Bekas Adun Kelaboran meninggal di Makkah

KOTA BHARU: Bekas Adun Kelaboran Mohd Zaki Ibrahim meninggal dunia di hospital di Makkah kira kira jam 2.45 petang waktu tempatan.

Advertisement

Menurut maklumat keluarga, arwah tidak sedarkan diri ketika dirawat di hospital di Makkah sejak semalam.

Difahamkan berlaku jangkitan kuman di bahagian otaknya menyebabkan beliau tidak sedarkan diri.

Arwah ke Makkah menunaikan umrah bersama isteri dan empat anak, mengikut jadual dijangka pulang ke tanah air pada 2 Syawal.

Jenazahnya difahamkan disolat jutaan umat Islam di Masjidilharam selepas solat Isyak malam ini.

Lebih 2 juta umat Islam dari seluruh dunia berhimpun di Makkah pada 10 akhir Ramadan.

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob dan pimpinan kerajaan negeri merakam ucapah takziah kepada keluarganya.

“Ucapan takziah kepada seluruh keluarga Haji Zaki Ibrahim, mantan Adun Kelaboran atas kembalinya beliau ke rahmatullah pada petang Jumaat terakhir di Makkah Al-Mukarramah, pada 31 Mei 2019 bersamaan 27 Ramadan 1440 Hijrah.

“Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat Allah, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan di kalangan orang yang soleh,” ujar beliau menerusi laman Facebook.

Pada Pilihanraya Umum lepas Mohd Zaki tidak bertanding selepas mempertahankan Dun Kelaboran beberapa penggal. – al Fatihah – HARAKAHDAILY 31/5/2019