PAS terawal libatkan Muslimat dalam politik

KUANTAN: PAS paling awal mengorak langkah mendahului parti-parti Islam yang lain menerusi penubuhan sayap Muslimat serta melibatkan muslimat bertanding pilihan raya.

Advertisement

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ijtihad di tahun 1960 itu dibuat ketika parti-parti Islam lain tidak membenarkan muslimat bertanding dalam pilihan raya.

Antaranya ujar beliau, adalah para ulamak Azhar dan Pakistan, namun Ulamak PAS membenarkan muslimat bertanding dengan dalil-dalil jelas dari al-Quran dan Hadis serta kitab fekah.

Perkara tersebut dinyatakan beliau ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia Kali Ke-59 di Dewan Konvensyen Bukit Gambang Resort City, di sini hari ini.

PAS juga menurutnya, lebih awal menerima realiti negara yang bermasyarakat majmuk dengan meredakan pertembungan dan krisis politik apabila berbaik dengan parti lain tahun 1969.

Jelasnya, jaminan ke atas kaum dan agama lain oleh Islam itu bukan sahaja termaktub dalam perintah ayat 40 surah al-Haj, malah PAS mempraktikkannya dalam pemerintahan negeri.

“Kita laksanakan di Kelantan dan Terengganu. Ini semangat ada pada orang Melayu Islam. Dalam istilah kita tiap-tiap Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Hingga orang Cina, India kata “masuk Melayu”.

“Sebenarnya Islam lain, Melayu lain, menunjukkan sinonim hubungan Melayu dengan Islam ini,” ujarnya memuji sikap orang Melayu yang menerima kaum lain untuk hidup di negara ini.

Hal itu katanya, berbeza sikap ekstrem dan melampau ditunjukkan PH selepas PRU14 di mana dengan sedikit dominasi sudah berani membuat pelbagai kenyataan yang menimbulkan krisis politik.

Terang beliau lagi, PAS juga memperkenalkan konsep tahaluf yakni bekerjasama dan berkawan dengan mendahulukan orang Islam dari Umno, Berjasa, NGO-NGO Islam ke arah perubahan politik.

Ketika sama katanya, PAS turut menyeru ajakan sama kepada orang bukan Islam yang tidak ekstrem sepertimana tanda positif telah ditunjukkan oleh MIC dan MCA.

“Dalam DAP pun ada, saya tahu, dia tak berani cakap saja. Yang berani cakap pun ada, tak setuju dengan ekstrem ini kerana menyaksikan peristiwa yang lalu. Hidup masyarakat majmuk tidak boleh macam itu (esktrem dan melampau).

“Apa lagi suasana sangat membimbangkan. Kita hadapi politik yang sangat kacau bilau. Timbul isu-isu tidak bermoral, sebaran gejala memalukan,” kesali beliau.

Dalam ucapannya itu, beliau turut melontarkan nasihat buat ahli-ahli politik supaya berpolitik dengan budaya iman dam budiman, bukan berbelit dan meruntuhkan moral.

Beliau menyeru supaya selamatkan negara dengan akhlak di mana turut memetik syair tokoh alim sufi, Jalaluddin ar-Rumi yang terbaca oleh beliau semasa di Turki baru-baru ini.

“Jadilah kamu laksana matahari yang memancar cahayanya melimpahkan kemurahan dan kesantunan. Jadilah kamu di malam yang gelap menutup keaiban-keaiban orang.

“Jadilah kamu seperti air yang melimpahkan sumbangan dan kemurahan. Jadilah seperti mayat bila kamu marah. Jadilah seperti tanah bila kamu bertawaduk.

“Tonjolkan diri kamu seperti diri kamu yang sebenar, tidak melebih-lebih. Cakaplah sebagaimana hati kamu yang sebenar, jangan munafik,” terjemahnya syair itu.

Terdahulu dalam ucapannya itu Tuan Guru turut menyeru Muslimat mencontohi peranan dan kebijaksanaan politik sebagaimana Ummu Salamah R.A dan Saiyidah Nafisah. – HARAKAHDAILY 15/6/2019