Perang Ahzab melakar sejarah dan cerminan hari ini

MENYAMBUT hari lebaran bukanlah sekadar pesta pora, riuh geger menyempurnakan ibadah puasa selama sebulan. Laungan takbir hari lebaran sebenarnya mengingatkan kita akan tugasan memenangkan agama Allah di atas muka bumi ini. Perlawanan antara iman dan kufur, hak dan batil yang akan berterusan sehingga hari kiamat, terus bergulir masa yang menjadi saksi akan deenullah ini mempunyai pembela dan penyokongnya.

Advertisement

Kita memperingati perang Ahzab yang monumental di zaman ar-Rasul yang mulia. Cerminan ibrah peristiwa ini berlaku di sepanjang zaman, pemuafakatan musuh mengepung orang yang beriman. Di zaman ini kelompok Islam dikepung oleh pakatan ahzab moden seperti kelompok pragmatis sekular, evangelist kristian, munafik yang bertopeng jemaah Islam, kelopok Islam inklusif, neo muktazilah dan seluruh pemuafakatan Ahzab moden.

Peristiwa perang Ahzab ini berlaku kerana kebenciaan dan permusuhan golongan yahudi yg tidak senang dengan kebangkitan pengaruh dakwah Islam yg berpangkalan di Madinah. Golongan Yahudi ini daripada kelompok Bani Nadhir yang tinggal di Khaibar telah menghasut kafir Mekah yang dipimpin oleh Abu Suffian supaya mengadakan usaha yang terancang dan berpakat dengan khalayak Kafir yang lain untuk menyerang orang Islam di Madinah.

Kempen jahat mereka ini telah didedahkan oleh Allah SWT dalam Al-Quran, surah An-Nisa’, ayat 51 hingga 55 yg bermaksud: “Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang diberi bahagian dari al-Kitab? Mereka percaya kepada Jibt dan Thagut, dan mengatakan kepada orang-orang kafir (musyrik Mekah), bahawa mereka itu lebih benar jalannya dari orang-orang yang beriman.” (An-Nisa’:51)

Tentera musyrikin begitu berang apabila mereka terhalang oleh parit dan kubu kerana taktik ini tidak pernah digunakan di Semenanjung Arab. Mereka telah melancarkan serangan anak panah bertubi-tubi daripada luar kota Madinah manakala beberapa panglima mereka telah berjaya menyusup masuk di sebelah parit, iaitu Ikrimah bin Abu Jahal dan Amru bin Abdul Wud.

Peristiwa selanjutnya ialah berlaku cabar-mencabar di antara pahlawan musyrikin tersebut dan para sahabat. Saidina Ali KWJ telah bertarung (Al-Mubarazah) dengan Amru bin Abdul Wud yang disaksikan oleh sahabat-sahabat yg lain. Saidina Ali memang terkenal dengan seorang anak muda pemberani yang sangat dikasihi oleh Nabi SAW, apatah lagi beliau mendapat tarbiyah secara langsung daripada Baginda Nabi SAW.

Saidina Ali telah berjaya membunuh Amru, menyebabkan Ikrimah bin Abu Jahal melarikan diri dan kegembiraan sahabat-sahabat dimanifestasikan melaui laungan takbir mereka. Dalam peristiwa perang Ahzab yang berlaku di musim sejuk ini dan kekurangan makanan, orang-orang Yahudi Bani Quraizah telah melakukan pengkhianatan yg mana mereka sepatutnya sama-sama mempunyai tanggungjawab kolektif mempertahankan bumi Madinah daripada serangan luar sepertimana yang disepakati bersama dalam Sahifah Madinah.

Kelompok Yahudi ini melakukan pengkhianatan kerana dihasut oleh Huyai bin Aktab iaitu pemimpin Yahudi Bani an-Nadhir.

Pertembungan semakin sengit yang menyaksikan 6 orang sahabat telah gugur sebagai syuhada’, manakala musyrikin kehilangan 10 orang tentera mereka. Dalam pertempuran ini, sahabat kanan yang sangat Nabi SAW kasihi juga merupakan pemimpin kaum Ansar, iaitu Sa’ad bin Mua’dz telah cedera parah terkena panah pihak musuh.

