Perpaduan: Lestari agama VS tamadun manusia?

DEWASA ini, Malaysia sering dipalitkan dengan isu perpaduan masyarakat majmuk yang semakin membimbangkan menjelang pasca PRU14. Pilihan raya yang lalu telah menjadi bukti bahawa rakyat Malaysia mahukan sebuah perubahan pimpinan kerajaan dengan harapan nasib mereka akan lebih terbela dari pelbagai aspek. Namun persoalannya, adakah betul semakin terbela ataupun hanya menjadi suatu platform memuaskan nafsu sesuatu bangsa?
 
Malaysia ialah antara negara yang diterajui oleh pelbagai bangsa dan agama dari sudut kerakyatan dan pemerintahan sejak bermula Tanah Melayu, Malaya kepada Malaysia sehingga hari ini. Hal ini berlaku kerana Malaysia amat menitikberatkan nilai persefahaman dan perpaduan untuk terus menjamin  keamanan bertamadun dan semua rakyat Malaysia perlu hayati erti perpaduan ini.
 
Namun, ada beberapa perkara yang perlu ditekankan dalam adab kita menjalani tamadun ini. Tamadun berasal dari perkataan Arab iaitu ‘Maddana’ yang bererti pembukaan kota atau Bandar yang perlu dimajukan dari pelbagai aspek luaran dan rohani. Tamadun ini perlu sentiasa ditambah baik sesuai dengan perkembagan semasa dari pelbagai segi dan aspek untuk mencapai suatu kunci pencapaian (KPI) yang maksimum dalam suatu kemajuan. Dalam pada itu, jangan pernah kita meninggalkan untuk sentiasa melestarikan pegangan agama. 
 
Adapun suatu tamadun itu perlu ditambah maju dari semasa ke semasa manakala kelestarian agama pula membawa maksud suatu keadaan agama itu ditetapkan asal dan perlu dikekalkan keasliannya. Sehingga hari ini, jelas Kerajaan PH gagal melestarikan tamadun untuk menjadi neraca pemikiran tamadun yang mengutamakan keilmuan beragama.
 
Jika kita mengamati sejarah, pelbagai zaman dan tamadun telah berjaya meletakkan agama Islam sebagai satu asas kukuh di dalam membina suatu tamadun yang terbukti keberjayaannya dalam melahirkan tamadun yang berakhlak mulia, istiqamah dan mempunyai akidah mantap. Hal ini demikian kerana kemajuan tamadun tersebut terhasil dan berjaya dibuktikan di serata dunia adalah kerana mereka menjaga kelestarian dalam beragama.
 
Malaysia juga tidak ketinggalan yang merupakan antara negara di tamadun ini yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi. Tangan-tangan berjasa yang menubuhkan Malaysia ini faham dan yakin bahawa peranan agama Islam dalam membina tamadun ini merupakan satu tolak tiada banding untuk membimbing manusia itu untuk menjalani kehidupan dengan baik dan tidak berterusan bertengkar dalam soal dunia semata-mata.
 
Tragedi 13 Mei 1969 atau lebih dikenali sebagai peristiwa Parang Terbang di mana telah direkodkan sebagai Laporan MAGERAN 1969 menjadi bukti kukuh bahawa terpendamnya perasaan sayu bangsa Melayu yang telah menjadi mangsa nafsu serakah golongan tidak bertanggungjawab. Tangan-tangan dari Kerajaan PH yang menyerap halus idealogi Malaysian Malaysia tanpa segan silu memutar belit fakta dan menidakkan apa yang ada pada laporan ini melalui portal pro-PH, MalaysiaKini. Tidakkah sedikit pun mereka mengambil berat untuk memahami perasaan orang Melayu dan keturunan mereka ini yang telah menjadi mangsa peristiwa hitam tersebut?
 
