Kuala Koh: Hentikan burukkan Kelantan

KOTA BHARU: Pihak tertentu perlu berhenti mengaitkan kerajaan Kelantan sebagai punca menyebabkan kematian Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang.

Advertisement

Timbalan Presiden PAS Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, berdasar penjelasan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membuktikan aktiviti perlombongan bukan menjadi penyebab tersebarnya virus penyebab kematian.

Katanya, apa yang seharusnya dibuat bersama-sama menangani supaya wabak penyakit itu dapat dikawal daripada terus merebak.

Baru-baru ini Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan Dato’ Husam Musa dilapor mendakwa pencemaran sungai akibat perlombongan dikhuatiri punca penyakit dihadapi Orang Asli di Kuala Koh.

Malah Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia Prof Dr Ahmad Ismail juga dilapor berkata, masalah berlaku di Kuala Koh sejak 2013.

Hari ini Timbalan Perdana Menteri mengesahkan Jabatan Kimia mendapati air yang diuji di sekitar lombong mangan dan tempat tadahan air bukit di Kuala Koh mematuhi standard kualiti air minum kebangsaan. – HARAKAHDAILY 14/6/2019