Suku Bateq lebih percayai bomoh

GUA MUSANG: Ternyata isu Orang Asli cuba diletak kesalahan di bahu kerajaan negeri. Mengulangi apa yang pernah berlaku pada 2016 berkaitan isu sekatan laluan lori balak (blockade).

Advertisement

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang tidak pernah duduk diam terus mengorek lubang mencari penyakit di Kelantan. Dan Syawal ini mereka menemui isu Orang Asli di Kuala Koh.

Seperti biasa pemimpin PH silih berganti muncul untuk merobek kewibawaan kerajaan negeri.

Antaranya Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dilapor menyebut mustahil kerajaan negeri tidak mengetahui terdapat kawasan perlombongan bijih besi berhampiran penempatan penduduk Orang Asli di Kuala Koh.

Begitu juga Pengerusi PH Kelantan Dato’ Husam Musa menggesa Kelantan menyiasat kewujudan lombong haram berdekatan penempatan Orang Asli.

Merungkai isu tersebut Penyelia Dun Paloh Ustaz Azman Ahmad berkata, lombong besi beroperasi tidak jauh dari penempatan Orang Asli sejak lima tahun lepas.

Katanya, lombong itu difahamkan mendapat kelulusan kerajaan negeri.

Bagaimanapun difahamkan sebuah lagi syarikat membuat permohonan melombong namun belum mendapat kelulusan.

“Lombong sedia ada sudah lama beroperasi, namun mengapa baru sekarang mahu dikaitkan dengan pencemaran sehingga didakwa membabitkan kematian penduduk Orang Asli,” katanya di sini.

Selasa lepas Pasukan Unit Bahan Berbahaya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (HAZMAT) mendapati beberapa lokasi sekitar Kuala Koh bebas daripada pencemaran dan radioaktif.

Malah Jabatan Alam Sekitar juga memaklumkan tiada pembalakan di Kuala Koh kerana berdekatan dengan Taman Negara.

Azman juga berkata, pembalakan sudah lama tidak dibenarkan kerajaan negeri membabitkan kawasan Taman Negara Kuala Koh.

Menurutnya juga kehidupan Orang Asli suku kaum bateq agak berbeza dengan suku kaum lain sama ada Temiar atau Negrito.

“Suku kaum Bateq tidak terdedah kepada orang luar. Mereka juga tidak suka mendapat rawatan moden. Mereka lebih mempercayai bomoh.

“Sejak dahulu lagi kami temui masyarakat tersebut menghidapi penyakit kulit, namun mereka tidak mahu mendapat rawatan di klinik atau hospital,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/6/2019