Tidak ketinggalan juga peristiwa hitam Memali 1985 atau lebih dikenali sebagai Operasi Angkara dan Operasi Hapus yang berjaya mensyahidkan antaranya Ustaz Ibrahim Libya. Peristiwa hitam ini mengambil tempat ketika Dato’ Seri Musa Hitam menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Ketika itu Tun Dr Mahathir bin Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia kononnya dilaporkan berada di China. Laporan tersebut berunsur mengelirukan pihak awam kerana Tun Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur pada masa itu dan hal ini disahkan oleh Tun Musa Hitam sendiri. Mereka yang ditangkap dalam peristiwa tersebut tidak dibicarakan pun lalu terus dihantar ke penjara ISA.
 
Maka dengan peristiwa hitam besar ini sebenarnya amat meninggalkan kesan perit dan luka yang dalam kepada masyarakat Melayu Islam untuk terus mengekalkan perpaduan. Tetapi di atas paksi tuntutan agama Islam, maka rasa ini dilenyapkan dan mereka yang menjadi mangsa ini terus melahirkan generasi baru tanpa menaruhkan kebencian. Maka apa lagi yang PH inginkan, tidak puas hati lagikah dengan semua pengorbanan ini?
 
Namun mutakhir ini, para pemimpin PH semakin cuba menghidupkan suasana tamadun yang meletakkan Tuhan dibelakang perkara yang mereka inginkan. Hal ini terbukti jelas dengan perbuatan mereka yang melanggar hukum dengan cara mengadakan majlis berbuka puasa di kuil Gurdwara untuk umat Islam dan mempelawa wakil rakyat bukan Islam menjamu bersama orang yang sedang berbuka di masjid? Adakah mereka pemimpin PH yang Melayu Islam ini tidak berminat untuk terus mempelajari hukum hakam agama Islam? Sungguh, apa yang mereka ini sedang fikir? Mampukah kita mengharapkan kesucian hukum Islam ini lebih terlestari di bawah pemerintahan orang yang berfikiran terbuka tanpa rujukan agama ini?
 
Penulis yakin dengan mengamati sirah Rasulullah S.A.W, kita semua faham bahawa tidak salah dan tidak sampai hukum haram untuk membawa orang bukan Islam berbuka puasa bersama orang-orang Islam yang sedang berpuasa. Malah hal ini turut disepakati oleh sesetengah ulamak dalam hal keadaan tertentu, dengan masalah tertentu. Tetapi bukanlah ini yang sepatutnya menjadi alasan untuk membenarkan penganjuran program untuk umat Islam berbuka puasa di kuil. Sama sekali – Tidak!
 
Kerakusan manusia terhadap kuasa politik ini mengundang salah laku negatif yang amat membimbangkan terhadap kelestarian agama dalam memajukan tamadun. Apakah Malaysia ini sudah sudah berada di penghujung kedaulatan Islamnya akibat dari nafsu serakah pemimpin yang mempunyai agenda kafir? Antara yang paling membebalkan ialah timbul cadangan untuk menghapuskan status agama Islam di dalam kad pengenalan! 
 
Dengan pemadaman status Islam pada kad pengenalan ini, maka orang Islam yang lemah pegangannya tidak takut lagi untuk ke kelab malam, bersengketa di bilik hotel, tidak berpuasa di bulan Ramadan. Banyak lagi yang penulis sendiri berasa tidak perlu disebut kerana merasa jijik dan sangat hina untuk dibincangkan di mana hal ini akan menjadi agen utama merosakkan akhlak dan pegangan anak cucu cicit serta keturunan kita yang tidak bersalah!
 
Akhirnya hal ini akan menjadi punca perpecahan perpaduan masyarakat majmuk dan turut menjadi bebanan berat kepada agamawan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berwajib lain untuk terus menerang dan memberikan kesedaran serta kefahaman kepada rakyat Malaysia. Khususnya untuk mereka terus menghayati semua nilai dalam beragama dan sentiasa menjaga kelestariannya dalam cara untuk mengekalkan kemajuan tamadun yang serba moden ini. – HARAKAHDAILY 1/6/2019
20190601 140937
Advertisement