Islam Memimpin, Wanita Sejahtera

Ucapan dasar Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh pada Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia ke-59 di Pusat Konvensyen, Bukit Gambang Resort City, Kuantan, 15 Jun 2019.

Advertisement

السالم عليكم ورحمة هللا وبركاته الحمد هلل رب العاملين الذي أكرمنا بنعمة اإلسالم وبه نستعين في أمور الدنيا والخرة والصالة والسالم على أشرف ال نبياء واملرسلين وإماما املتقين وعلى آله ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين،ربنا آتنامن لدنك رحمةوهيء لنامن أمرنارشداربنا افتح بيننا وبين قومنا بالحق وأنتخير الفاتحين

Yang bermaksud: Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar): Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah. Mereka menjawab: (Tidak), bahkan kami hanya menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya. Patutkah mereka (menurut datuk neneknya) sekalipun Syaitan mengajak mereka itu (melakukan perbuatan yang menjerumuskan mereka) ke dalam azab api neraka yang marak menjulang? Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang dia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan. (Surah Luqman : 21-22)

KEBENARAN ISLAM MENGATASI KEBATILAN JAHILIYAH

Sejak kejatuhan Khalifah Uthmaniah, Islam dijadikan musuh bukan kerana salahnya tetapi kerana menegakkan kebenaran. Kebenaran Islam itu mencabar kebatilan dan keadilannya meruntuhkan kezaliman. Maka Islam dikepung oleh kesesatan dan kezaliman yang dipaksakan menjadi amalan masyarakat sekelilingnya. Penguasaan cara hidup yang menolak Islam menjadikan pertimbangan akal budi dikaburi terlingkup sehingga kebatilan itu dianggap kebenaran dan kezaliman pula dikira kebenaran yang mesti dipertahankan. Kita seharusnya menyedari bahawa Islam adalah penyelamat. Oleh itu usaha-usaha jihad kembali kepada kebijaksanaan Islam menjadi agenda utama mereka yang istiqamah berjuang untuk ummah sejagat.

1.0 AGENDA: ‘ISLAM MEMIMPIN, WANITA SEJAHTERA’

1. Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) adalah salah satu sayap Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Segmen wanita yang berfungsi mengikut Perlembagaan PAS Bab 3 Fasal 5 iaitu memperjuangkan dua perkara. Pertama wujudnya di dalam Malaysia sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah. Kedua mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

2. DMPM telah melalui pelbagai fasa kepimpinan yang memperlihatkan perkembangan terhadap usaha untuk menerangkan dan menghayati Islam sebagai jalan penyelesaian dalam masyarakat. Memikul tanggungjawab memimpin wanita Malaysia dengan Islam, kita yakin bahawa dengan ketaatan kepada perintah Allah serta aturannya melalui al-Qur’an, Sunnah, Ijmak dan Qias, kedudukan wanita adalah tiada bezanya dengan lelaki dalam merebut pahala dan redha Allah SWT seperti ditegaskan pada ayat 195, Surah Ali-Imran: Yang bermaksud: Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya): “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agama-Ku, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) – sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahankesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai ganjaran dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah ganjaran yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)”.

3. Kemuliaan wanita menurut Islam dibuktikan di dalam al-Qur’an dan Sirah. Sekumpulan figura ternama wanita telah diabadikan antaranya Asiyah isteri Firaun, Maryam binti Imran, Siti Hajar, Siti Sarah, Saidatina Khadijah binti Khuwailid, Saidatina Fatimah binti Muhammad SAW, Saidatina ‘Aisyah binti Abu Bakar, Nusaibah binti Kaab, Sumayyah binti Khabath, dan lain-lain. Mereka adalah wanita terhormat yang menjadi sanjungan masyarakat sepanjang zaman dan contoh teladan kepada muslimat hari ini. Mereka muncul pada zaman kegelapan di timur dan barat. Para wanita dipandang rendah oleh masyarakat tetapi Islam telah mengangkat martabat mereka.

4. Dengan memiliki keimanan yang tinggi, ketaatan yang tulus kepada Allah SWT dan Rasul-Nya serta kemuliaan akhlak, Allah mengangkat martabat mereka. Keterampilan mereka dalam bidang masing-masing terus menjadi contoh sehingga ke hari ini. Sejarah telah membuktikan bahawa kesejahteraan yang mereka nikmati dengan Islam adalah hasil daripada istiqamah mereka menghayati ajaran Islam.

5. “Wanita Sejahtera” bermakna wanita yang memiliki dan memanfaatkan hak yang diberikan oleh Islam dalam kehidupan secara menyeluruh. Dengan hak tersebut mereka dapat menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah dan sebagai khalifah di muka bumi ini mengikut fungsi dan peranan masing-masing. Sebagai seorang manusia, wanita diberikan hak untuk hidup dengan aman, dilindungi di bawah payung syariat Islam. Mereka diberikan hak untuk memiliki harta menerusi pewarisan atau menjalankan sebarang pekerjaan yang sesuai dengan fitrah dan kebolehan yang ada. Tiada sesiapa yang boleh menarik dan menceroboh hak individu lain tanpa sebab yang munasabah dan diterima syarak.

6. Sebagai makhluk sosial, wanita juga turut diberi ruang seluas-luasnya untuk berada di medan lapangan. Wanita boleh beraktiviti sosial, berorganisasi, berpolitik, berniaga, berhibur, bersukan dan terlibat dalam pelbagai bidang profesional dengan itqan (bersungguh-sungguh) mengikut keilmuan dan keinginan masing-masing.

