Dari pasar hamba ke takhta Sultan

SULTAN Muzaffar Saifuddin Qutuz menurut catatan yang masyhur, nama beliau adalah Mahmud bin Mamdud, berasal dari keturunan beraja melalui bapa saudaranya iaitu Jalaluddin Al Khawarizmi. Tatar mula menjarah bumi umat Islam bermula dengan Kerajaan Al Khawarizmi. Tidak didapati periwayatan yang menceritakan perihal awal kelahiran, keluarga mahupun adik beradiknya.
 
Ada juga pendapat yang mengejutkan Qutuz berasal dari keturunan Khasdasyiah di Mesir. Namun tidak banyak info yang boleh menyokong fakta ini.
 
Pada awalnya, umat Islam berjaya memenangi pertempuran, namun fasa berikutnya umat Islam mula tewas kerana jumlah Tatar yang terlalu besar. Ini menyebabkan Sultan Khawarizmi melarikan diri ke India. Manakala keluarganya ada yang dibunuh dan ada yang ditawan termasuklah Qutuz.
 
Qutuz tidak dibunuh, dan gelaran Qutuz itu diberikan oleh pihak Monggol kerana melihat karakter Mahmud pada waktu itu yang bengis dan penuh kebencian. Qutuz bermaksud anjing liar. Bermula dari sinilah Qutuz dibawa ke pasar-pasar untuk dijual sebagai hamba, yang akhirnya beliau dijual di pasar Damsyik dan dibeli oleh Kesultanan Ayyubiah di Mesir. 
 
Qutuz dibeli oleh Sultan Najmuddin Ayyub di Mesir, dibesarkan di istana bersama ramai lagi kanak-kanak yang lain. Suatu hikmah Allah yang tidak terduga, aturan Ilahi yang amat cantik, bahawa di Mesir inilah Qutuz mendapat tarbiyah yang mantap dan menjadi insan yang dimuliakan Allah!
 
Berbeza dengan mana-mana Sultan, kebiasaannya hamba yang dibeli akan dikerahkan tulang empat keratnya untuk melakukan kerja-kerja berat. Namun Sultan Najmuddin mengasingkan mereka di istana dan diberikan penginapan yang baik untuk mendidik mereka dengan ilmu agama yang mencukupi sebelum diajarkan mereka ilmu peperangan.
 
Kejayaan Sultan Najmuddin Ayyub mendidik golongan hamba dengan jumlah yang besar, akhirnya sampai ke tahap mereka dijadikan sebagai tentera kerajaan. Bermula dari sinilah Sultan Najmuddin Ayyub mengasaskan kerajaannya yang baru dengan nama Kerajaan Mamalik Bahriah yang diambil sempena golongan hamba (Mamluk) dan Bahriah sempena Istana pemerintahannya yang berada di tepi laut (Citadel Ayyubiah).
 
Walaupun peranan Kerajaan Mamalik ini sangat besar tehadap sejarah Islam, namun ia agak tenggelam disebabkan krisis umat yang terlalu dahsyat pada waktu itu. Bahkan krisis dalaman Kerajaan Ayyubiah dan Mamalik itu sendiri juga menjadikan sejarah ini terlalu rumit untuk disampaikan. (Kerajaan Ayyubiah bermula tahun 569H hingga 648H).
 
Krisis dalaman Kerajaan Ayyubiah selepas kematian Sultan Najmuddin Soleh semakin memuncak. Singgahsana yang diberikan kepada anaknya Tauran Shah juga tidak bertahan lama. Syajaratu Dur yang mengambil alih takhta berdepan dengan pelbagai ancaman yang kuat untuk menurunkannya termasuk juga dari kalangan para ulamak yang mengingatkan sabdaan Nabi S.A.W akan pengharaman wanita menjadi pemimpin utama. Akhirnya Syajaratu Dur mengahwini salah seorang panglimanya iaitu Al Muiz Izzuddin Aibak yang kemudiannya ditabalkan menjadi Sultan. 
 
Apabila Muizzuddin Aibak naik takhta sebagai Sultan, yang sebenarnya perancangan awal Syajaratu Dur mahu menjadikan Aibak sebagai Sultan boneka semata-mata, rupa-rupanya Aibak juga mempunyai perancangannya sendiri. Untuk mengukuhkan kedudukannya Aibak mengisytiharkan pembentukan kerajaan dibawah kekuasaannya dengan nama Kerajaan Mamalik Al-Mu’izziah (sempena namanya) dan menjadikan Saifuddin Qutuz sebagai panglima kanannya. 
 
Malangnya Aibak dan Syajaratu Dur kedua-duanya dibunuh, lalu beralih kerusi raja kepada anaknya yang masih muda iaitu Sultan Mansur Nuruddin Ali bin Izzuddin Aibak yang umurnya baru 15 tahun. Dr Raghib As Sarjani menyebutkan, antara perkara yang sukar untuk diterima akal ialah pada waktu itu perebutan kuasa dengan menumpahkan darah ini seakan-akan terlalu biasa! Hanya dengan sedikit sangkaan buruk, sudah cukup untuk menjadi sebab Sultan dibunuh! Namun sejarah tetap sejarah yang perlu diceritakan.
 
Ketika krisis dalaman ini semakin parah, Qutuz yang pada waktu itu memihak kepada Aibak, seteru snya menjadi orang kanan kepada Sultan Nurudin Ali. Melihat kepada keadaan yang semakin memburuk, ditambah pula dengan ancaman rampasan kuasa oleh keluarga Ayyubiah lain yang mahukan tampuk pemerintahan, Qutuz membuat keputusan untuk mengambil alih kerusi Sultan daripada anaknya. 
 
Secara rasminya pada tanggal 655H, Saifuddin Qutuz diangkat menjadi Sultan Kerajaan Mamalik Al-Mu’izziah, selaku Raja bagi Negara Mesir dengan gelaran Sultan Muzaffar Saifuddin Qutuz.
 
Pengajaran:
 
Melalui kisah ini kita dapati naiknya Qutuz bukan dengan jalan yang mudah. Ia bukan sejarah yang indah sebagaimana kisah Sultan Muhammad Al Fateh. Terkadang kita perlu akui, seorang yang diuji dengan pelbagai ujian dan mengalami pelbagai kepayahan, nyata dia mampu menjadi seorang pemimpin yang baik.
 
Sejarah hitam itu tetap suatu sejarah yang tidak boleh kita ubah. Hanya kita jadikan ia sebagai sandaran untuk kehidupan pada hari ini supaya kita juga menyedari, tidak semua yang indah itu baik, dan tidak semua ujian buruk itu akan menjadikan hidup kita buruk!
 
Adalah menjadi kuasa Allah, untuk menaikkan dan menurunkan sesiapa sahaja yang dikehendaki! Āli `Imrān: 26:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
 
 
MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN – HARAKAHDAILY 31/5/2019
 
Rujukan:
– Kisah Tatar dari awal hingga Peperangan Ain Jalut Dr Raghib As Sarjani
– Sultan Muzaffar Saifuddin Qutuz, panglima peperangan Ain Jalut Dr Qasim Abduh Qasim
– Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Monggol Dr Ali As Solabi
Advertisement