Mahu jaminan kedaulatan dan kepentingan negara

KUANTAN: Jaminan terhadap kedaulatan negara dan kepentingan negara berjiran dari sebarang ancaman perlu diberi perhatian, demikian gesa Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.
 
Malah seru beliau, negara perlu membela hubungan baik dengan semua negara jiran yang ada disekitarnya kerana mereka merupakan jiran bagi Malaysia.
 
“Tengok jiran kamu sebelum kamu membuat rumah. Inikan pula negara. Namun kebijaksanaan kerajaan yang menguruskan negara dengan penuh cermat menjadikan negara tidak dicerobohi oleh jiran negara lain,” ujarnya semasa merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Ke-60, di sini pagi ini.
 
Menurut beliau, dalam masa yang sama saling hormat-menghormati hak dan kesejahteraan negara.
 
“Kita berpegang teguh dengan konsep ZOPFAN iaitu Zone of Peace, Freedom and Neutrality bermaksud kawasan yang aman dan selamat dalam rantau Asia negara,” tambah beliau.
 
Selain itu kata beliau, PAS melihat perlunya diwujudkan suasana kedamaian antara Amerika dan China yang berlaku baru-baru ini dan dalam waktu sama perlu mengekalkan rantau ini sebagai rantau yang aman.
 
Sehubungan itu seru beliau, PAS perlu mengurus negara dengan penuh cermat kerana politik bukan sahaja untuk mendapatkan kuasa tetapi penting bagaimana mengurus kuasa tersebut.
 
Sementara itu tambahnya, muafakat dalam politik bukan benda yang baharu dalam PAS kerana parti ini telah mengadakan kerjasama politik hampir dengar semua parti di Malaysia.
 
“Kita mengadakan kerjasama dengan Umno, parti Keadilan, DAP dan juga bersama parti-parti lain.
 
“Ini bermaksud PAS bukan parti yang bersikap inklusif yang tidak bercampur dengan parti lain dan sedia membuka ruang tetapi kita berpegang pada prinsip bahawa kita mesti dihormati untuk terus bergerak ke hadapan,” tambah beliau.
Advertisement