Kemenangan PH tragedi sedih buat Islam

KUANTAN: Kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) lepas satu tragedi yang sungguh menyedihkan buat Islam dan penganutnya.

Advertisement

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh meluahkan rasa kesal disebabkan kelemahan dan kealpaan serta kegagalan meyakinkan masyarakat tentang kepentingan pelaksanaan dan penghayatan Islam dalam PRU lepas.

Beliau berkata, negara dipimpin oleh pemerintah yang tidak menampakkan kesungguhan menepati janji dan tawaran, apatah lagi bersatu hati mempertahankan kedudukan Islam yang utuh termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Di antara hasil post-mortem PRU lepas, mendapati faktor serangan media sosial menyumbang kepada peratusan tertinggi (75%) yang membawa kepada kekalahan PAS, katanya dalam ucaptama Dewan Muslimat PAS Malaysia.

Selain itu beliau juga percaya golongan wanita tidak ketinggalan dalam kepesatan penggunaan media sosial, katanya.

“Kita berkemungkinan terlepas pandang peranan yang sepatutnya dimainkan oleh muslimat menerusi media sosial hingga tidak merebut peluang dalam lapangan ini dan tidak diberikan peranan serius.

“Tiada usaha-usaha bersepadu dan berfokus. Bersifat reaktif tanpa sebarang perancangan dan pendedahan dalam kemahiran menguasai media sosial khususnya atau membuat jaringan kerjasama dengan entiti lain seperti Penerangan PAS Pusat, DPPM dan sebagainya, ujar beliau.

Tambah beliau, hampir setiap hari kedengaran berita yang mencabar kesabaran umat Islam seperti tindakan menyerang institusi agama dan raja secara terbuka, pluralisme agama atas nama keharmonian kaum, tuntutan secara terbuka untuk mengamalkan kebebasan hak individu atas nama hak asasi manusia.

Katanya, walaupun jelas ianya bertentangan dengan ajaran Islam dan menggambarkan fahaman serong liberalisme sudah mula dinormalisasikan dalam kehidupan masyarakat Malaysia.

Sementara itu katanya, kaum wanita turut diheret dalam kancah yang sangat bahaya antaranya tafsiran bebas dan terbuka terhadap hukum syarak yang berkaitan dengan wanita.

Hal ini, sehingga timbul pertikaian terhadap isu poligami, faraid, perintah menutup aurat, tuntutan hak untuk murtad, hak talaq kepada suami, perkahwinan sesama jantina, seks bebas dan lain-lain yang bertujuan untuk memesongkan keyakinan mereka terhadap penghayatan Islam, katanya.

“Kita mendapati kerajaan PH terutama pemimpin Islamnya sudah tidak menampakkan sensitiviti mereka dengan hal keadaan yang membimbangkan ini. Pelbagai hujah dan alasan sengaja dicipta atas dasar rahmatan lil ‘alamin dan maqasid syariah untuk menyenangkan hati rakan politik mereka yang bukan Islam dalam PH, tegasnya. – HARAKAHDAILY 15/6/2019