Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (26)

وَلَوۡلَآ إِذۡ دَخَلۡتَ جَنَّتَكَ قُلۡتَ مَا شَآءَ ٱللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّهِۚ إِن تَرَنِ أَنَا۠ أَقَلَّ مِنكَ مَالٗا وَوَلَدٗا

Advertisement

“Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: (Semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah)! (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah)? Kalau engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding denganmu,”

فَعَسَىٰ رَبِّيٓ أَن يُؤۡتِيَنِ خَيۡرٗا مِّن جَنَّتِكَ وَيُرۡسِلَ عَلَيۡهَا حُسۡبَانٗا مِّنَ ٱلسَّمَآءِ فَتُصۡبِحَ صَعِيدٗا زَلَقًا

“Maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu, dan (aku bimbang) dia akan menimpakannya dengan bala, bencana dari langit, sehinggalah menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus.”

أَوۡ يُصۡبِحَ مَآؤُهَا غَوۡرٗا فَلَن تَسۡتَطِيعَ لَهُۥ طَلَبٗا

“Ataupun air kebun itu akan menjadi kering ditelan bumi, maka dengan yang demikian, engkau tidak akan dapat mencarinya lagi”.”

Penekanan utama ayat:

●     Hawalah

Islam mengajar mengucapkan berbagai zikir tanda hati sentiasa mengingatinya. MasyaAllah diucapkan ketika merasa kehairanan ataupun takjub. Hawalah (لا حول ولا قوة الا بالله) pula dibaca ketika melihat sesuatu luar biasa, menakutkan dan juga menakjubkan.

●     Yakin Allah bantu

Walaupun diuji dengan ujian yang berat, perlu sentiasa positif dan bersangka baik bahawa Allah akan membantu mereka. Sabda Rasulullah S.A.W:

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ ، وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لا يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ لاهٍ

“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa Dia akan mengabulkannya. Ketahuilah bahawa Allah tidak mengabulkan doa mereka yang hatinya lalai (daripada meyakini pengabulan tuhan).”

Ibrah akhir zaman:

Ayat ini sebenarnya menunjukkan keizzahan kepada mereka yang tidak diberikan keluasan harta. Walaupun tidak berada, namun itu tidak menjadikan lelaki beriman itu tunduk dan merasa hina di hadapan sahabatnya yang kaya tetapi kufur. Namun tidak juga menunjukkan beliau dengki kerana dia hanya meminta supaya sahabatnya beriman.

Menjadi golongan fakir adalah kelebihan yang baik disisi Islam. Nabi S.A.W bersabda:

يَدْخُلُ الْفُقَرَاءُ الْجَنَّةَ قَبْلَ الْأَغْنِيَاءِ بِخَمْسِ مِائَةِ عَامٍ نِصْفِ يَوْمٍ

“Orang fakir masuk syurga separuh hari bersamaan 500 tahun lebih awal berbanding orang kaya”

[HR Tirmizi]

Nabi juga bersabda bahawa orang fakir ramai di syurga sebagaimana yang diceritakan dalam.peristiwa Israk dan Mikraj:

اطَّلَعْتُ فِي الْجَنَّةِ فَرَأَيْتُ أَكْثَرَ أَهْلِهَا الْفُقَرَاءَ، وَاطَّلَعْتُ فِي النَّارِ فَرَأَيْتُ أَكْثَرَ أَهْلِهَا النِّسَاءَ

“Aku melihat kebanyakan penghuni syurga adalah orang fakir manakala aku melihat kebanyakan penghuni neraka adalah wanita.”

[[HR Bukhari &Muslim]]

Ini kerana kemiskinan itu membuat mereka lebih dekat dengan Allah. Apabila tiada manusia ingin menolong mereka, maka Allah sahajalah tempat mereka mengadu. Ketika masa mereka tidak disibukkan dengan menguruskan dunia, maka beribadah sahajalah kerja mereka.

Allah S.W.T lebih mengetahui bahawa kaya dan miskin adalah sunnatullah supaya yang kaya melihat si miskin dengan keinsafan, manakala yang miskin sentiasa meminta daripada Allah. FirmanNya:

وَلَوْ بَسَطَ اللَّهُ الرِّزْقَ لِعِبَادِهِ لَبَغَوْا فِي الأَرْضِ وَلَكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مَّا يَشَاء

“Sekiranya Allah lapangkan rezeki kepada semua hambaNya nescaya mereka akan memberontak di bumi ini. Akan tetapi Allah telah menurunkan kepada mereka rezeki mengikut kadar yang Dia kehendaki sahaja.”

[As-Syura:27]

Malangnya fenomena akhir zaman memperlihatkan bahawa orang merasakan kemiskinan adalah satu penghinaan. Orang miskin merasakan mereka tersisih daripada dunia luar manakala orang kaya tidak melayan orang miskin setaraf dengan mereka.

Golongan miskin yang telah membiasakan diri mereka dengan kesusahan dan redha dengan nasib mereka sebenarnya adalah satu latihan supaya mereka memiliki daya tahan yang kuat ketika berhadapan dengan fitnah Dajjal. Orang yang biasa hidup senang biasanya sukar berhadapan dengan godaan Dajjal, kerana dia mampu (dengan izin Allah) untuk menjadikan hidup seseorang senang atau susah.

Menjadi keperluan untuk orang miskin supaya tidak merasa hina sekali-kali dengan nasib diri mereka. Di samping itu mereka menguatkan diri dengan Zuhud, Qanaah, Iffah dan Tawakkal agar terus kuat apabila menghadapi Dajjal.

Kepada yang berada pula perlu sentiasa mendidik jiwa seperti orang miskin yang sentiasa berharap kepada Allah. Sentiasa mendampingi orang miskin, membantu mereka, memuliakan mereka dan tidak kisah seandainya dijadikan miskin. Sabda Rasulullah S.A.W:

اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مِسْكِينًا، وَأَمِتْنِي مِسْكِينًا، وَاحْشُرْنِي فِي زُمْرَةِ الْمَسَاكِينِ يَومَ القِيَامَةِ

“Ya Allah hidupkan aku dalam keadaan miskin, matikan aku dalam keadaan miskin, dan hidupkan aku bersama orang-orang miskin.”

[HR Tirmizi]

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 31/5/2019