PH ‘bagai kaduk naik junjung’ – Pemuda PAS N9

KUANTAN: Peralihan kuasa politik PRU14 lalu telah membuka ruang kepada musuh Islam untuk menganiaya agama Persekutuan yang sudahpun tertindas di Malaysia, kata Perwakilan Pemuda PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mahfuz Roslan.
 
Katanya, pihak bermusuh dengan Islam seolah-olah mendapat suntikan vitamin kebencian setelah berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan Malaysia yang diumpamakan mereka ‘bagai kaduk naik junjung’.
 
Malah, lebih ‘melemakkan’ katanya, golongan tersebut mendapat bantuan serta sokongan dari sesetengah umat Isam yang berselindung di bawah slogan ‘Rahmatan Lil A’lamin’.
 
“Mereka ini menjadi pengkhianat kepada Islam yang kononnya nampak seperti membela Islam, tetapi hakikatnya mereka menyambung mata rantai iblis dan juga syaitan dalam menghancurkan umat Islam di dunia, khususnya di Malaysia,” ujarnya.
 
Mengimbau sejarah Islam di dunia, beliau mengajak penggerak-penggerak PAS untuk menjadikan sejarah lampau sebagai panduan perjuangan yang di bawa hari ini, iaitu Islam.
 
“Pengkhianatan terhadap Islam berlaku di setiap zaman, termsuk zaman Rasulullah S.A.W dan para Sahabat R.A, adanya Abdullah bin Ubai iaitu kepala orang munafik yang menjadi fitnah besar kepada umat Islam.
 
“Lihat juga kisah silam di bumi Libya, Umar Mukhtar yang memimpin tentera Islam menentang Itali, 20 tahun tentera Itali tewas di tangan Umar Mukhtar, tetapi dengan sebab dikhianati oleh kawan baik sendiri, akhirnya beliau ditangkap dan digantung,” jelasnya.
 
Beliau mengutarakan hal tersebut ketika membahas Ucaptama Ketua Pemuda bersempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-60 di Bukit Gambang Resort City, di sini pagi tadi.
 
Mengimbau sejarah yang lebih hampir dengan rakyat Malaysia, beliau memetik sejarah Empayar Islam Melaka yang cukup hebat dan gah di persada dunia tetapi akhirnya jatuh rebah ke bumi disebabkan oleh pengkhianatan orang Islam sendiri iaitu Si Kitul.
 
Mahfuz turut menyeru pengikut-pengikut PAS bersama-sama memperkukuhkan akidah sedia ada menjadi akidah yang sahih, memperbaiki akhlak dengan amal-amal soleh, serta memperkukuhkan dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
 
Beliau merujuk Artikel 121(A) Perlembagaan Persekutuan yang mana merupakan peruntukan perlembagaan untuk menghalang Mahkamah Sivil mencampuri bidang kuasa Mahkamah Syariah. – HARAKAHDAILY 20/6/2019
Advertisement