Kerajaan tidak wajar pinjam daripada ‘along’

SELEPAS pinjaman menerusi Bon Samurai berjumlah kira-kira RM7 bilion, Malaysia dijangka akan membuat pinjaman baharu dengan Bank Pembangunan Asia (Asian Development Bank) pula susulan pertemuan antara YAB Perdana Menteri dengan Presiden ADB, Takehiko Nakao beberapa hari lalu.

Advertisement

Tindakan tersebut akan menyebabkan Malaysia terpaksa menagih sekali lagi sumber pinjaman luar sehingga membebankan kewangan negara.

Sedangkan, pinjaman Kerajaan Persekutuan telah meningkat 1.8% kepada RM131.6 bilion pada akhir tahun 2018 berbanding 2017 dengan 59% daripadanya digunakan untuk membayar semula hutang dan hanya baki 41% adalah untuk membiayai perbelanjaan membangun.

Hutang Kerajaan Persekutuan juga secara tidak langsung terus menokok daripada RM686.6 bilion kepada RM741 bilion pada akhir tahun 2018.

Meskipun ia masih di bawah paras statutori 55% daripada KDNK, tapi sikap ketagihan hutang akan mengheret negara ke paras tersebut.

Pada Suku Pertama 2019 pula, hutang semasa Kerajaan terus meningkat kepada RM768.8 bilion. Hal ini bermakna dalam tempoh tiga bulan sahaja, Kerajaan telah menagih hutang sebanyak RM27.7 bilion menjadikan sasaran Kerajaan untuk mencapai defisit pada paras 3.4% pada akhir tahun 2019 kemungkinan besar tidak akan menjadi kenyataan.

Persoalannya, adakah ini sebahagian daripada pelan tindakan penubuhan Debt Management Office (DMO) yang diketuai oleh Menteri Kewangan?

Ironi, meskipun dikatakan pelbagai langkah telah diambil untuk mengurangkan peruntukan bagi projek-projek mega dan beroleh berbilion penjimatan, namun pinjaman dan hutang tetap bertambah. Maka, apakah tujuan pinjaman-pinjaman khususnya dari luar negara dilakukan? Tidakkah ia akhirnya akan membebankan kewangan kerajaan?

Oleh itu, saya mendesak agar pinjaman daripada “along” yang berasaskan riba ini tidak diteruskan kerana ia akan membebankan negara membangun seperti Malaysia, bukannya membantu. Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai asas dalam Perlembagaan, sewajarnya Kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) tidak membesarkan lagi saiz pinjaman riba kerana ia hanya meletakkan negara dalam keadaan bahaya dengan beban hutang yang besar pada masa akan datang.

“Islam Memimpin”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Khamis, 30 Mei 2019 | 25 Ramadan 1440 – HARAKAHDAILY 30/5/2019