Projek Pan-Borneo punca banjir tanah pertanian

HUJAN lebat sepanjang hari dan tidak ada sistem perparitan yang baik menyebabkan beberapa kebun di Jalan Miri By-pass belakang Balai Bomba Lopeng, Miri mengalami banjir kilat.
 
Kebun buah-buahan seperti nenas, pisang, pokok rambutan, pokok durian belanda dan lain-lain telah musnah sepenuhnya kerana air tidak dapat mengalir dengan baik dan tersumbat menyebabkan kawasan tanaman menjadi banjir.
 
Kami menerima aduan antaranya daripada petani yang memaklumkan pokok buah-buahannya telah musnah kerana air banjir mengalir ke kawasan tanaman mereka. Dikatakan semua ini adalah disebabkan oleh pembinaan projek lebuh raya Pan Borneo yang tidak menyediakan sistem perparitan yang baik yang menyebabkan limpahan air ke kebun berhampiran. 
 
Parit ditutup oleh timbunan tanah oleh pihak yang berkenaan dan air tidak boleh mengalir dengan baik antara penyebab kawasan tanaman mereka yang terjejas. Setakat ini airnya tidak dapat mengalir sehingga tanaman menjadi lemas oleh air yang tidak mengalir keluar.
 
Akibat projek lebuh raya tersebut, petani telah mengalami kerugian besar akibat air yang membanjiri kebun mereka telah menghancurkan tanaman yang telah mereka kerjakan selama ini.
 
Banjir kilat jarang berlaku di kawasan pertanian mereka tetapi kali ini ianya agak buruk kerana parit tersumbat yang penuh dengan sampah tidak dibersihkan sehingga air melimpah ke tanaman mereka.
 
Kami menggesa pihak berkuasa dan mereka yang terlibat segera membersihkan sampah dan memperdalam parit di kawasan yang terjejas. Kontraktor yang terlibat dalam pembinaan projek lebuh raya Pan Borneo perlu membayar ganti rugi kepada petani yang tanamannya rosak teruk kerana tidak membuat saliran air yang baik menyebabkan kawasan tanaman mereka rosak.
 
Kami menggesa semua pihak yang terlibat bekerjasama untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera kerana petani yang mengharapkan hasil tanaman mereka selama ini telah mengalami kerugian besar akibat air yang tidak dapat mengalir dengan baik memusnahkan tanaman mereka.
 
Sekali lagi, kami menyeru pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk hal ehwal berkaitan, segera membersihkan kawasan yang terjejas untuk mengelakkan banjir kilat dan merosakkan tanaman. Kerjasama dengan pihak yang berkaitan untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera amat dihargai.
 
JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya 
PAS Negeri Sarawak – HARAKAHDAILY 17/6/2019
IMG 20190617 WA0004
 
IMG 20190617 WA0005
 
IMG 20190617 WA0006
Advertisement