Berpolitik dan berekonomi secara patuh syariah

KUANTAN: Perjuangan PAS konsisten untuk menghapuskan riba, penggubahan wang haram, rasuah dan sistem cukai yang membebankan rakyat, sebaliknya membawa penyelesaian patuh syariah.
 
Perwakilan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin menyifatkan Dokumen Hijau yang dihasilkan telah berjaya mengemuka cadangan terhadap masalah kewangan negara.
 
“Dengan lima prinsip Islam sebagai asas janaan ekonomi dan dua cadangan alternatif kepada sistem cukai negara iaitu Cukai Atas Simpanan Syarikat dan Korporat serta Cukai Perdagangan Saham.
 
“(Hanya) dengan kadar 2.5 peratus akan memberi pulangan kepada negara sebanyak RM14 bilion. Dan RM37.5 bilion setahun lebih banyak dari kutipan GST ketika kadar hanya RM42 bilion pada 2017,” kaguminya.
 
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucaptama Ketua Pemuda pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-60 di Bukit Gambang Resort City, di sini malam tadi.
 
Irsyad turut mencadangkan supaya kepakaran yang ada dalam PAS dimanfaatkan sebaiknya sebagai penasihat dari sudut politik dan ekonomi kepada kerajaan kerana gabungan ulamak dan umarak akan memperkuatkan.
 
Dalam perbahasannya itu, beliau juga melontarkan nasihat agar menjauhi prasangka buruk dan mencari-cari kesalahan sahabat, selain tidak mencipta label dan kepuakan dalam jamaah.
 
“Tegur dengan penuh hikmah, bertindak melalui saluran, letak thiqah pada pimpinan, serah urusan amanah pada yang berhak. Jangan jadikan diri sebagai sebahagian yang memudahkan agenda busuk musuh,” titipnya. – HARAKAHDAILY 20/6/2019
 
Advertisement