Ramadan teguhkan agenda ummah di Lenggong

AKTIVITI ziarah dan iftar jamaie yang mengisi sebahagian ibadah Ramadan telah menjadi pengikat hubungan antara pemimpin PAS dan masyarakat, malah juga antara dua parti Melayu-Islam berseteru dahulunya yakni PAS dan Umno.
 
Program Ziarah Mahabbah PAS Kawasan Lenggong ke rumah penduduk di sekitar perkampungan daerah Lenggong mengeratkan hubungan silaturahim antara PAS dan masyarakat setempat. 
 
Disertai oleh pimpinan PAS di peringkat Kawasan, Pemuda, Muslimat dan Cawangan, hampir 20 kampung yang telah diziarahi sepanjang Ramadan ini. Program ziarah mahabbah ini memfokuskan rumah golongan yang kurang berkemampuan, orang sakit, ibu tunggal dan warga emas. Kesempatan ziarah ini diambil untuk menyampaikan bantuan dalam bentuk kewangan dan barang dapur hasil daripada sumbangan ahli dan penyokong PAS. 
 
Ketua Pemuda PAS Lenggong, Ustaz Muhammad Rif’aat Razman berkata, melalui program ziarah dari rumah ke rumah ini dapat memasyarakatkan PAS dengan melihat sendiri keadaan hidup penduduk kampung secara lebih dekat. 
 
Hal sama disuarakan Ketua Muslimat PAS Lenggong, Ustazah Fauziah Musa yang memaklumkan ziarah tersebut dijayakan hasil sumbangan yang telah dikumpul daripada ahli dan penyokong PAS untuk sampaikan kepada golongan yang memerlukan.
 
Manakala iftar jamaie yang dianjurkan ukhuwah antara dua parti terbesar Melayu-Islam, PAS dan Umno. Pimpinan PAS di peringkat Kawasan Lenggong dan pimpinan Umno Bahagian Lenggong hadir bersama dalam menjayakan majlis iftar yang diadakan di masjid dan surau sekitar Parlimen Lenggong sepanjang Ramadan ini. 
 
Program iftar ini turut mendapat sambutan baik daripada ahli dan penyokong kedua-dua parti tersebut. Aturcara majlis biasanya dimulakan dengan tazkirah yang disampaikan oleh penceramah yang bertauliah, kemudian disusuli dengan tahlil dan doa sementara menunggu waktu berbuka.
 
Timbalan Yang Dipertua PAS Lenggong, Ustaz Hanafiah Idris berkata, penganjuran program iftar jamaie berjaya menyerlahkan peranan masjid dan surau sebagai medium penyatuan ummah tanpa mengira parti dan fahaman politik. 
 
“Memandangkan hampir keseluruhan masyarakat kampung dalam Parlimen Lenggong ini terdiri daripada ahli dan penyokong parti sama ada PAS atau Umno, maka sebarang program yang dianjurkan oleh pihak masjid dan surau tidak sepatutnya dipolemikkan untuk tujuan politik sempit yang menghalang usaha penyatuan umat Islam.
 
“Kehadiran penduduk kampung daripada ahli dan penyokong PAS dan Umno di Lenggong dalam program iftar jamaie Ramadan ini menunjukkan bahawa mereka menyambut baik mesej perpaduan ummah yang diusahakan oleh peringkat tertinggi pimpinan kedua-dua parti Melayu Muslim terbesar dalam negara ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/6/2019
IMG 20190603 WA0073
Advertisement