Pemuda perlu cakna isu dan geopolitik dunia kini

KUANTAN: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi menyeru seluruh anggota Pemuda agar sentiasa cakna dan memahami isu serta geopolitik antarabangsa.
 
Menurutnya, ini memandangkan pelbagai peristiwa dan isu mutakhir yang mengheret sama umat Islam ke arah kancah politik dunia di mana kekejaman dihadapi umat Islam amat menyayat hati. 
 
Katanya, tragedi pilu pembunuhan ke atas 50 orang jemaah dua masjid di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac lalu amat berbekas di hati umat Islam.
 
Kata Ustaz Muhammad Khalil, salah seorang daripada mereka merupakan anak muda berasal dari Malaysia di mana serangan bermotifkan kebencian melampau kepada Islam ini mengejutkan seluruh dunia. 
 
“Dewan Pemuda PAS Malaysia berkesempatan menghantar wakil bertemu dengan Mohd Tarmizi Shuib bapa kepada Allahyaram Muhammad Haziq salah seorang syuhada’ di Christchurch bagi menyampaikan ucapan takziah,” ujarnya. 
 
Beliau turut merakam penghargaan dan tahniah kepada Kerajaan New Zealand atas kecemerlangan mengendalikan krisis ini dan atas sokongan serta dokongan kepada masyarakat Muslim di New Zealand. 
 
“Semoga ia menjadi contoh kepada kerajaan lain di dunia,” kata beliau semasa menyampaikan Ucaptama Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia sempena Muktamar Tahunan Kali Ke-60 di Bukit Gambang Resorts City, di sini hari ini.
 
Uighur: Lambang kekejaman terhadap Islam
 
Berbeza pula situasi etnik Islam Uighur di sempadan negara China katanya, penindasan sedang berlaku terhadap umat Islam yang menghuni Wilayah Xinjiang itu di mana dinafikan hak mereka mengamalkan ajaran Islam.
 
Bukan sahaja rumah ibadah umat Islam diruntuhkan malah menurutnya, mereka dipaksa meninggalkan amalan harian sebagai umat Islam seperti berpuasa dan bersolat. 
 
Menyentuh pergolakan di negara Arab yang semakin meruncing, beliau menyifatkan pasca ‘Arab Spring’ memperlihat negara umat Islam berdepan pelbagai isu sama ada kestabilan politik dan kemanusiaan. 
 
“Lihat sahaja apa yang berlaku di Syria yang masih dalam kemelut perang saudara yang berpanjangan. Yaman juga masih dalam krisis politik diantara dua puak yang bertelagah yang memangsakan rakyat biasa sejak daripada tahun 2015.
 
“Di Libya pula masih belum mencapai kestabilan politik yang diharap-harapkan selepas era Gaddaffi apabila terdapat perebutan kuasa antara tiga kumpulan untuk memegang tampuk pemerintahan,” kata beliau.
 
Tidak cukup dengan ini kesalinya pula, kumpulan Islamic State of Iraq and Syria (ISIS) pula wujud di tengah-tengah pergolakan umat Islam dengan memakai imej dan hujjah Islam untuk sewenang-wenangnya melakukan kekejaman dan pembunuhan. 
 
Malah, dua kuasa besar di Timur Tengah iaitu Arab dan Iran sentiasa cuba memposisikan ‘supremacy’ dan pengaruh mereka sehingga menyemarakkan peperangan proksi di wilayah tersebut. 
 
Di rantau Asia pula, isu umat Islam Rohingya masih lagi menemui jalan buntu dan tiada penyelesaian dengan nasib 724,000 pelarian masih samar dan tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada negara serantau. 
 
Ustaz Khalil, menyentuh kegemparan dunia sehinggakan ada di kalangan tokoh dunia dan artis terkenal menyeru supaya produk Brunei diboikot atas isu pelaksanaan Undang-undang Hudud yang diumumkan.
 
“Saudara kita di Indonesia pula diuji dengan keraguan keputusan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) yang menyebabkan berlakunya tunjuk perasaan besar-besaran yang mengorbankan bebrapa nyawa. 
 
“Apa yang menghairankan kita, dimana suara Malaysia dalam isu-isu antarabangsa dan serantau yang melibatkan umat Islam ini? Dimanakah peranan Malaysia sebagai anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)? 
 
“Di manakah pula suara Malaysia di dalam Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN)? Setakat ini respon kerajaan Malaysia terhadap isu melibatkan umat Islam tidak sepertimana yang diharapkan sebagai sebuah negara umat Islam,” tegasnya. 
 
Kementerian Luar lesu
 
Sementara itu, Ustaz Muhammad Khalil juga melihat Kementerian Luar Malaysia dilihat sangat lesu dalam membela nasib masyarakat Islam lain.
 
Tetapi tambahnya, kementerian sangat ghairah untuk meratifikasi penjanjian-perjanjian antarabangsa yang cuba mengganggu gugat kedaulatan negara secara halus seperti ICERD dan penyertaan dalam Statut Rom. 
 
Justeru beliau menyeru Pemuda PAS sekalian serta masyarakat Malaysia supaya mengambil perhatian dan memahami geopolitik antarabangsa supaya sentiasa waspada dan menilai politik Malaysia dalam lensa politik antarabangsa. – HARAKAHDAILY 19/6/2019
Advertisement