Raya PAS Lenggong bawa mesej bersatu padu

LENGGONG: Kemeriahan Majlis Jamuan Rakyat Sambutan Aidil Fitri PAS Kawasan Lenggong berbeza dari tahun-tahun lalu apabila pimpinan dan penyokong Umno turut sudi memenuhi undangan.
 
Antaranya Ahli Parlimen Lenggong, Dato’ Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Adun Kota Tampan, Dato’ Saarani Mohamad dan Adun Kenering, Dato’ Termizi Idris serta pimpinan Umno Bahagian Lenggong lainnya.
 
Majlis dirasmikan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria yang juga Adun Gunung Semanggol itu telah dilangsungkan di Dataran Kota Tampan, di sini kelmarin dahulu.
 
Timbalan Yang Dipertua PAS Lenggong, Ustaz Hanafiah Idris berkata, majlis tahun ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan di antara ahli dan penyokong PAS, malah lebih lagi daripada itu.
 
Jelasnya, dengan kehadiran pimpinan dan penyokong Umno ke majlis dianjurkan oleh PAS ini mencatatkan sejarah bahawa usaha perpaduan ummah yang dipupuk mampu membuahkan hasil terbaik untuk umat Islam seluruhnya.
 
Naib Yang Dipertua PAS Lenggong, Jamil Yahya pula menyifatkan kehadiran penduduk Lenggong termasuk kaum Cina dan India telah menyangkal tohmahan jahat pihak tertentu.
 
“Mereka selama ini berusaha mewujudkan persepsi bahawa hubungan kerjasama PAS dan Umno akan memberi ancaman buruk terhadap kaum bukan Melayu,” bidasnya.
 
Ketua Pemuda PAS Lenggong, Rif’aat Razman pula berkata, apabila umat Islam bersatu padu dan Islam didaulatkan dengan sebenarnya, maka negara akan lebih sejahtera dan seluruh kaum akan hidup aman dan harmoni. 
 
“Inilah prinsip budaya politik matang dan sejahtera yang dibawa oleh PAS yang membawa kebaikan dan rahmat kepada semua,” ujarnya.
 
Turut hadir adalah Pengerusi NGO Ummah Dr. Idham Lim dan Yang Dipertua PAS Kawasan Padang Rengas, Sukeri Md. Amin serta beberapa pimpinan PAS Kawasan lain memeriahkan majlis. – HARAKAHDAILY 19/6/2019
Advertisement