7. Justeru, DMPM menyedari bahawa hak yang diberikan oleh Islam ini perlu dikongsi bersama seluruh kaum wanita agar semua dapat merasai kesejahteraan yang ditawarkan oleh Islam. Peranan wanita dalam pembangunan keluarga dan masyarakat sangat signifikan dalam memacu kesejahteraan dan kestabilan negara. Apatah lagi, pada hari ini rata-rata kaum wanita terlibat menyumbang kepada kepesatan ekonomi negara sebagai tenaga kerja dalam sektor pendidikan, pengeluaran, perkhidmatan dan sebagainya.

2.0 KEMELUT YANG MENGHAMBAT KESEJAHTERAAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT

8. Persoalan yang berbangkit pada hari ini, sejauh manakah wanita dihormati dan diperlakukan seadilnya sebagai seorang individu atau sekumpulan manusia yang memiliki hak dan tanggungjawab yang sama dengan kaum lelaki? Sejauh mana polisi dan undang-undang yang ada memberikan perlindungan, mencegah dan menyelamatkan wanita daripada dicerobohi haknya? Sejauhmana pula wanita mampu melaksanakan tanggungjawab dan memainkan peranan sebaikbaiknya dalam membawa kesejahteraan hidup pada diri, keluarga, masyarakat dan negara?

9. Kita dapati pada hari ini, masih ramai wanita teraniaya dalam kehidupan berumahtangga. Keselamatan wanita dalam menjalankan tugas di sektor ekonomi tertentu dan bekerja syif malam masih boleh dipertikaikan. Jenayah yang berlaku sebahagian besar mangsanya adalah wanita; golongan rentan (lemah). Wanita hari ini tidak berfungsi sebagai penjaga di rumah suaminya sehingga terpaksa menggalas tugas sebagai ketua rumahtangga. Kemuliaan wanita juga direndahkan sehingga diperalat atau sengaja membenarkan diri diperalatkan oleh nafsu materialisme, hedonisme, gejala seks rakus manusia yang berkepentingan dan segala bentuk pengaruh media yang tidak mengajak umat bertaqwa. Akhirnya, wanita diheret dalam kancah pertarungan mengejar habuan dunia yang sementara sehingga hilang fungsi sebagai hamba Allah dan khalifah.

10. Dalam era globalisasi ini, kita dapati masih ada pemikiran bahawa wanita sinonim dengan lemah dan perlukan sandaran lelaki. Seolah-olah mereka dicipta Allah mesti bergantung sepenuhnya dengan kaum lelaki dalam lingkungan ikatan kekeluargaan tanpa perlu memikul sebarang tanggungjawab dan amanah sosial dan negara. Apabila perkara ini berlaku dalam kalangan umat Islam yang tinggal di negara majoriti Muslim, ia dianggap sebagai ajaran Islam, sedangkan ianya pemikiran yang silap dan jauh daripada Islam.

11. Ketahuilah, golongan wanita tidak akan aman dan sejahtera apabila kehidupan mereka penuh dengan masalah dan bebanan hidup serta disekat hak mereka akibat penyimpangan peranan asal secara fitrahnya sebagai wanita. Dengan itu, mereka tidak dapat memainkan peranan yang sebaiknya dalam mewujudkan keluarga sakinah, mawaddah dan rahmah serta membawa nilai-nilai Islam ke arah baldatun thoyyibatun wa Rabbun Ghafur dalam masyarakat dan negara.

12. Kita menyedari bahawa perubahan tampuk pemerintahan daripada kerajaan Barisan Nasional kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menampakkan usaha serius untuk meletakkan Islam sebagai panduan tertinggi. Walaupun Malaysia dikenali sebagai sebuah negara Islam, Islam masih lagi belum menjadi tatacara hidup bernegara, tidak memimpin dan mendidik wanita meningkatkan ilmu dan amal. Malah, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan keistimewaan yang dianugerahkan oleh Perlembagaan kepada rakyat Malaysia berani dipersoalkan dan cuba untuk diganggugugat menerusi suara-suara wakil rakyat yang memegang kuasa pemerintahan sama ada menerusi media atau perbahasan tanpa segan silu dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

13. Dalam masa yang sama, kita turut mengikuti perkembangan segelintir gerakan wanita atas nama perjuangan pembelaan wanita sejak sekian lama merempuh masuk dalam dunia Islam menerusi pengaruh perkembangan ideologi barat itu sendiri. Kita juga menyedari perjuangan yang bertunjangkan aqidah sekularisme, feminisme dan liberalisme acuan barat ini semakin agresif mahu menempah nama dalam penguasaan pemikiran masyarakat di negara kita.

14. Kita juga memantau dari dekat hubungan yang sinonim gerakan ini dengan tokoh-tokoh pemimpin dalam PH atau sikap keterbukaan kerajaan PH sendiri terhadap aktiviti-aktiviti yang mereka lakukan. Malah, mereka disanjung atas nama Malaysia Baharu yang kononnya memberi sumbangan terbaik untuk membela kaum wanita, akibat kelemahan tafsiran terhadap hukum-hukum Islam berkaitan wanita.

15. Namun pada hakikatnya mereka adalah pendokong pemikiran Barat yang mempunyai agenda menjauhkan kaum wanita daripada petunjuk ajaran Islam yang sebenar dan tidak sesuai dengan konteks budaya masyarakat Malaysia. Jauh sekali mampu menawarkan kesejahteraan yang menjadi agenda Islam sekiranya kaum wanita dibimbing dan dipimpin untuk menghayati ajaran Islam secara menyeluruh dengan penuh keinsafan.

