Syed Saddiq tak perlu latah laporan MalaysiaKini

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman seharusnya bersikap matang membuat ulasan media dan bukan berpandukan laporan secara serong terhadap ucapan Presiden PAS, semalam. 
 
Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, laporan MalaysiaKini ternyata cuba memberi gambaran kononnya Presiden PAS memburukkan golongan pengundi muda.
 
“Malang sekali, paling awal terperangkap dan melatah dengan berita jahat itu adalah individu pemimpin negara yakni yang mempunyai ‘track  record’ cakap tak serupa bikin dan penipu anak muda melalui janji-janji manis Manifesto PRU14. 
 
“Walhal, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bercakap di hadapan sidang Muktamar Muslimat PAS. Beliau menyenaraikan mengenai sebahagian golongan pengundi PH pada PRU14 lalu iaitu latar belakang, ciri dan sikap terhadap politik. 
 
“Ia bukan menghina atau mengecam orang muda. Tapi Syed Saddiq yang memberi tafsiran seperti itu. Sama ada dipengaruhi laporan tersebut, atau sengaja ‘menangguk di air keruh’ untuk memalitkan imej buruk kepada Presiden PAS kerana tandus isu  dan tercari-cari modal politik,” ujarnya.
 
Jelas beliau, dengan hanya berpandukan laporan media yang terkenal dengan manipulasi dan putar belit itu dan tanpa tabayyun serta melihat perspektif ucapan, ulasan terburu-buru diberikan.
 
“Inilah makna mengaji dengan ‘handphone’, dengan media sosial. Dengan kefahaman atau kajian sekadar dua tiga minit, terus membuat reaksi balas seperti ulasannya itu.
 
“Harap Menteri muda dan pemimpin pemuda ini dapat jaga kredibiliti beliau. Lebih baik tumpu tangani Manifesto PH, kerana kalian sedang dilihat sebagai penipu anak muda,” nasihat jurutera muda itu.
 
Hakikatnya tegas beliau, PAS menawarkan sebuah pemerintahan berintegriti dan bermoral kepada generasi muda, berbeza dari pentadbiran PH yang semakin menghakis nilai integriti, moral dan tatasusila. – HARAKAHDAILY 16/6/2019
Advertisement