Dr Zakir tetamu Malaysia, wira umat Islam sedunia

SAYA menyokong tindakan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk tidak mengekstradisi pendakwah antarabangsa Dr. Zakir Naik ke India di atas kebimbangan beliau tidak akan mendapat keadilan yang sewajarnya.

Advertisement

khalilMenurut Tun Dr. Mahathir lagi, sebagaimana Australia yang hingga ke hari ini enggan menyerahkan Sirul Azhar Umar kepada Malaysia yang dipercayai membunuh Altantuya, begitu jugalah sikap Malaysia dalam soal permohonan ekstradisi India ke atas Dr. Zakir Naik.

Namun tindakan Ramkarpal mempertikai keputusan Tun Dr. Mahathir untuk tidak memenuhi tuntutan ekstradisi Kerajaan India adalah sangat tidak wajar. Apa yang Tun Dr. Mahathir cuba sampaikan ialah keputusan untuk tidak memenuhi permintaan ekstradisi tersebut adalah sama tanpa menyebut pertuduhan jenayah, hukuman dan polisi.

Dr. Zakir Naik adalah tetamu di Malaysia dan selama beliau berada di Malaysia, beliau tidak melakukan sebarang kesalahan malah kehadiran beliau turut disenangi oleh majoriti rakyat di dalam negara. Status beliau sebagai pendakwah di medan antarabangsa sudah cukup membuktikan bahawa beliau bukan sepertimana yang didakwa.

Saya percaya disebabkan status dan kredibiliti Dr. Zakir Naik sebagai pendakwah antarabangsa maka Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir membuat keputusan untuk tidak mengekstradisi beliau ke India.

Berdasarkan kemampuan dan pengalaman Tun Dr. Mahathir, saya juga percaya dengan keputusan untuk tidak mengekstradisi Dr. Zakir Naik tidak akan menyebabkan berlakunya ketegangan hubungan dua hala di antara Malaysia dan India.

Namun saya juga percaya sepertimana Tun Dr. Mahathir membuat keputusan untuk melantik Latheefa Koya sebagai Ketua Pengarah SPRM yang baharu iaitu tanpa merujuk kepada kabinet, begitu jugalah dalam soal ekstradisi Dr. Zakir Naik ini.

Muktakhir ini jika dilihat Tun Dr. Mahathir sudah boleh dikatakan membuat dua keputusan yang agak besar tanpa merujuk dulu kepada kabinet. Adakah boleh dikatakan kabinet yang ada sekarang lemah dan terdapat anggotanya tidak menepati piawaian sebagaimana yang didakwa hingga Tun Dr. Mahathir langsung tidak merujuk kepada mereka?

Ataupun adakah Tun Dr. Mahathir tidak mempercayai sebahagian daripada mereka lalu membuat keputusan sendiri? Jika dilihat setelah Tun Dr. Mahathir membuat keputusan terhadap kedua-dua perkara tersebut, terdapat pimpinan PH yang begitu lantang mengkritik tindakan beliau. Berdasarkan situasi tersebut, boleh disimpulkan bahawa Kerajaan PH tidaklah sekukuh dan sekuat yang didakwa. Ia umpama bom jangka yang menunggu masa untuk meletus akibat berbeza fahaman, polisi dan mentaliti.

Natijahnya, Tun Dr. Mahathir sudah membuat keputusan dan kita semua tahu siapa Dr. Zakir Naik, pendakwah antarabangsa yang banyak berjasa dalam memperkasa serta meluaskan pengaruh agama Islam di serata dunia. Islam agama yang cintakan kedamaian dan menolak keganasan, bukan agama ekstrem dan ganas sepertimana yang didakwa hingga tercetusnya Islamofobia.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 11/6/2019