Pengikut perlu patuh, wala kepada pemimpin

KUANTAN: Pengikut perlu patuh dan wala kepada pemimpin kerana mereka lebih memahami perkara tersirat sedangkan pengikut hanya memahami perkara yang tersurat.

Advertisement

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, dalam politik banyak perkara yang tersirat yang hanya difahami oleh pemimpin sedangkan pengikut hanya memahami perkara tersurat menyebabkan perlu patuh kepada pemimpin.

Beliau memetik sejarah perjanjian Hudaibiyah diantara orang Islam dengan Quraisy yang dilihat perjanjian itu berat sebelah.

“Para sahabat melihat perjanjian itu berat sebelah yang mana lebih menguntungkan pihak Quraisy, walau bagaimanapun Rasulullah SAW menyuruh sahabat mengikut kehendak mereka.

“Hal ini kerana Rasulullah lebih mengetahui perkara yang tersirat walaupun perjanjian itu berat sebelah, tetapi sahabat hanya mengetahui perkara tersurat sahaja,” katanya dalam ucapan perasmian Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia ke-59 di Bukit Gambang City, Pahang di sini hari ini.

Katanya, hikmah di sebalik itu, kota Mekah dibuka oleh orang Islam apabila pihak Quraisy melanggar perjanjian yang telah dibuat.

Berikutan itu, katanya ahli di setiap cawangan atau kawasan perlu taat dan patuh kepada pemimpin kerana mereka lebih mengerti perkara yang tersirat dalam politik dan pengikut perlu ikhlas dalam mematuhinya. – HARAKAHDAILY 15/6/2019