Terima pencalonan, subur demokrasi – Dr Samsuri

KUALA TERENGGANU: Pemilihan jawatan dalam parti pada Muktamar Tahunan PAS disifatkan sebagai urusan dalaman keluarga yang berlangsung setiap dua tahun sekali.

Advertisement

Calon Naib Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau menerima pencalonan itu atas asas menyuburkan ruang demokrasi dalam parti.

Namun, katanya menerima pencalonan itu dengan rasa berat hati kerana bakal bersaing dengan penyandang jawatan tersebut yang hebat dan cemerlang.

Beliau turut menyifatkan tiga penyandang Naib Presiden PAS sedia ada itu sebagai ‘abang-abang’ yang banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.

“Pemilihan dalam PAS adalah satu urusan dalaman keluarga yang berlangsung setiap dua tahun sekali. Ianya berjalan dalam suasana harmoni.

“Saya menerima pencalonan daripada kawasan-kawasan untuk bertanding Naib Presiden PAS. Walaupun hati saya merasa berat kerana mengenangkan yang ada sekarang ini.

“Mereka yang saya kategorikan insan-insan yang hebat, menjadi Naib Presiden dan menjalankan tugas serta tanggungjawab mereka dengan begitu baik dan cemerlang sekali.

“Mereka adalah abang-abang saya yang telah memberi tunjuk ajar kepada saya dalam pelbagai perkara. Sebab itu, saya merasa agak berat menerima pencalonan ini tapi atas untuk menyuburkan ruang demokrasi yang ada dalam parti,” ujarnya yang juga Menteri Besar Terengganu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Meraikan Kejayaan Pasukan Inovasi Panji Innovation Laboratory (Pi Lab) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam, dalam pertandingan Euroinvent 2019 Romania di Dewan Jubli Emas SMK Panji Alam, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Dr Samsuri menyerahkan pemilihan jawatan itu kepada para perwakilan pada Muktamar Tahunan PAS ke-65 tidak lama lagi.

Katanya, jawatan sebagai orang nombor satu memimpin Kerajaan Negeri Terengganu bukanlah kelebihan mutlak.

“Jawatan saya sebagai menteri besar dalam tempoh setahun ini, saya memberi markah kepada diri saya sendiri masih banyak lagi perkara yang belum saya buat, belum saya mampu capai.

“Apapun saya menyerahkan kepada perwakilan-perwakilan parti dalam muktamar ini,” jelasnya.

Muktamar Tahunan PAS ke-65 akan diadakan di Stadium Tertutup SUKPA, Bandar Indera Mahkota, Kuantan pada 21 hingga 23 Jun ini. – – HARAKAHDAILY 12/6/2019