Pemuda PAS WP santuni si kecil menjelang Syawal

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Wilayah Persekutuan telah menyantuni kanak-kanak dan anak yatim menjelang tibanya Syawal dalam Ziarah Kasih yang diadakan, kelmarin.
 
Program ini dipimpin sendiri Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Rashidi Razak bersama Timbalan dan Naib Ketua Pemuda, Ustaz Farkhan Md Zin dan Ustaz Ubaid Akla.
 
Kunjungan pertama menceriakan serta sebagai memberi sokongan moral kepada kanak-kanak yang masih terlantar sakit di Wad Paediatrik, Hospital Kuala Lumpur, di sini.
 
Hampir kebanyakan mereka ternyata muram apabila ditanya mengenai persiapan Aidil Fitri kerana berkemungkinan terpaksa menempuh 1 Syawal dalam perawatan di situ.
 
Sehubungan itu, duit raya dihulurkan agar kegembiraan Syawal tetap juga tersuntik di jiwa mereka, selain delegasi turut menghargai komitmen warga petugas hospital.
 
Manakala kunjungan kedua pula rombongan telah bertandang mencurahkan kasih kepada anak-anak yatim yang menghuni di Rumah Baitul Nurrawdah, Bukit Setiawangsa, di sini.
 
Kehangatan ukhuwah bak hubungan abang dan adik itu terpancar di wajah anak-anak yatim ini yany tentunya dahagakan kasih sayang kerana hidup sebatang kara kehilangan insan tercinta.
 
Bahkan tanpa mengetahui asal usul mereka, lawatan Pemuda PAS ini sedikit sebanyak menjadi pengubat sepi diri golongan yang diibaratkan Rasulullah sangat dekat dengan Baginda itu.
 
Antara Exco-exco Pemuda PAS Wilayah Persekutuan yang turut serta adalah Azmer Syazwan, Farid Aideed, Ustaz Abdul Rahman Hamzah, Ustaz Mukhzin Amran dan Ustaz Adam Syukri. – HARAKAHDAILY 3/6/2019
IMG 20190603 WA0028
 
IMG 20190603 WA0030
Advertisement