Serang PAS untuk tutup skandal terbesar PH

khalil2

SERANGAN pimpinan dan ahli parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) terhadap PAS terutamanya semasa Muktamar PAS yang sedang berlangsung sekarang adalah untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap skandal terbesar PH semenjak memenangi pilihan raya dan menjadi kerajaan.

Advertisement

Isu video hanyir yang hangat diperkatakan sekarang menjadi bualan utama rakyat jelata. Isu tersebut juga menjadi perdebatan dan percakaran sesama pimpinan utama PH sekarang yang dapat dilihat jelas di media massa utama negara.

Soal betul atau tidak kita serahkan kepada kebijaksanana pihak berkuasa seperti PDRM untuk menyiasat dan selagi tidak terbukti bersalah, kita usah pula menghukum kerana ia salah di sisi agama Islam. Namun isu tersebut membuktikan sebenarnya membuktikan PH sedang porak peranda.

Ia sebenarnya adalah petunjuk jelas kepada rakyat jelata bahawa sebenarnya PH sebenar tidak mempunyai persefahaman dan kerjasama yang kukuh di antara mereka. Mereka sebenarnya membawa matlamat, agenda dan ideologi masing-masing, tidak seperti apa yang dipaparkan selama ini.

Isu ini juga memperlihatkan mereka sudah mula menyerang sesama sendiri, menyalahkan sesama sendiri malah sudah jelas mereka hanya mahu berkuasa, memenuhi agenda mereka tanpa memperdulikan nasib rakyat sepertimana janji mereka dahulu.

Jika mereka benar Kerajaan PH mahu membela nasib rakyat seperti yang mereka dakwa, adakah mereka menepati janji mereka semasa PRU dahulu? Kos sara hidup makin meningkat, harga barangan dan petrol masih tidak turun, PTPTN tetap ada, AES semakin banyak, keadaan ekonomi negara makin suram malah banyak janji mereka yang tidak tertunai.

Kes Allahyarham Mohammad Adib masih belum lagi selesai, timbul pula isu video hanyir tersebar di seluruh pelosok negara. Satu persatu kelemahan Kerajaan PH dan skandal terpacul untuk tatapan rakyat. Untuk menutup kelemahan mereka dan skandal terbesar PH yang menjadi bualan sekarang, pimpinan dan ahli PH menyerang PAS. Jika difikirkan, ia lebih hebat dari Maharaja Lawak Mega.

Terlalu banyak kelemahan Kerajaan PH terhidang untuk tatapan umum sekarang. Rakyat semakin hari semakin sudah tidak percaya terhadap Kerajaan PH. Boleh kita lihat di mana-mana pun sekarang, ia menjadi bualan rakyat terutamanya di media sosial. Jika begini keadaanya, lebih elok bubar saja kerajaan dan adakan pilihan raya umum.

Rakyat sudah muak dan bosan, semakin hari semakin tidak ada langsung perubahan yang dijanjikan. Apa yang rakyat dapat? Rakyat tersadai dengan Kerajaan PH yang sudah hampir di ambang kehancuran dan di ambang hujung nyawanya. Mahukah kita memperjudikan masa depan kita?

Tepuk Dada, Tanya Selera.

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 16/6/2019