29 negara dijemput hadiri Hari Sayyidatina Khatijah

KOTA BHARU: Kelantan menjemput 29 negara Islam bagi menghadiri sambutan Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) yang akan diadakan pada 23 hingga 27 Jun ini di Hotel Grand Riverview di sini.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Mumtaz Md Nawi berkata, kerajaan negeri sejak 1990 menganjurkan pelbagai program dan majlis bagi menghargai sumbangan dan jasa wanita Kelantan.

Menurutnya antara lain tujuan penganjuran HSK pada tahun ini sebagai meneruskan pengiktirafan terhadap peranan golongan itu dalam arus pembangunan negeri selain berkongsi pengalaman sesama wanita dari dalam dan luar negara.

“Bermula 2015 nama Hari Wanita Kelantan ditukar kepada Hari Sayyidatina Khadijah yang dijadikan satu acara tahunan bagi kerajaan negeri yang meliputi peringkat negeri, parlimen dan semua 45 buah Dewan Undangan Negeri (Dun).

“Kita akan memberi pendedahan mengenai cabaran semasa, polisi dan isu wanita pada peringkat nasional dan global serta merangka pelan strategik bagi menghasilkan amalan terbaik di negara masing-masing,” katanya di sini semalam.

Acara yang berlangsung selama empat hari itu mempunyai pengisian seperti sambutan HSK dan pelancaran Gagasan Wanita Kelantan, persidangan International Muslim Women Union (IMWU), Muslimah International Summit Kelantan (Misk) dan International Young Muslim Forum (al Youm).

Delegasi antarabangsa juga akan melakukan kunjungan hormat terhadap Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun), Dato’ Abdullah Ya’kob bagi memperkenalkan dasar pemerintahan negeri, Membangun Bersama Islam.

Selain makan malam mahabbah yang dijangka dirasmikan oleh Isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Bentara Kanan Siti Zabidah Abdul Hamid, rombongan turut bersama dalam sesi perkongsian dari wakil negara seperti Pakistan, Sudan, Mauritania dan banyak lagi.

Delegasi turut dibawa melawat ke Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) Bunut Payong, Pasar Siti Khadijah, mencanting batik di Kampung Sireh, Galeri Wayang Kulit, industri desa Kampung Laut dan lawatan suluk Tok Selehor.

HSK turut memperkenalkan enam anugerah tokoh serta ikon wanita yang meliputi pelbagai bidang seperti pendidikan, keusahawanan, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU), kemasyarakatan dan kesenian. – HARAKAHDAILY 19/6/2019