Era perpecahan dan pertembungan umat Islam

SEBELUM kemunculan Monggol pada awal kurun ke-7, dunia hanya bersaing antara dua kuasa besar iaitu Kerajaan Islam dan Kerajaan Salib. Sehingga akhir kurun ke-6, Islam menguasai hampir satu perdua dunia. Bermula dari Barat China (Asia) hingga ke Barat Eropah di wilayah Andalus. Siri peperangan Salib yang bermula sejak era Salahuddin Al Ayyubi juga merupakan pertembungan yang memenatkan Kerajaan Eropah, kerana mereka lebih banyak tewas berbanding menang. 
 
Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 140 maksudnya: “dan itulah hari-hari yang kami gilirkan antara manusia…” Sebagai gambaran bahawa fasa kegemilangan itu bakal berakhir dan akan berlaku pula fasa kelemahan dan kejatuhan.
 
Ketika mana Abu Sufyan bin Al Harb, berkunjung ke Istana Raja Hiraklius ditanya mengenai ajaran Muhammad S.A.W, “Siapakah yang memenangi peperangan yang berlaku antara kamu?” Jawab Abu Sufyan, “Kadang-kadang Muhammad menang, kadang-kadang kami menang.” Dijawab pula oleh Hiraklius, “Itulah ciri-ciri ajaran Muhammad S.A.W yang benar.”
 
Kerajaan Islam di awal kurun ke tujuh berpecah kepada tujuh kerajaan.
 
Kerajaan  Bani  Abbasiah – yang merupakan kerajaan dan Pusat Pemerintahan, namun pada awal kurun ke-7 ia semakin hilang cengkamannya terhadap seluruh wilayah kekuasaan, dan hanya tertumpu di Iraq, dan berpusat di Kota Baghdad sahaja. 
 
Khilafah Abbasiah hanya menjadi perlambangan sahaja dan sudah tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya. Khalifah pada waktu itu sekadar menduduki takhta kekhalifan, tetapi hanya berfoya-foya dan mengumpul kekayaan. Yang menjadi keutamaan adalah kekal di atas takhta dalam apa jua keadaan. 
 
Kerajaan  Ayyubiah – Meliputi Mesir, Syam (Jordan, Syria, Lubnan, Palestin), Yaman dan Hijjaz
 
Semua mengetahui betapa besarnya jasa Sultan Salahuddin Al Ayyubi terhadap Islam. Namun malangnya, kegemilangan itu tidak diteruskan dalam kalangan keturunannya. Mereka saling berbalah dan merebut takhta terutama di Mesir dan Syam, seakan-akan Hijaz dan Yaman terpisah daripada Ayyubiah. Bahkan di Syam sahaja, Homs, Halab dan Damsyik ketiga-tiganya terasing, begitu juga Jordan dan Palestin. Seluruh wilayah yang telah disatukan oleh Salahuddin, kini terpecah-pecah dan saling berbalah sesama sendiri.
 
Kerajaan  Al  Muwahhidin –  Meliputi Andalus dan Morocco
 
Kesultanan Al Muwahhidin mula merosot selepas kekalahan teruk dalam peristiwa peperangan dengan Tentera Salib pada tahun 609H.
 
Kerajaan  Al  Khawarizmi – Meliputi wilayah Asia daripada Barat China hingga Barat Iran di bawah kekuasaan Sultan Muhammad Al Khawarizmi Shah yang paling kuat pertentangannya dengan kerajaan Abbasiah. Bahkan Al Khawarizmi sentiasa melakukan perluasan kuasa dan bertembung dengan kekuasaan yang berhampiran termasuklah dengan Kerajaan Bani Saljuk dan Kerajaan Al Ghori. 
 
Kerajaan  Al  Ghori – Wilayah India di bawah kekuasaan Sultan Muhammad Al Ghuri. Juga sentiasa berlaku peperangan dan perbalahan dengan Kerajaan Al Khawarizmi kerana bersebelahan dengannya.
 
Kerajaan  Bani  Saljuk – Meliputi wilayah Turki (Anatolia) di bawah kekuasaan Sultan Alp Arsalan. Malangnya, sebagaimana Salahuddin Al Ayyubi, kegemilangan Alp Arsalan juga  tidak direnteti oleh generasi berikutnya.
 
Kerajaan  Parsi – Merupakan Iran sekarang, diperintah sebahagiannya di sebelah Barat di bawah Kerajaan Al Khawarizmi Shah, manakala yang bersebelahan dengan Kerajaan Abbasiah dikuasai oleh kumpulan Syiah Ismailiah yang disepakati oleh ulamak bahawa Ismailiah adalah sesat, berasal daripada Majusi dan menyelewengkan al Quran.
 
Pengajaran:
 
Apabila Allah mengkehendaki sesuatu kaum itu keburukan, Allah akan melazimkan mereka dengan pergaduhan dan ditegah dari mereka akan beramal. Ini tidak bermakna berdebat dan berbeza pandangan itu suatu yang buruk, tetapi ia akan menjadi buruk apabila digunakan bukan pada masanya yang sesuai. 
 
Umat Islam pada waktu ini seakan-akan hilang perasaan hazar (berjaga-jaga) dengan musuh sebenarnya, sebaliknya lebih gemar bertelagah dan menunjuk kekuatan sesama umat Islam itu sendiri. Walhal musuh sedang mengintai-ngintai ibarat
 
Serigala yang menanti masa untuk menerkam habuannya.
 
MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN – HARAKAHDAILY 3/6/2019
IMG 20190526 WA0032
 
IMG 20190526 WA0030
 
IMG 20190526 WA0029
Advertisement