Piagam PAS-Umno masih di peringkat awal

KUANTAN: Piagam PAS-Umno masih diperingkat rundingan, kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika diminta mengulas mengenai keputusan kerjasama muafakat PAS-Umno yang dijangka bakal bersatu Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Advertisement

Katanya, keputusan tersebut masih belum diputuskan dalam masa terdekat memandangkan ia masih mempunyai tempoh yang selesa untuk rundingan yang lebih terperinci.

“Sehingga ini, (perundingan) turut-menurut diadakan, kerana kita masih lagi jauh untuk menghadapi PRU15, (sekarang) kita ke arah mempertingkatkan kerjasama peringkat demi peringkat dan telah berjaya melalui pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan, dan kita mendapat kemenangan dalam PRK itu, itu dapat disaksikan sendiri bagaimana ia berlaku setitik demi setitik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) ke-59 di Bukit Gambang Resort City (BGCR), hari ini.

Tambah beliau, kemungkinan ia mengambil masa yang agak panjang disebabkan perundingan mungkin melibatkan kawasan-kawasan yang akan bertanding.

Bagaimanapun, beliau sekali kali menegaskan bahawa perkara tersebut hanya diketahui oleh jawatankuasa induk.

Khamis lalu, Timbalan Presidennya, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata piagam kerjasama muafakat tersebut akan diisytihar pada Julai ini.

Muktamar Tahunan PAS Ke-65 akan diadakan pada 21 hingga 23 Jun ini di Dewan SUKPA manakala Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia akan berlangsung pada 19 Jun hingga 20 Jun di Pusat Konvensyen Bukit Gambang Resort City (BGRC).

Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat pula akan diadakan pada 20 Jun di Wisma Belia Indera Mahkota di sini. – HARAKAHDAILY 15/6/2019