Madinah Ramadan dibangun di lokasi tetap

KOTA BHARU: Madinah Ramadan yang menjadi destinasi kunjungan ramai sempena Ramadan akan diwujudkan secara tetap, boleh dikunjungi sepanjang masa.

Advertisement

Menteri Besar Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri dalam perancangan mewujudkan sebuah kompleks yang dikenali sebagai Madinah Ramadan di lokasi kekal.

Katanya, cadangan itu dibincang pada mesyuarat Exco kerajaan negeri baru-baru ini.

“Sekarang cadangan itu diangkat kepada Jabatan Perancang Bandar untuk penelitian lanjut. Madinah Ramadan tersebut akan hidup sepanjang tahun dan bukan sekadar pada bulan Ramadan sahaja.

“Kompleks itu turut dirancang dilengkapi akademi al Quran,” katanya pada tazkirah Ramadan selepas dua salam di Madinah Ramadan malam tadi.

Hadir sama Timbalan Speaker Dun Kelantan Dato’ Abdul Fattah Mahmood, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf dan Presiden Persatuan Anak Perantau Malaysia Kelantan (Perakan) Ir Hamdzah Abdul Rahman.

Kerajaan negeri turut meraikan anak-anak perantau pada Majlis Ramah Mesra Pimpinan Kerajaan Negeri selepas solat tarawih di Madinah Ramadan.

Setiap tahun lebih RM1 juta diperuntukan kerajaan negeri bagi menjayakan Madinah Ramadan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad Ke IV.

Malam tadi juga menyaksikan kehadiran ramai anak perantau di Madinah Ramadan sehingga melimpah ke luar khemah solat.- HARAKAHDAILY 3/6/2019