Para perwakilan yang dikasihi sekalian,

3.0 MUHASABAH BERSAMA KE ARAH MEMPERTINGKATKAN AZAM

16. Tema Islam Memimpin, Wanita Sejahtera yang kita pilih pada tahun ini adalah agenda yang besar kesinambungan daripada Ucapan Dasar Tuan Guru Presiden pada Muktamar 2017 iaitu “Sejahtera Bersama Islam” dan pada 2018 iaitu “Islam Memimpin”. Kita memerlukan masa untuk menggarap intipati daripada kedua-dua ucapan dasar ini untuk sama-sama kita terjemahkan dalam gerakerja DMP ke depan.

17. PAS sebuah organisasi tarbiyah, dakwah dan siyasah sudah tentu berhadapan dengan pelbagai cabaran dan mehnah yang rencam. Kepelbagaian latar belakang ahli PAS termasuk juga muslimat pastinya tidak dapat mengelakkan kemelut dalaman. Begitu juga tempiasan isu-isu yang berlaku dalam masyarakat dan negara sudah tentu tidak dapat dibiarkan berlalu begitu sahaja dan turut mengundang respon balas serta tidak sedikit memberikan tekanan kepada PAS dan DMP khususnya yang melibatkan kaum wanita.

18. Oleh itu, ruang muktamar ini adalah medan muhasabah kita selaku saff kepimpinan sama ada di peringkat DMPM, DMPN dan DMPK. Bagaimanakah pencapaian kita setakat ini di medan tarbiyah, dakwah dan siyasah? Adakah objektif mencapai sasaran dan adakah tindakan kita memberi impak kepada orang yang menjadi sasaran, ataupun sekadar melepaskan batuk di tangga menerusi program-program yang tidak berkala?

19. Walau bagaimanapun, marilah kita bersyukur dengan apa yang dicapai hari ini dan meletakkan azam untuk melakukan yang lebih baik pada hari esok. Kita juga perlu beristighfar di atas kelemahan dan meneliti kembali langkah yang telah kita lakukan sebagai petugas jemaah dengan bersungguh-sungguh berusaha memenuhi syarat-syarat ahli gerakan Islam yang disebut dalam surah al-Maidah ayat 55; Bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; kerana Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Meliputi Pengetahuan-Nya.

3.1 AUDIT DAN NILAI KEBERKESANAN PRODUK PAS, DMPM, LAJNAH DAN JABATAN

20. Organisasi yang tersusun dan berstrategi sepatutnya menjadikan hala tuju Muslimat lebih terarah dan berkesan. Kita telah mengeluarkan Pelan Tindakan DMPM hasil bengkel perancangan strategik bagi memastikan keselarasan kerja (wehdatul amal) di semua peringkat. Saya mengharapkan pelan tindakan ini benar-benar dapat memandu perancangan dan pelaksanaan gerakerja di samping bermuhasabah, menilai sejauh mana ianya selari dengan agenda mewajahkan Islam sebagai solusi. Budaya berprogram tanpa melihat kepada keperluan dan konteks semasa tidak lagi relevan dalam gerak kerja semasa.

21. Sehingga hari ini, Dewan Muslimat sudah memiliki sembilan (9) produk sebagai penanda aras gerakerja Muslimat ‘AKIFI; iaitu Gelombang ‘AKIFI (GA), Ameerah, Nusaibah, Briged Muslimat, Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA), Muslimat Legal Team (MUSLET), Skuad Prihatin, Muslimat Medik Team (MusMedik), Taman Asuhan Tunas Insan (TASTI) dan Kor Munajat ‘AKIFI, yang masing-masing berfungsi untuk mejayakan VISI dan MISI DMPM.

22. Namun, kita masih belum boleh berbangga atau berpuas hati dengan penghasilan produk tersebut. Dengan wujudnya pelbagai lajnah, jabatan dan kelab dalam Dewan Muslimat, semua pihak bertanggungjawab memastikan setiap sendi Muslimat ini bergerak mengembangkan fungsi produkproduk tersebut.

23. Sebagai satu ketumbukan Muslimat Muda; Ameerah, Nusaibah dan Briged Muslimat merupakan duta kepimpinan PAS yang bertanggungjawab menarik lebih ramai anak mudi memahami Islam dan mengundi PAS. Muslimat PAS dan tiga entiti ini ibarat mentor dan mentee, keduanya saling membahu demi mempromosikan keindahan Islam yang dihayati. Kita mahu tiga entiti ini kekal relevan dan berbudaya produktif sesuai dengan semangat dan keperluan anak mudi kontemporari. Kita tidak boleh selesa bekerja dan berasa cukup dengan apa yang ada, banyak lagi peluang yang belum diteroka untuk menarik lebih ramai graduan muda, pekerja industri dan tenaga sektor kolar putih menyertai PAS.

24. Kita perlu menerima realiti bahawa pencapaian tarbiyah diukur berdasarkan keterlibatan setiap ahli DMPK dalam usrah yang disusun oleh Lajnah Tarbiyah DMP. Namun penyertaan muslimat dalam APSA di semua negeri bagi melahirkan naqibat dan penggerak jemaah dan masyarakat masih belum menyeluruh. Tidak semua negeri yang telah menubuhkan Jabatan APSA, dan peratus keterlibatan naqibah atau bakal naqibah untuk dilatih secara formal sangat kecil di negeri terlibat.

25. Di kesempatan ini, saya ucapkan syabas kepada Lajnah Pembangunan Keluarga dan Wanita DMP kerana telah berjaya menyebarluaskan TASTI di seluruh Malaysia yang telah mencecah sebanyak 21 buah. Usaha-usaha ini tidak boleh terhenti dengan bilangan ini sahaja. Keperluan pusat penjagaan anak-anak pra-sekolah terutama yang memberikan khidmat pendidikan yang berteraskan Islam sangat mendesak sekali.

