Perlu kajian teliti dalam menterjemah BPMS

KUANTAN: Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) perlu dikaji secara lebih teliti supaya diwujudkan garis panduan bersepadu yang lebih mudah, Kata Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Advertisement

Menurut beliau, garis panduan yang lebih mesra perlu diwujudkan atas dasar untuk membantu Muslimat yang menjadi lidah DMPM menterjemah BPMS dalam kontes dan aspek wanita, keluarga dan masyarakat.

“Berapa ramai muslimat selain kepimpinan peringkat Pusat boleh bercakap dan menyampaikan secara tuntas tujuh prinsip tersebut?

“Kesedaran ini membuktikan keperluan untuk dibuat satu kajian yang lebih teliti supaya tindakan akan datang tidak hanya mengulangi apa yang telah dilaksanakan,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan dasar bersempena Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) ke-59 di Bukit Gambang Resort City (BGRC), pagi ini.

Menurut beliau, banyak seminar dan jelajah diusahakan untuk memperkenalkan BPMS kepada muslimat, namun pelaksanaannya perlu dimuhasabah menegnai sejauh mana muslimat sendiri merasa besarnya membudayakan 7 prinsip BPMS dalam masyarakat Malaysia.

Menyedari agenda PAS seperti WINS, Dokumen Hijau, Pelan Strategik DMPM masih belum dihadam dengan baik, beliau berharap barisan kepimpinan DMPM akan datang dapat memberi perhatian dan fokus yang lebih menerusi jentera penerangan beserta dengan kerjasama Lajnah Tarbiyah untuk dibawah ke akar umbi.

Tema yang diangkat bersempena Muktamar DMPM yang ke-59 ini ialah ‘Islam Memimpin, Wanita Sejahtera’. – HARAKAHDAILY 15/6/2019