Zakat: Usah ambil keuntungan politik

APABILA pemberian wang zakat atau apa sahaja berkaitan zakat cuba diambil keuntungan politik terutamanya oleh pemimpin bukan Islam, ia adalah sesuatu yang serius dan perlu diambil perhatian. Ini adalah kerana di dalam isu zakat, proses wajib yang lazimnya adalah ia diambil dari orang Islam, untuk orang Islam dan diuruskan oleh orang Islam.

Advertisement

Namun apabila tularnya di media sosial mengenai Adun Pulau Tikus , Chris Lee Chun Kit mengedarkan kit bantuan zakat kepada penerima zakat, saya merasakan ia sangat tidak wajar dilakukan malah belum pernah berlaku sebelum ini di dalam negara. Isu zakat cukup sensitif di kalangan orang Islam dan adalah sangat wajar orang Islam yang menguruskannya.

Saya difahamkan juga perkara sama turut dilakukan oleh beberapa lagi wakil rakyat bukan beragama Islam di Pulau Pinang. Ia seharusnya tidak berlaku dan wajib ditegur malah dipantau agar tidak menimbulkan prasangka buruk oleh orang Islam dan tidak berlaku lagi. Malah ia juga boleh mendatangkan fitnah yang boleh meresahkan umat Islam di dalam negara.

Adalah lebih baik jika wakil rakyat yang bukan Islam menyerahkan perkara berkaitan zakat kepada pegawai-pegawai mereka yang beragama Islam. Ia akan jadi lebih mudah dan tidak menimbulkan syak wasangka serta fitnah. Perkara sebegini harus dipantau oleh pihak berwajib agar ia tidak berulang lagi.

Saya menyeru kepada umat Islam di dalam negara agar sama-sama menghayati Ramadan dan menjaga agama Islam agar tiada yang mengambil kesempatan ke atasnya di bulan yang mulia ini. Islam wajar dipelihara kesuciannya agar tidak diperkotakkatikkan dan di ambil kesempatan ke atasnya. Jika kita sebagai umat Islam tidak menjaga dan memelihara kesuciannya, siapa lagi yang kita mahu harapkan?

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 30/5/2019