26. Di samping memastikan setiap negeri membuka TASTI, kita boleh memanfaatkan tenaga muda dengan memberi latihan sebagai pengusaha atau pengasuh TASTI agar terdedah dengan ilmu kekeluargaan menurut Islam. Pada masa yang sama dapat membimbing mereka menjana ekonomi. Kita juga sewajarnya melebarkan kerjasama dengan Dewan Pemuda menerusi strategi satu TASTI, satu PASTI dan satu SRITI.

27. Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) telah menterjemahkan pendekatan muwajahah silmiyyah PAS yang membuka banyak peluang dan ruang menarik orang ramai mengenali PAS terutamanya selepas PRU ke-14. Pendekatan yang mengutamakan perdamaian dan melebarkan kesejahteraan kepada rakyat ini sangat dekat dengan jiwa wanita.

28. Kita banyak melakukan seminar dan jelajah untuk memperkenalkan BPMS kepada muslimat. Namun, dari segi pelaksanaan, kita boleh lihat dan bermuhasabah sejauh mana muslimat sendiri merasa besarnya makna membudayakan tujuh (7) prinsip politik matang dan sejahtera dalam masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya, umur dan pemikiran. Berapa ramai muslimat selain kepimpinan peringkat Pusat boleh bercakap dan menyampaikan secara tuntas tujuh prinsip tersebut? Kesedaran ini membuktikan keperluan untuk dibuat satu kajian yang lebih teliti supaya tindakan akan datang tidak hanya mengulangi apa yang telah dilaksanakan. Satu garis panduan bersepadu yang lebih mudah dan fokus kepada muslimat sebagai lidah DMP perlu diwujudkan bagi menterjemah BPMS dalam konteks wanita, keluarga dan masyarakat.

29. Saya menyedari bahawa agenda PAS seperti Wawasan Induk Negara Sejahtera, Dokumen Hijau, Pelan Strategik DMPM masih belum dapat dihadam dengan baik, atas beberapa faktor antaranya perkembangan isu semasa yang memesongkan minat dan fokus kita hingga menenggelamkan agenda tersebut. Kepimpinan DMP yang akan datang diharap dapat memberi perhatian yang lebih berfokus menerusi jentera penerangan dengan kerjasama Lajnah Tarbiyah untuk dibawa ke akar umbi.

3.2 MENGAMBIL IKTIBAR PRU-14 DAN PERSEDIAAN PRU-15

30. Kemenangan PH dalam PRU lepas satu tragedi yang sungguh menyedihkan buat Islam dan penganutnya. Kita seharusnya turut merasa bersalah disebabkan kelemahan dan kealpaan serta kegagalan kita meyakinkan masyarakat tentang kepentingan pelaksanaan dan penghayatan Islam dalam PRU lepas. Negara dipimpin oleh pemerintah yang tidak menampakkan kesungguhan menepati janji dan tawaran, apatah lagi bersatu hati mempertahankan kedudukan Islam yang utuh termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

31. Di antara hasil post-mortem PRU lepas, kita mendapati faktor serangan media sosial menyumbang kepada peratusan tertinggi (75%) yang membawa kepada kekalahan PAS. Saya percaya golongan wanita juga tidak ketinggalan dalam kepesatan penggunaan media sosial. Kita berkemungkinan terlepas pandang peranan yang sepatutnya dimainkan oleh muslimat menerusi media sosial hingga tidak merebut peluang dalam lapangan ini dan tidak diberikan peranan serius. Tiada usaha-usaha bersepadu dan berfokus. Bersifat reaktif tanpa sebarang perancangan dan pendedahan dalam kemahiran menguasai media sosial khususnya atau membuat jaringan kerjasama dengan entiti lain seperti Penerangan PAS Pusat, DPPM dan sebagainya.

32. Hampir setiap hari kedapatan berita yang mencabar kesabaran umat Islam seperti tindakan menyerang institusi agama dan raja secara terbuka, pluralisme agama atas nama keharmonian kaum, tuntutan secara terbuka untuk mengamalkan kebebasan hak individu atas nama hak asasi manusia, walaupun jelas ianya bertentangan dengan ajaran Islam dan menggambarkan fahaman serong liberalisme sudah mula dinormalisasikan dalam kehidupan masyarakat Malaysia.

33. Kaum wanita turut diheret dalam kancah yang sangat bahaya antaranya tafsiran bebas dan terbuka terhadap hukum syarak yang berkaitan dengan wanita sehingga timbul pertikaian terhadap isu poligami, faraid, perintah menutup aurat, tuntutan hak untuk murtad, hak talaq kepada suami, perkahwinan sesama jantina, seks bebas dan lain-lain yang bertujuan untuk memesongkan keyakinan mereka terhadap penghayatan Islam.

34. Kita mendapati kerajaan PH terutama pemimpin Islamnya sudah tidak menampakkan sensitiviti mereka dengan hal keadaan yang membimbangkan ini. Pelbagai hujah dan alasan sengaja dicipta atas dasar rahmatan lil ‘alamin dan maqasid syariah untuk menyenangkan hati rakan politik mereka yang bukan Islam dalam PH.

3.3 MEMPERKASA TA’AWUN SIYASI

35. PAS terlibat aktif dalam usaha Ta’awun Siyasi yang telah diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak selepas PRU-14. Pendekatan solidariti pembangkang bersama UMNO dan Barisan Nasional serta mana-mana pihak yang bersedia menerima dasar perjuangan PAS. Tuan Guru Presiden telah membentangkan konsep asas Ta’awun Siyasi dalam Liqa Fikri pada 24 Februari 2018 yang menjadi panduan jelas kepada kepimpinan parti di semua peringkat.

36. Namun, ada juga yang keliru apabila melihat DMP khususnya terlibat dengan program bersama Wanita UMNO sedangkan usaha ini mampu memperkasakan lagi agenda penyatuan ummah yang diikat dengan hablun minallah dan semangat persaudaraan Islam selaras dengan firman Allah SWT dalam surah Ali-‘Imran ayat 103: bermْaksud: Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatupadu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.

