai dalam perang Uhud kerana mentaati arahan. Ketewasan berlaku selepasnya, apabila pasukan pemanah tidak mentaati arahan supaya jangan meninggalkan bukit yang ditempatkan mereka, kerana mengejar harta barangan yang ditinggalkan oleh musuh. 
Namun wala’ terhadap Rasulullah S.A.W. dapat menyelamatkan keadaan dengan kembali mentaatinya supaya berundur mengambil kedudukan baru untuk bertahan di tempat yang tinggi di kaki bukit Uhud.
Konsep taat dan wala’ ini wajib dihayati oleh kumpulan Islam dalam semua keadaan, termasuk dalam Muwajahah Silmiyah (pendekatan damai) melalui amalan demokrasi.
Konsep ini juga tempat menguji kesetiaan ahli kepada Jemaah Islam. Seseorang ahli yang setia tidak akan meninggalkan jemaah, pada masa menang dan kalah, rebah dan bangun, selagi Islam menjadi akidah perjuangan yang tidak dihapuskan.
Allah berfirman:
إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ (55) وَمَن يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْغَالِبُونَ (56)
“Sesungguhnya wali kamu (pemimpin dan penolong kamu yang diwala’kan kepadanya( hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).(55); Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman itu walinya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (jemaah atau parti yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang”. (56) (Surah Al-Maa’idah: 55-56)
Wala’ dan taat kepada Allah dan Rasul itu secara mutlak, kerana Allah itu Maha Suci daripada sifat kekurangan dan Rasul itu bersifat ‘ismah (maksum) dikawal peribadinya oleh wahyu daripada Allah. Adapun para pemimpin dari kalangan orang-orang yang beriman itu tidak mutlak, kerana bersyaratkan tidak dalam perkara yang nyata maksiatnya dengan nas yang tidak ada khilaf sedikit pun. Wala’ dan taat wajib terhadap pemimpin yang beriman, walaupun pemimpin yang dirinya fasiq, tetapi arahannya bersifat nas atau ijtihad dalam jemaah. Firman Allah:
وَلَعَبْدٌ مُّؤْمِنٌ خَيْرٌ مِّن مُّشْرِكٍ وَلَوْ أَعْجَبَكُمْ أُولَٰئِكَ يَدْعُونَ إِلَى النَّارِ وَاللَّهُ يَدْعُو إِلَى الْجَنَّةِ وَالْمَغْفِرَةِ بِإِذْنِهِ وَيُبَيِّنُ آيَاتِهِ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ (221)
“Sesungguhnya seorang hamba abdi yang beriman lebih baik daripada seorang  musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke Neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya)”. (Surah Al-Baqarah: 221)
Tidak menjadi kesalahan mengadakan kerjasama yang bersifat Tahaluf atau Taawun dengan bukan Islam dan menegakkan kebenaran kerana keizinan Allah:
لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (8)
 
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang (bukan Islam) yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”. (Surah Al-Mumtahanah: 8)
 
Namun, diharamkan berwala’ kepada bukan Islam kerana firman berikutnya:
إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ (9)
“Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan wali (pemimpin atau teman rapat yang berwala’) kepada orang-orang (bukan Islam) yang memerangi kamu kerana agama kamu (Islam), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah Al-Mumtahanah: 9)
 
Bahkan Allah melabelkan sifat munafik terhadap seorang yang mengharapkan kemenangan dengan berwala’ kepada bukan Islam, kerana firman Allah:
بَشِّرِ الْمُنَافِقِينَ بِأَنَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا (138) الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِ الْمُؤْمِنِينَ أَيَبْتَغُونَ عِندَهُمُ الْعِزَّةَ فَإِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا (139)
“Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: Bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (138); (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi wali (teman yang diberi wala’) dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya”. (139) (Surah An-Nisa’: 138-139)
Maka cukuplah bagi ahli PAS memahami secara nyata, betapa mereka yang telah meninggalkan perjuangan Islam tanpa pedulikan wala’ dan taat kepada jemaah menjadi syaitan-syaitan bisu yang pengecut terhadap musuh dan berani terhadap Islam.
Allah menerima taubat orang yang beriman walaupun tidak budiman dan Allah menolak amalan budiman orang yang tidak beriman, berpandukan firman Allah kepada Rasulullah S.A.W. yang menjadi contoh kepada seluruh manusia:
وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ (65)
“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad S.A.W.) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya! Jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi”. (Surah Az-Zumar: 65)
“Islam Memimpin”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 24 Ramadan 1440 / 29 Mei 2019 – HARAKAHDAILY 29/5/2019
Advertisement