Mudarat besar jika membiarkan kerajaan PH

KUANTAN: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr Mahfodz Mohamad berkata terlalu banyak isu yang timbul di bawah kerajaan PH pada hari ini jika hendak disenaraikan satu persatu.

Advertisement

Katanya, bayangkan apa yang beliau senaraikan dalam ucaptama yang melibatkan institusi Islam, raja dan Melayu, ICERD, UEC, LGBT, kematian Adib adalah sebahagian dan polemik yang timbul dalam masa setahun lebih kerajaan PH memerintah.

“Bagaimana pula jika berlarutan sehingga beberapa tahun ke hadapan?” ujarnya ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat ke-58 di Wisma Belia Indera Mahkota, di sini hari ini.

Sebab itu, katanya menjadi satu kemudaratan besar apabila membiarkan kerajaan PH memegang tampuk pemerintahan selepas PRU akan datang.

Justeru, para ulama mesti memimpin kesedaran rakyat dengan isu-isu yang melanda.

Malah sewajarnya dijawab isu khususnya berkaitan isu Islam serta dirangka jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan.

“Para ulama perlu membentuk kelompok penyelidik di pelbagai peringkat agar persoalan-persoalan yang timbul mampu dijawab dengan tersusun berdasarkan hujah-hujah yang dikemukakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/6/2019