37. Usaha-usaha penyatuan ummah ini adalah agenda besar yang memerlukan kerjasama semua peringkat parti. Hubungan baik hasil muafakat PAS dan UMNO haruslah dirancang dengan penuh teliti supaya agenda al-Qur’an dan sunnah dapat dikongsi bersama. Juga meyakinkan dan mengajak ahli UMNO khususnya Wanita, selain daripada menghadiri program-program untuk merapatkan ukhuwah, adalah lebih afdal mencapai dan memberi keutamaan atas citacita pelaksanaan dan penghayatan Islam. Jalinan yang diikat adalah dalam konteks addin al-nasihah yang disabdakan oleh Rasulullah SAW dan peringatan itu memberi manfaat sesama mukmin.

4.0 KEUTAMAAN DAN STRATEGI BAGI ISLAM MEMIMPIN, WANITA SEJAHTERA

38. Bagi menyediakan solusi untuk rakyat menerusi agenda muktamar kali ini, saya membahagikan kepada tiga perkara utama iaitu:

4.1 MENGEMBALIKAN KEMULIAAN WANITA

39. Ketika wahyu al-Qur’an diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, sebelumnya berlaku kezaliman jahiliyah yang melata di seluruh dunia termasuk dunia Arab sehingga Tanah Arab yang awalnya dimuliakan Allah dengan kehadiran para nabi dan rasul menjadi hina kerana meninggalkan ajaran dan syariat yang diwahyukan. Inilah yang akan berlaku kepada sesiapa sahaja yang meninggalkan wahyu Allah SWT kepada umat manusia. Ada yang mengaku menjadi tuhan, ada yang mengaku menjadi nabi, ada juga yang menyelewengkan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW mengikut kepentingan dan nafsu masing-masing.

40. Turunnya ayat-ayat al-Qur’an yang sarat dengan perhatian dan keistimewaan kepada kaum wanita. Apabila ajaran Islam bersinar menerangi kehidupan manusia, kedudukan wanita telah berjaya menghapuskan amalan masyarakat jahiliyah yang membunuh kanak-kanak perempuan sebaik sahaja mereka dilahirkan. Kaum wanita muslimah muncul membangunkan kehidupan manusia bersama kaum lelaki dengan penuh kesejahteraan dan kemuliaan peribadi.

41. Namun, pada hari ini masih banyak diskriminasi terhadap wanita Islam sama ada berjaya diketengahkan untuk diberikan pembelaan atau tidak. Banyak kes wanita yang dinafikan hak mereka untuk bersuara sama ada dalam rumahtangga atau dalam lapangan kerjaya dan bersosial. Walaupun ironinya mereka telah diberikan peluang pendidikan sehingga ke peringkat tinggi. Dengan kerjaya dan usaha niaga, ada yang masih tidak diberi kebebasan atau kepercayaan mengurus kewangan dan memiliki simpanan peribadi untuk keperluan kecemasan atau kematian.

42. Terdapat juga kaum wanita Islam yang berkerjaya tidak diberi peluang untuk menutup aurat dan bekerja dalam ruang masa yang fleksibel sehingga terpaksa bekerja di luar batasan kemampuan seorang wanita. Bebanan tugas yang diberikan boleh menjejaskan potensi dirinya sebagai wanita dan peranannya dalam institusi keluarga.

43. Dalam konteks ini, kita mesti terus berusaha meningkatkan lagi program keilmuan Islam dan pendidikan kewanitaan secara objektif menerusi produk-produk kluster latihan dan pendidikan berpandukan al-Qur’an dan hadith serta rujukan ulamak. Dalam masa yang sama didedahkan dengan ilmu kontemporari yang seimbang dengan tuntutan zaman. Dengan ini, kaum wanita menyedari Islam memuliakan mereka dan tidak dibiarkan mereka dibelenggu kejahilan atau menjadi mangsa keadaan serta didominasi oleh kaum lelaki.

44. Kita mesti bertanggungjawab apabila ada pihak yang mendokong pelbagai fahaman yang bertentangan dengan Islam lebih dominan mempengaruhi kaum wanita. Kedapatan gerakan perjuangan kewanitaan yang berani mentafsirkan hukum berkaitan wanita mengikut selera akal dan nafsu mereka tanpa mendalami pelbagai disiplin ilmu-imu Islam dan menolak pandangan ulamak muktabar dan kontemporari yang tidak selari dengan pemikiran mereka.

4.2 MEMBUDAYAKAN KELUARGA DAN MASYARAKAT MAWADDAH

45. Muslimat PAS beriltizam untuk terus menjadi platform bagi menyuarakan pandangan dan isu-isu wanita dan kanakkanak di peringkat keluarga, masyarakat dan negara dengan menawarkan penyelesaian yang kontemporari berlandaskan syariat Islam. Masyarakat dan negara yang berkualiti akan lahir daripada wanita-wanita yang berkualiti, dan wanita-wanita yang berkualiti lahir daripada kombinasi pendidikan dan latihan (tarbiyah) yang prinsip-prinsipnya jelas ke arah ketaqwaan kepada Allah, khususnya akidah murni dan nilai-nilai kehidupan yang lestari dan sejahtera.

46. Sesebuah keluarga adalah umpama sebatang pokok dalam hutan yang tebal, dan ahli dalam keluarga pula adalah umpama dahan-dahan pada sebatang pokok yang tumbuh pada arah-arah yang berlainan tetapi berpegang pada akar yang satu. Keluarga yang dipasakkan pada akar Islam akan tumbuh subur dan membuahkan hasil yang baik dan menyumbang kepada kesejahteraan hutan secara keseluruhannya. Begitulah perumpamaan yang dapat diberikan tentang peri pentingnya unit asas dalam masyarakat iaitu sebuah keluarga sakinah mawaddah wa rahmah.