Allah SWT Yang Maha Perkasa lagi Maha Pembalas dendam telah membantu para pejuangnya yang ikhlas dalam peristiwa perang Ahzab iaitu dengan memberikan beberapa bentuk pertolongan, antaranya sebagaimana yg disebut dalam Al-Quran, surah al-Ahzab ayat 9 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah nikmat Allah yg dikurniakan kepada kamu ketika kamu diserang oleh tentera-tentera Ahzab, lalu Kami hantarkan kepada mereka ribut yg kencang dan tentera-tentera (malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan sesungguhnya Allah sentiasa melihat segala yang kamu lakukan.”

Orang Yahudi yang dipimpin oleh Salam bin Abi Al-Haqiq ini telah berjaya menyakinkan Abu Suffian tentang buah kemenangan yg akan mereka kecapi jika permuafakatan kuffar ini berjaya dilaksanakan. Beberapa kabilah Arab yang masih kufur telah berjaya disatukan dalam satu barisan, seperti kabilah Bani Ghatfan, kabilah Bani Murrah dan lain-lain lagi. Jumlah kekuatan mereka ialah seramai 10,000 orang dan mereka dipimpin oleh Abu Suffian yg sebelum ini telah berjaya mengalahkan tentera Islam dalam peristiwa peperangan Uhud yang berlaku pada tahun 3 Hijrah.

Nabi SAW telah mendapat maklumat tentang permuafakatan golongan kuffar ini lantas telah mengadakan mesyuarat di Madinah dengan sahabat-sahabat yang lain bagi menghadapi peristiwa perang besar ini. Dalam mesyuarat itu, Nabi SAW tertarik dengan cadangan yang diberikan oleh seorang sahabat yang berbangsa Parsi, iaitu Salman yang mencadangkan supaya parit digali di keliling kota Madinah. Ini bagi menghalang serangan tentera berkuda yang ramai di pihak musuh.

Rasulullah SAW telah mengatur persiapan dan pertahanan tentera Islam dengan membahagikan sahabat-sahabat kepada beberapa kumpulan iaitu setiap sepuluh orang menggali 40 hasta. Dalam operasi ini, Nabi SAW bertungkus-lumus dengan sahabat-sahabat lain menggali parit dan merangsang semangat sahabat-sahabat yang lain dengan ganjaran pahala jihad.

Dalam operasi ini juga, Allah SWT memperlihatkan beberapa mukjizat yang dikurniakan kepada Nabi SAW, seperti mampu memecahkan batu yang sangat pejal yang tidak mampu dipecahkan sahabat-sahabat yang lain. Usaha membina parit ini diteruskan dengan bersungguh-sungguh kerana mengejar masa, bimbang takut musuh tiba sebelum parit disiapkan tetapi dengan keikhlasan dan kesungguhan para Mujahidin, maka parit tersebut berjaya disiapkan sebelum kedatangan 10,000 bala tentera musuh.

Dalam pertembungan yg bersejarah ini, dirakamkan bahawa tentera Islam hanyalah sekitar 3,000 orang sahaja dan mereka tidak mendapat kerjasama daripada orang-orang munafik dipimpin oleh Abdullah bin Ubai serta berlaku pengkhianatan daripada orang Yahudi Bani Quraizah.

Dalam menghadapi kedatangan jumlah musuh ramai ini, para sahabat memperlihatkan tahap moral dan keimanan begitu tinggi, sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Ahzab ayat 22, bermaksud: “Apabila orang-orang yang beriman itu melihat tentera Ahzab, maka berkatalah mereka, inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah dan RasulNya kepada kita dan benarlah Allah dan RasulNya dan demikian itu tidaklah menambahkan kepada mereka melainkan keimanan dan kesejahteraan.”

Peristiwa perang Ahzab diingati oleh ummat Islam di sepanjang zaman , bukan hanya menjadi dendangan pagi Syawal,namun jauh daripada itu,kisah ini adalah pengajaran kepada kita semua. Bangkit berjuang membela Islam daripada kepungan pakatan Ahzab moden, ulangan peristiwa yang turut berlaku di akhir zaman. Di Malaysia, butakah mata kita semua melihat betapa gencarnya mereka berusaha merobek Islam dan syariatnya. Pemuafakatan yang didukung oleh kuffar dan kelompok munafik yang sebangsa dengan kita. Kerana secebis kuasa mereka menutup mata akan kebenaran. Ayuh ummat, jangan lena disaat agamamu dirobek musuh-musuh agama. – HARAKAHDAILY 5/6/2019

Penulis adalah AJK Pas Pusat, Pengerusi LESTARI.