Terbabas dari bebas api neraka

ADA tiga hikmah/syafaat yang orang puasa wajar rebut sepanjang ibadat bulan Ramadan. Sepuluh hari pertama merebut rahmat dari Allah. Sepuluh hari kedua mendapatkan keampunan dari Allah dan sepuluh hari ketiga ialah mendapatkan kebebasan dari api neraka.

Advertisement

Moga-moga sekaliannya mendapat syafaat itu setiap Ramadan sepanjang usia wajib puasa masing-masing. Amin.

Dan ahli-ahli ibadat pun setiap saat sepuluh hari ketiga itu bagi mendapatkan hikmat ketiga-tiga tahap itu dan tumpuan penuh masa di tahap sepuluh terakhir itu ialah mana-mana kekurangan pada dua tahap itu dapat ditampung menjelang penutupan Ramadan.

Dengan segala tumpuan yang diberi itu jangan sekali-kali dalam tempoh sepuluh hari ketiga itu umat Islam berdendang sebaik saja berbuka atau menunaikan solat Maghrib lepas berbuka dipenuhi dengan berdendang sayang seperti yang dilakukan dalam anjuran berbuka sebuah Dun di Gombak dan berniat atau cuba berbuka di kuil terjadi di kalangan umat di Johor Bahru.

Kedua-dua perkembangan pelik itu berlaku pada tahap semua berusaha mendapat ganjaran bebas dari api neraka seperti yang dijanjikan Allah.

Dan kedua-dua perkembangan pelik itu terjadi pada ketika masing-masing sepatutnya merebut rahmat bebas dari api neraka itu. Dan kedua-duanya boleh dikira terbabas dari tujuan mendapatkan bebas dari neraka.

Tidak wajar kita kata, mereka sudah sabit melanggar tawaran Allah itu. Allah saja yang berhak menentukan terbabas atau tidaknya. Tapi ia oleh dikira kejadian itu mencemar kesucian bulan Ramadan dan jika pelanggaran itu berlaku payahlah mendapat rahmat Allah.

Tetapi Allah itu Maha Pemurah dan Maha Pengampun, apabila taubat hamba-Nya dan diterima taubat itu, bebaslah dari api neraka.

Berbuka itu sebahagian dari ibadat yang penting bagi mendapatkan rahmat Allah, pengampunan-Nya dan melepaskan dari bakaran neraka. Berbuka itu termasuklah boleh makan dan minum seawal masuk waktu, dan segala wajar dilakukan menjelang masuk Isyak dan tarawih.

Dalam tempuh tiba Isyak itu tidak wajar dipenuhi dengan kegiatan yang dikira sesuai dengan cara dan budaya jahiliah atau seperti yang disenangi oleh puak liberalisme dan pluralisme agama yang selari dengan fikiran dan budaya jahiliah.

Demikian juga berniat berbuka di kuil. Mungkin ia tidak jadi berbuka di kuil, tetapi niat itu sendiri telah ada setitik hitam di sebidang kain putih. Tidak jadi dosa bila niat maksiat tidak dilakukan, tetapi elok mohon taubat dan keampunan supaya titik hitam di sebidang kain putih itu padam selama-lamanya.

Tidak gugur syahadat orang Islam terlibat dalam amal jahiliah kecuali syirik. Berdendang sebaik berbuka adalah mengisi masa dengan kerja jahiliah. Masa itu patut digunakan unuk menambah pahala. Pahala dalam bulan Ramadan khusus puasanya tidak terhingga pahalanya. Malaikat pun tidak tahu. Allah saja yang tahu, mungkin sepenuh ruang antara bumi dan langit dengan izin Allah.

Tetapi yang berdendang itu kerana giat dengan ciri jahiliah, telah hilang peluang menambah pahala. Masa telah disia-siakan. Tetapi yang ingin berbuka di kuil itu cuba mendekatkan dirinya dengan lambang syirik. Mungkin selangkah lagi terjerumus ke gaung syirik. Barang yang orang Islam patut jauh dan minta perlindungan dari Allah.

