Menjelang muktamar ke-65, siaga mengibar panji

SEBELUM Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), ramai yang berfikir betapa perlunya ada perubahan peneraju pemerintah di Malaysia. Barisan Nasional BN yang meneraju negara semenjak 1957 telah cukup diberi peluang dan masanya tiba untuk ia digantikan.

Advertisement

Perlunya ada suatu sistem pemerintahan yang baru bagi menggantikan ala BN yang kian dipenuhi pelbagai konotasi yang menyusahkan. Tidak pula saya pasti bagi mereka yang sering menyatakan perlunya ada perubahan sistem di Malaysia benar-benar faham apakah sistem yang ingin diubah.

Apakah benar difahami apakah sistem lama yang diterajui BN dan apakah pula bentuk sistem yang baru sebagai ganti sebaik peneraju pemerintahan negara berubah? Meskipun ghairah di mana-mana laungan perubahan sistem ini dihamburkan, jauh di sudut hati, saya mengharapkan suatu pengajaran dapat diambil jika benar-benar berlaku perubahan tampuk pemerintahan.

Itu suasana pra PRU14. Kini PRU14 telah berlalu dan peneraju baru negara telahpun dapat dijelmakan. Memerhatikan apa yang berlaku sebaik PRU14 selesai, terus saya merenung sendiri di mana apa yang disebut laungan perubahan sistem?

Ini bukan sekadar cerita perubahan peneraju atau bertukarnya parti pemerintah. Ini soal tata kelola sebuah negara. Meskipun kecil, Malaysia tetap mempunyai denyut nadi tersendiri sebagai sebuah negara yang dibina sejak lama.

Demikianlah harus difahami oleh setiap pemain politik yang menawarkan diri untuk berkhidmat. Apatah lagi bila tawaran itu bersangkutan dengan hak-hak Allah dan RasulNya yang termaktub di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Tentunya ia perlu diberi perhatian yang sewajarnya dan bukan sekadar mengikut hawa nafsu atau logik akal semata-mata.

Begitu harapan disandarkan kepada mereka yang akan menerajui Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sebaik berlangsungnya Muktamar Tahunan ke-65 kelak. Posisi yang dipegang sebaik pemilihan selesai bukan sekadar untuk dijadikan wadah menyatakan Islam pilihanku. Ia bukan sekadar ruang untuk dijustifikasikan sebagai sekadar berlumba-lumba membuat kebaikan. Lebih dari itu, ia adalah sebuah amanah dan tanggungjawab bagi menzahirkan ketinggian Islam dalam seluruh sistem kehidupan termasuklah dalam membina sebuah sistem kenegaraan.

Tidak boleh lagi ada ungkapan “Ni bukan kehendak saya” atau “Saya sebenarnya tidak bersedia”. Mulai saat ini, harus ada kesiapsiagaan dalam meletakkan agenda Islam pada tempatnya. Tentunya ia bukan sekadar omong-omongan “Kita laksanakan Islam, semua akan lancar”.

Perlu ada suatu perancangan yang benar-benar khusus bagi menjelmakan agenda Islam dalam sistem kenegaraan. Apakah liku dan cabaran dalam menjayakan agenda kita telah perlu dikenal pasti dan difahami cara mengatasinya.

Mudah-mudahan muktamar ke-65 menjadi langkah susulan parti sebagai menyiapkan diri meneraju negara pada waktu yang ditentukan nanti. – HARAKAHDAILY 18/6/2019

Penulis ialah Pengerusi Sekretariat Prihatin OKU.