47. Memanifestasikan wanita sejahtera bersama agenda keluarga sakinah mawaddah wa rahmah memerlukan asas yang kuat kerana tanpa asas yang kuat, arah tuju keluarga dan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi akan menjauhkan ahli keluarga daripada rasa ketenangan dan kasih sayang serta redha Allah. Asas yang kuat, tidak lain dan tidak bukan adalah berdasarkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan sandaran ilmu dan kemahiran pengurusan hidup.

48. Pembinaan keluarga sakinah mawaddah wa rahmah bukanlah suatu usaha yang mudah. Malahan memerlukan gemblengan tenaga yang menyeluruh dan berterusan. Bukan hanya ibu dan bapa bagi sesebuah keluarga, tetapi juga dari sudut pandang yang lebih luas iaitu sistem sokongan dalam masyarakat dan dasar-dasar yang dijalankan oleh pihak kerajaan. Wanita di zaman ini bukan hanya perlu cakna dengan suasana dan pembentukan keluarga sendiri, tetapi juga perlu cakna dengan keadaan dalam masyarakat serta undang-undang dan dasar-dasar sosial yang dilaksanakan oleh kerajaan. Kerana ini semua membentuk faktor-faktor luaran yang boleh mempengaruhi kesejahteraan keluarga.

49. Menyedari masih kedapatan golongan wanita terutamanya dalam kalangan isteri atau suami yang terabai, atau terlibat dalam kes penderaan rumahtangga, kepentingan peranan yang dilaksanakan oleh setiap sendi Muslimat PAS antaranya Lajnah Pembangunan Keluarga dan Wanita serta MUSLET dapat menjadi penasihat yang efektif. Juga dapat menghimpunkan tenaga pakar sebagai rujukan kepada kepimpinan supaya idea dan peluang untuk menyuarakan penambahbaikan polisi, perlindungan dan dasar institusi keluarga di negara kita selari dengan ajaran Islam.

50. Dewan Muslimat berhasrat menjalinkan hubungan rapat dengan semua rangkaian NGO Wanita bagi memasyarakatkan PAS dengan menampilkan Islam yang sejahtera. Lajnah Hubungan NGO DMPM yang baru berusia setahun jagung akan diperkasakan dan diberikan peluang yang lebih luas menjalinkan hubungan dengan pelbagai komuniti masyarakat dengan menawarkan reka-bentuk program yang lebih kreatif dan menarik serta informatif kepada pelbagai lapisan masyarakat dari peringkat kanak-kanak, remaja, wanita pelbagai kedudukan sehingga golongan wanita warga emas.

51. Kita juga berhasrat aspek kepenggunaan turut diberi perhatian kerana kuasa beli dan kepenggunaan begitu tinggi dalam kalangan kaum wanita. Semakin banyak isu kepenggunaan dalam hal halal haram dan keselamatan berbangkit dan menimbulkan rasa kurang selamat menjadi penduduk di Malaysia. Hal ini akan dikaji dengan lebih serius menerusi Lajnah Pengguna dan Lajnah Alam Sekitar.

4.3 PENGUASAAN MEDIA MASSA

52. Agenda Islam Memimpin, Wanita Sejahtera turut memberi perhatian kepada penguasaan wanita terhadap media massa. Media massa merupakan medium utama masyarakat dunia memperoleh sumber dan maklumat. Segala bentuk tingkah laku, pemikiran dan budaya sesebuah masyarakat banyak dipengaruhi oleh media massa. Namun ketidakadilan struktur media yang memonopoli kepentingan sebelah pihak telah mencetuskan propaganda yang menyebabkan kecelaruan maklumat berlaku untuk memastikan masyarakat mengikut telunjuk mereka.

53. Setiap hari dan setiap detik, media massa dipenuhi dengan informasi yang boleh meruntuhkan jati diri umat Islam. Umat Islam semakin hilang motivasi untuk mempertahankan kebenaran di sebalik isu-isu yang disebarkan. Media massa terlihat seolah-olah cenderung kepada hiburan dan gedung fitnah serta tidak menjadi medan untuk mencari kebenaran. Banyak berita yang berunsur fitnah dan propaganda pihak tertentu yang sekiranya tidak diurus dengan baik menghilangkan rasa sensitiviti rakyat kepada hal ehwal negara.

54. Dalam dunia tanpa sempadan kini, dengan kewujudan media baru, PAS sering menghadapi pelbagai bentuk serangan propaganda hebat dari segenap penjuru dan dijaja gambaran buruk sebagai parti ekstrem dan sempit. Serangan propaganda dan dakyah yang menimpa PAS itu sekiranya tidak ditangkis dan ditangani dengan bijak mampu mempengaruhi kaum wanita sebagai pengundi majoriti dalam PRU. Mereka perlu bimbingan dan pimpinan daripada kalangan wanita yang memiliki kesedaran tinggi mengurus maklumat berdasarkan surah al-Hujurat ayat 6 bemaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

55. Ayat ini juga memberi isyarat agar gerakan muslimat tidak boleh jauh ketinggalan dalam penggunaan media sosial bagi menghadapi permasalahan ini. Kesan yang paling membimbangkan adalah medium gerakan muslimat tidak dipandang sebagai rujukan kepada rakyat Malaysia khususnya wanita.

