Ramadan membudayakan akhlak terpuji

MENYUSURI Ramadan yang kini telah berada di akhir perjalanan semakin mencabar sebenarnya. Malah pelbagai catatan pengalaman yang telah dilalui, kita seharusnya menilai prestasi kita sehingga saat ini. 
 
Adakah setakat ini sudah berjaya memenuhi apa yang sepatutnya kita laksanakan untuk mengisi Ramadan, menambahkan pahala kerana sepanjang bulan Ramadan pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka. Peluang sudah terhidang sementara Ramadan masih ada berbaki beberapa hari lagi. Usah menunggu atau bertangguh dalam melakukan kebaikan.
 
Firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah ayat 148:
“Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblatnya sendiri) yang mereka menghadap ke arahnya (ketika solat).  Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana sahaja kamu berada pasti Allah akan menghimpunkan kamu semua (pada hari kiamat untuk menerima balasan). Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu”. 
 
Sememangnya kita akan bertemu sekurang-kurangnya tiga golongan manusia di dalam bulan Ramadan ini. Pertamanya, golongan yang suka kedatangan Ramadan dan benar-benar memanfaatkan dengan amal ibadat yang akhirnya akan membentuk akhlak terpuji. Namun jumlahnya tidak ramai dan boleh dilihat ketika ini di penghujung Ramadan ini ternyata Masjid atau Surau sudah kekurangan para jemaahnya, entah apa puncanya.  
 
Jika disusun dari pukul 4.30 pagi, dimulakan dengan solat sunat tahajud beberapa rakaat, bersahur, membaca al-Quran dan solat Subuh serta solat-solat wajib lainnya, dan diakhiri dengan solat Isyak dan tarawih berjemaah di masjid dan membaca al-Quran lagi sebelum masuk tidur. 
 
Golongan kedua pula adalah kelompok terbesar dalam masyarakat sebenarnya. Tahapnya yang biasa-biasa sahaja kerana bagi mereka Ramadan tiada beza dengan bulan-bulan yang lain. Bagi yang berkeluarga inilah masa sebenarnya untuk kita melatih anak-anak beribadat dengan ilmu yang sebenar. Perbuatan seharian kita dalam bulan Ramadan yang disusun rapi amal ibadatnya akan mendisiplinkan diri dan membentuk akhlak terpuji.
 
Rasullullah S.A.W pernah menegaskan, seandainya manusia mengetahui keistimewaan Ramadan, nescaya mereka ingin supaya sepanjang tahun itu adalah Ramadan. Jangan sampai kita tergolong dalam kelompok orang yang rugi berpanjangan.
 
Firman Allah dalam Surah Al-Asr:
“Demi masa, Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran.”
 
Golongan yang ketiga paling ditakuti tetapi bilangan pun bukan sedikit. Mereka ini bencikan Ramadan malah terasa beban sepanjang bulan serta berterusan melakukan maksiat. Ada diantaranya turut mengambil kesempatan Ramadan dengan menipu dalam perniagaan. Mengambil keuntungan yang tidak masuk akal dan turut mengurangkan kuantiti serta timbangan. 
 
Begitu juga bagi yang terus kekal bekerja dalam bidang tertentu yang tidak patuh syariah antaranya penyanyi dan peniaga barangan terlarang antaranya mercun, rokok dan seumpamanya. Maka apabila diminta untuk mendoakan mereka dalam bisnes tidak patuh syariah atau mendoakan kemenangan mereka dalam menyertai pertandingan nyanyian dan tarian. Ianya sesuatu yang pelik sebenarnya kerana larangan Allah S.W.T masih dibuat tetapi dalam masa yang sama berhajat kepada-Nya. Di mana dan ke manakah akhlaknya?
 
Marilah sama-sama berusaha menjadi yang terbaik di mana jua kita berada, dalam apa sahaja keadaan kerana kita sedar dan faham akan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi Allah ini. Sucikanlah hati daripada perasaan hasad dengki yang tidak berkesudahan.
 
Daripada Abdullah bin Amru bin al-As R.A katanya, tidaklah Rasulullah S.A.W seorang yang bersifat keji, dan tidak pernah melakukan perkara-perkara yang keji, Baginda bersabda:
“Sesungguhnya di antara orang-orang yang terpilih di antara kamu ialah orang yang paling mulia akhlaknya.” – HARAKAHDAILY 1/6/2019
Advertisement