Penyakit kencing manis punca mati pucuk

STAMINA melakukan hubungan intim bersama pasangan bagi pesakit kencing manis akan berkurangan jika kawalan gula dalam darahnya tidak terkawal. Kenyataan ini adalah realiti bukan lagi fantasi.

Advertisement

dr suhaTetapi ramai pesakit malu untuk tampil ke depan dan berbincang dengan doktor secara hati ke hati bagi menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

Stigma hubungan kelamin tidak boleh dibincangkan kepada orang lain amat menebal. Sedangkan para doktor sudi menerima keluhan mereka, bahkan doktor adalah tempat terbaik untuk mereka mengadu masalah kesihatan. Bukannya penjual produk penguat tenaga lelaki ataupun perbomohan yang menggunakan kaedah yang menakutkan.

Para pesakit akan bertanyakan doktor mereka dalam bentuk pertanyaan yang berlapik. Mungkin sesuai dengan adat dan susila ketimuran. Ramai di kalangan mereka segan bertanya kerana doktor berlainan jantina atau merasakan doktor terlalu muda untuk bincang soal intimasi kelamin.

Di sinilah perlunya kebijaksanaan doktor untuk mengubah suasana segan semasa sesi konsultasi kepada suasana yang mengujakan.

Antara soalan yang kerap ditanya oleh pesakit, adakah ubat kencing manis punca kepada mandul atau alat kelamin tidak menyeringai?

Baik, mari kita kupas isu ini. Jangan pula anggap artikel ini sebagai artikel porno. Penerangan yang akan dibincangkan berkisar mengenai isu mati pucuk, tanpa menyembunyikan fakta yang sudah dan sedang dihadapi oleh para pesakit kencing manis seluruh dunia.

Fakta dari kajian mendapati 35-75 peratus pesakit kencing manis mempunyai masalah mati pucuk berbanding hanya 26 peratus dalam kalangan masyarakat umum yang tidak berpenyakit. Apabila pesakit kencing manis mula mengadu bahawa mereka bermasalah mengadakan hubungan kelamin, sebenarnya masalah itu sudah lama dipendam hampir 10-15 tahun sebelumnya. Ini kerana masalah hubungan di ranjang agak terlalu sukar untuk diceritakan kepada perawat. Sifat orang Malaysia sebegitu.

Perkataan lemah tenaga batin itu sendiri boleh dikategorikan kepada beberapa keadaan:

1. Keinginan melakukan senggama (libido) kurang. Berpunca sama ada stres kehidupan atau kencing manis itu sendiri menjadikan pesakit sentiasa tidak bermaya.

2. Alat kelamin tidak cukup tegang untuk ‘berjuang’. Salur darah utama yang memberikan sumber tenaga melalui darah kemungkinan tersepit akibat kencing manis dan kolesterol.

3. Tidak dapat menyudahkan nikmat hubungan kelamin (orgasm) akibat masalah libido dan tidak tegang.

4. Ejakulasi yang terganggu sama ada terlalu cepat atau lambat boleh membantutkan keseronokan hubungan kelamin.

5. Perasaan bersalah kerana tidak dapat memuaskan pasangan akan terus bersahutan setiap kali hubungan intim berlaku. Ini menambahkan lagi tekanan jiwa kepada kedua-dua pasangan. Akhirnya komunikasi dalam keluarga menjadi hambar. Punca berlaku perceraian akibat penyakit kronik seperti kencing manis ini sudah banyak dicatatkan oleh mahkamah syariah.

Apa yang pasti penyakit kencing manis itu sendiri boleh menyebabkan ‘erectile dysfunction‘ atau mati pucuk. Kandungan gula yang tinggi dalam darah boleh menyerang saraf. Begitu juga wanita yang mempunyai kencing manis selalunya sukar untuk hamil kerana gangguan hormon kesuburan.

Selain dari lemah tenaga batin, kencing manis yang tidak terkawal juga adalah salah satu punca ketidaksuburan organ peranakan sama ada wanita atau lelaki. Ini juga adalah fakta!

Gula penting dalam pembentukan air mani sama ada air mani lelaki atau wanita (sperma dan ovum). Tetapi kandungan gula yang tidak terkawal boleh merosakkan sistem pembentukan air mani tersebut secara optimum. Oleh yang demikian doktor akan selalu menasihati pesakit kencing manis agar mengawal paras gula mereka ke paras yang terbaik sebelum berusaha untuk hamil.

Menjadi dakyah sesetengah pihak yang benci kepada kaedah perawatan moden, menuduh ubat kencing manislah punca utama berlakunya mati pucuk dan mandul.

Padahal mereka lupa, matlamat utama rawatan adalah untuk mengawal kencing manis sekali gus boleh memulihkan semula kekuatan tenaga batin pesakit. Ubat kencing bukan punca masalah mati pucuk.

Malah sebaliknya kajian mendapati metformin (ubat kencing manis) boleh digunakan untuk merawat wanita yang mandul. Rawatan metformin ini bagi kes yang khusus dan perlu dibincang dengan pakar. Pendek kata, metformin adalah selamat digunakan untuk salah satu dari rawatan kesuburan wanita dan ianya terjamin tidak mencacatkan janin jika hamil.

Begitulah juga insulin, selamat digunakan. Doktor selalu menasihati para pesakit kencing manis yang tidak terkawal dan mempunyai masalah kesuburan agar mengambil ubat kencing manis tanpa ingkar. Tujuannya supaya kencing manis mereka terkawal dan peluang untuk hamil adalah tinggi. – HARAKAHDAILY 12/6/2019