56. Media baharu dan penerangan adalah dua komponen parti yang lebih kurang sama tetapi berbeza fungsi. Bagi memenuhi keperluan ini, sistem pendidikan dan latihan tenaga pendakwah dalam bidang media baharu dan penerangan haruslah lebih responsif kepada keperluan semasa yang dinamik. Latihan yang cukup, teratur dan berkesan akan melahirkan pendakwah yang serba boleh serta berpengetahuan dalam bidang komunikasi, penerangan, media sosial serta media baharu, dan teknologi maklumat perlu diperkasakan melalui kerjasama antara Lajnah Penerangan dan Jabatan Teknologi Maklumat (IT).

57. Latihan berbentuk konseptual atau strategi yang memerlukan ilmu komunikasi haraki dibangunkan. Tujuannya supaya pendakwah media baharu memahami dasar dan falsafah perjuangan Islam di samping ilmu-ilmu teknologi. Oleh itu, modus operandi dakwah akan digerakkan secara lebih sistematik dan berfokus bagi menghadapi perubahan sosial masyarakat Muslim akibat daripada kesan media massa.

5.0 MENINGKATKAN SOKONGAN RAKYAT BAGI MENGHADAPI PRU-15

58. Malaysia sebuah negara yang menerima pakai sistem demokrasi yang melaksanakan pilihan raya untuk memilih pemimpin dan menerajui pemerintahan. PAS menerima sistem demokrasi di Malaysia dengan berdaftar sebagai sebuah parti politik untuk memperkenalkan Islam kepada masyarakat dan menjadikan Islam sebagai dasar pemerintahan negara. Justeru, undi dan sokongan rakyat amat penting bagi kita. Kita perlu sedaya upaya memastikan prinsip dan kefahaman Islam sampai kepada seluruh rakyat Malaysia sehingga rakyat bersedia memilih PAS untuk memimpin negara.

59. Kita yakin dan percaya dengan masa depan Islam yang gemilang. Kita tidak mahu hanya ahli-ahli PAS sahaja yang mendapat tarbiyah, tetapi mesti juga bersungguh-sungguh mendekati orang awam. Apabila rakyat mempunyai kesedaran bahawa hanya melalui pelaksanaan Daulah al-Sultah wa alRi’āyah; di mana sebuah negara wajib mempunyai pemimpin yang memerintah dengan syari’at Islam dan kerajaan yang boleh mentadbir negara dan rakyat ke arah keamanan, ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, rakyatnya boleh dipimpin ke arah kesejahteraan dunia dan akhirat.

60. Sokongan rakyat terhadap PAS mestilah berdasarkan keyakinan pada PAS sebagai parti yang mampu menegakkan keadilan dan konsep amanah dalam pemerintahan. Bagi PAS, konsep pentadbiran sesebuah negara tidak dapat lari daripada al-Qur’an dan al-Sunnah, kerana dengan berpandukan keduadua sumber utama Islam itu akan lebih memberi impak yang terbaik. Justeru kerajaan dan umat Islam mesti menghayati serta mengaplikasikan keadilan dan keamanan berpandukan asas tuntutan Islam dalam mentadbir sebuah negara dan bukan berdasarkan sentimen politik semata-mata. Fikrah ini perlu ditanamkan dalam minda masyarakat melalui program-program dakwah dan dilaksanakan oleh DMPM.

6.0 TINDAKAN BERSEPADU

61. Sebagai rumusannya, demi merealisasikan cita-cita Islam untuk memberikan kesejahteraan kepada wanita, keluarga dan masyarakat, maka semua pihak harus aktif bergerak dan bertindak proaktif dalam menyediakan solusi kepada rakyat dengan memperhalusi 7 tindakan di bawah ini,

TINDAKAN 1: Memperkukuhkan lagi agenda pemerkasaan Muslimat menerusi kluster politik dan pilihan raya, kluster pengurusan organisasi dan sumber manusia, kluster dana dan pembangunan ekonomi, kluster penerangan dan komunikasi korporat, dan kluster pusat tangungjawab sosial wanita, keluarga dan masyarakat.

TINDAKAN 2: Memaknakan aktiviti tarbiyah dan serius mengkaderkan ahli baharu di peringkat cawangan hingga peringkat pusat menerusi modul yang telah dibina oleh APSA. Tarbiyah yang mantap, akan membina kepimpinan Dewan Muslimat bersifat ‘AKIFI; sanggup berkorban, berhempas pulas meningkatkan prestasi organisasi, komited, ikhlas dan sentiasa bersedia melaksanakan arahan parti menerusi kluster pengurusan organisasi dan sumber manusia.

TINDAKAN 3: Memfokuskan agenda membangunkan wanita, keluarga dan masyarakat. Seluruh medium yang berkesan dimanfaatkan demi melaksanakan perancangan membawa kesejahteraan kepada wanita. Susun aturlah pelbagai program bersama masyarakat. Dekati wanita Muslim dan non-Muslim, untuk menyebarkan risalah Islam yang syumul menerusi kluster pusat tangungjawab sosial wanita, keluarga dan masyarakat.

TINDAKAN 4: Membezakan imej dan program parti serta program umum supaya Muslimat PAS tidak sekadar membawa imej eksklusif, tetapi sebaliknya imej mesra masyarakat untuk memastikan semua wanita Islam khususnya, dapat mengetahui cara hidup dan keindahan Islam menerusi kluster penerangan dan komunikasi korporat.

TINDAKAN 5: Membangunkan dana menerusi kepelbagaian aktiviti dan penghasilan produk kepenggunaan wanita yang menjana modal supaya dapat dikembangkan sebagai sumber ekonomi DMP di samping mensasarkan pemilikan aset jangka panjang dengan dokongan padu seluruh peringkat DMP menerusi kluster dana dan pembangunan ekonomi.

TINDAKAN 6: Meluaskan jaringan kerjasama dan bersinergi dengan mana-mana parti, NGO dan entiti wanita dalam komuniti menerusi kluster politik dan pilihan raya.