Orang Islam yang puasa itu sewajarnya berniat dan berdoa supaya setiap hari dapat berbuka di Masjidil Haram atau di Masjid Nabi di Madinah. Walaupun berbuka itu boleh di mana-mana tetapi umat Islam wajar berazam berbuka dalam masjid-msjid yang mulia itu. Jika kita jauh dari situ dan tidak mungkin dapat berbuka di situ setiap hari, maka eloklah kita berbuka di masjid dan surau.

Sekalipun dua masjid itu penuh sesak tetapi semuanya mahu berbuka dalam masjid dan khadam masjid tahu mengemasnya, selesai berbuka semua solat di tempat berbukanya.

Saya ke England. Sebulan puasa di sana. Mereka berbuka di ruang solat masjid, bukan di serambi masjid. Bukan keluar ke serambi masjid untuk berbuka dan kemudian masuk semula masjid untuk solat. Demikianlah mereka mahu merebut biar berbuka itu di masjid.

Bukan di kuil. Tidak dapat pahala ‘iktikaf’ di kuil menjelang masuk waku berbuka. Di mana hendak solat selepas berbuka? Bolehkah kuil benarkan azan dan solat depan berhala di kuil?

Bila kita berbuka di masjid, bukan saja dapat pahala berbuka di masjid, tetapi dapat pahala iktikaf di masjid.

Ahli ibadat peka pada sepuluh hari ketiga penuh masa beriktikaf di masjid. Mereka ke masjid menjelang Asar hinggalah berbuka. Tidak balik atau ke lain-lain. Mereka menghidupkan malam-malamnya dengan solat, bersahur di situ dan lepas subuh barulah pulang.

Sepuluh malam terakhir itu dipercayai moga-moga dikunjungi malaikat Lailatul Qadar. Semuanya mahu merebut rahmat itu.

Lailatul Qadar datang masa itu. Ia tidak singgah di tempat orang berbuka sambil berdendang dan ia tidak akan singgah ke kuil.

Jika kita tidak dapat penuhkan syarat bagi Lailatul Qadar menjenguk masing-msing, maka jangan fikir ia cari kita di kelab hiburan dan di kuil.

Rahmat bebas api neraka itu adalah bermula dengan memenuhi kehendak sepuluh hari pertama itu.Dan sempurnanya ibadat sepuluh hari pertama, mudahlah mendapat ganjaran pengampunan dari Allah pada tahap kedua. Sempurnanya dua tahap yang awal itu dengan segala tumpuan dan khusyuk pada tahap ketiga, terbukalah rahmat bebas dari api neraka.

Jangan kita tunggu sepuluh hari terakhir baru hendak menumpukan segala yang memungkin bebas dari api neraka. Maka belum tentu ibadat tahap dua dan tahap tiga dapat disempurnakan. Jika tidak tumpu pada tahap yang pertama, payahlah mendapat laluan mudah pada tahap-tahap berikutnya kecuali atas kehendak Allah.

Jika tidak sempurna ibadat tahap pertama itu, mati masa itu maka payahlah mendapat hikmah dan rahmat sepenuhnya seperti yang dijanjikan. Jika kita mati pada tahap pertama dengan ibadat yang sempurna, maka ganjaran tahap kedua mendapat keampunan sepenuhnya, dan yang ketiga peluang mendapat bebas dari neraka tentu semua akan datang sedondong.

Allah sentiasa menerima taubat, melimpahkan rahmat dan redha-Nya sebelum ajal seseorang. Jika sejengkal sebelum ajal, sepanjang hidup beramal dengan amalan ahli neraka, tiba-tiba dengan izin Allah dia beramal dengan amalan ahli syurga, nescaya bebas dia dari api neraka. Jika sepanjan g hidupnya beramal dengan amalan ahli syurga, sejengkal sebelum mati dia beramal dengan amalan ahli neraka, maka melepas dia dari syurga.

Yang terbaik sepanjang hidup penuh dengan ibadat ke syurga dan jauh dari sebarang amalan neraka. Jangan jadikan niat berbuka di kuil dan berdendang semasa berbuka sebagai senda gurau. Sebarang niat dan tindakan meremehkan Islam dan meriahkan jahiliah, boleh menyebabkan jahiliah dekat di hati dan Islam yang syumul jauh di hati.

Payah datang hidayah bagi yang lebih cintanya kepada jahiliah. Jadillah Islam sepenuhnya, bukan Islam yang mengepil jahiliah. – HARAKAHDAILY 2/6/2019