TINDAKAN 7: Mempersiapkan tenaga ‘AKIFI untuk menghadapi PRU-15 dengan penambahbaikan pengurusan data dan pembinaan modul kemahiran berkaitan urusan pilihan raya dengan gembelingan semua kluster.

7.0 AGENDA MUSUH ISLAM ANTARABANGSA

62. DMP meyakini bahawa perkembangan pesat unsurunsur yang hendak memesongkan penghayatan Islam syumul berpaksi dari perancangan rapi musuh-musuh Islam antarabangsa dengan penyusupan idealisme dan prerogatif yang mencabar penghayatan Islam dalam institusi masyarakat secara halus tanpa disedari.

63. Kezaliman terhadap umat Islam minoriti di Uyghur Republik Rakyat China, kaum Rohingya di Myanmar serta konflik yang dipaksakan terhadap umat Islam hampir di seluruh dunia Islam; di Somalia, Yaman, Syria, Sudan, Libya dan lainlain, menjadi menu utama dada akhbar harian bersilih ganti.

64. Kezaliman yang tidak terperi oleh rejim Israel terhadap umat Islam Palestin tanpa mempeduli bantahan dan melanggar segala bentuk undang-undang antarabangsa tanpa belas ihsan kemanusiaan patut dihentikan segera. Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu telah gagal dalam usaha-usaha berdalih yang tidak komited untuk mencari penyelesaian. DMP amat bersimpati terhadap nasib saudara Muslim kita di Palestin. DMP meyokong penuh usaha-usaha NGO-NGO Kemanusiaan dalam membantu mereka.

65. DMP sentiasa memantau perkembangan ini kerana pengaruhnya akan menembusi Malaysia jika kita alpa. Kezaliman yang dipaksakan kepada umat Islam yang diikat dengan persaudaraan Islam sejagat seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW tidak akan dapat melemahkan sokongan dan simpati Muslimat PAS terhadap mereka.

66. DMP akan terus giat bersama-sama menjayakan Misimisi Kemanusiaan Antarabangsa dan berkerjasama dengan PASRelief dan NGO-NGO lain yang mesra dengan kita.

8.0 PENUTUP

67. Kita semua hanya penyambung perjuangan junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, dan bukan pemula kepada perjuangan ini. Kesukaran perjuangan Islam diibaratkan seperti menggengam bara api, akan tetapi sesiapa yang bersabar dalam bahtera perjuangan ini, sesungguhnya pahala untuknya lebih besar daripada nikmat memiliki unta merah.

68. Marilah kita berhenti mencipta alasan untuk bergiat dalam jemaah kerana kekurangan kita masing-masing. Ingatlah keberadaan kita adalah kerana Allah SWT, Allah Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui kemampuan kita. Tidaklah Allah Taala memberikan taklifan kepada kita melebihi daripada kemampuan sebenar kita.

69. Kita perlu menyedari apabila Allah SWT mentaqdirkan kita sebagai pemimpin walau pada peringkat mana sekalipun, hakikatnya kita sedang diamanahkan untuk membawa mesej mensejahterakan golongan wanita dengan Islam. Islam adalah satu-satunya aset yang menjadi asbab kita berada dalam Jemaah ini dan yang akan menentukan pengakhiran kita apabila menghadap Allah SWT di hari kemudian kelak.

70. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 125, bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman dan jadikanlah oleh kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): Bersihkanlah Rumah-Ku (Kaabah dan Masjidilharam dari segala perkara yang dilarang) untuk orangorang yang bertawaf dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya) dan orang-orang yang rukuk dan sujud.

71. Pada akhir kalam ini saya ingin menarik perhatian semua perwakilan, akronim ‘AKIFI yang merupakan singkatan kata daripada ‘A-‘Alim, KI-Haraki dan FI-Sufi, juga memberi makna yang sangat mengujakan kita. Dalam ayat di atas dan terdapat juga pada ayat yang lain dalam al-Qur’an, perkataan ‘AKIFI ini bermakna beriktikaf atau duduk diam dalam satu tempat tanpa meninggalkan tugas.

72. Saya menyeru diri saya dan semua sahabiyah, selaku pemimpin muslimah dalam pelbagai peringkat untuk benarbenar menghayati tuntutan ‘AKIFI sebagai ahli PAS. Jemaah ini ibarat tempat kita beribadah mengumpulkan sebanyak mungkin pahala dan bekalan menuju mardhatillah. Dengan muhasabah ini, kita memerlukan daya juang yang lebih tinggi untuk menghayati ciri-ciri ‘AKIFI.

73. Hayati sifat golongan RIBBIYIN yang terkandung dalam surah Ali ‘Imran: 146-148. Golongan ini menjadi pengikut para nabi yang tidak merasa lemah, patah semangat dan menyerah kalah apabila berhadapan dengan pelbagai mehnah dan sentiasa memperteguhkan azam dengan memperelokkan hubungan dengan Allah SWT serta doa sebagaimana ayat 147 surah Ali ‘Imran, bermaksud; Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau-lampau dalam urusan kami dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan) dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir.

74. Saya, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia dan saff kepimpinan sesi 2017-2019 memohon ribuan ampun dan maaf atas segala kekurangan. Selamat bermuktamar kepada para perwakilan, dan selamat bertugas kepada semua petugas. Semoga kita semua dalam lindungan Allah SWT, dipermudahkan segala urusan dan diterima kerja buat kita sebagai amal soleh yang dapat membahagiakan kehidupan kita dunia dan akhirat. Amiin.

وباهللاالتوفيق والهدايةوالسالم عليكم ورحمة هللا وبركاته

Siiru ‘ala barakatillah.